Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh dato kisahkan satu cerita tentang tokoh agama yang mengabdikan diri kepada Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ulama’ ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”

(Surah al-Sajdah: 24)

Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)

Ulama’ ialah golongan yang masyarakat dan umat ini belajar dan bertafaqquh dalam ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan.

Ulama’ ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya.

Ulama’ ialah ketua Jemaah yang diperintahkan kita beriltizam dengannya dan melarang kita daripada berpisah daripadanya.

Mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali ‘Imran: 18)

Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya, ialah:

  • Dengan ilmu mereka.
  • Dengan kedalaman kefahaman mereka dalam bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas.
  • Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
  • Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
  • Mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan oleh dunia.

Ulama’ dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak seyogia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”

Semoga dengan takrifan dan definisi serta pengenalan ulama’ ini maka sudah pasti masyarakat benar-benar akan mengenali dhawabit ulama sejati. Kami tertarik dengan kenyataan ulama al-Azhar ketika kami berada di Kaherah yang menyebut: ‘Ilmu (علم), kemudian ‘Amal  (عمل) dan natijah daripada pelaksanaan kedua-duanya akan memperolehi Lama‘ (لمع) yang memberi makna bercahaya. Maksudnya orang yang berilmu dan beramal sentiasa dilihat sebagai pedoman kepada khalayak masyarakat. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 39-42).

Kisah pengabdian seorang tokoh salaf yang cintakan Allah

Marilah soroti kisah pengabdian seorang tokoh salaf yang cintakan Allah. Silah bin Asyyam ikut berperang bersama Qutaibah di Khurasan. Dia adalah seorang yang selalu dalam keadaan sembahyang, beribadah dan menangis sejak Isyak hinggalah ke Subuh hari. Qutaibah bin Muslim Rahimahullah berkata kepadanya: “Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan di antara tenteraku ini orang yang sepertimu, wahai Silah.”

Apabila Silah hendak melaksanakan solat malam, dia akan mengambil pakaiannya yang berharga seribu dinar dan mewangikannya, seraya berkata: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Zat yang Maha Indah dan Engkau menyukai keindahan, sesungguhnya aku memakainya hanya kerana-Mu semata.”

Maka dia pun memakainya di waktu malam dan apabila siang tiba, dia akan melepaskannya kerana Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan. Setelah para tentera semuanya tidur, dia pun keluar daripada kumpulan itu lalu masuk ke dalam hutan dan melakukan solat. Para mujahid perlu merapatkan barisannya dan bersatu di atas manhaj yang benar jauh dari penyimpangan agar kemenangan menjadi sempurna. Seorang penyair berkata:

…Demi jiwaku, demi bumi itu, betapa indahnya kesatuan…

… Betapa indahnya barisan yang rapat dan tempat ternak…

Suatu ketika Silah pun bergerak melaksanakan solat, tiba-tiba datanglah seekor singa lalu menghampirinya, akan tetapi dia terus melaksanakan solatnya. Dia sama sekali tidak berubah, tidak berganjak dan tidak juga merasa terganggu. Setelah dia menyelesaikan dua rakaat, dia menoleh ke arah singa tersebut dan seraya berkata kepada singa tersebut: “Hai singa, kalau kamu memang disuruh untuk membunuh dan memakan saya, maka bunuh dan makanlah saya, kerana saya tidak mempunyai senjata apa-apa selain daripada perlindungan Allah. Tetapi sekiranya kamu tidak diperintahkan untuk membunuh dan memakan saya, maka jauhilah dan biarkan saya meneruskan solat.”

Maka singa itu pun tersipu-sipu dan menggerak-gerakkan ekornya lalu pergi, singa itu seolah-olah anak anjing sahaja.

Daripada kisah di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa hebatnya para ulama yang takutkan Allah sehingga binatang seperti singa pun cukup gerun kepadanya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.