Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah ada surah sempena nama lebah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah muliakan keistimewaan lebah sehingga terdapat satu surah dinamakan al-Nahl yang memberi maksud lebah, di mana ia menghasilkan madu yang menjadi penawar kepada manusia. Firman Allah SWT:

وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ (68) ثُمَّ كُلِي مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚ يَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِّلنَّاسِ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (69)

Maksudnya: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau suka), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”

(Surah al-Nahl: 68-69)

Sayyid Qutb berkata: “Lebah membuat sarang-sarangnya mengikut bimbingan fitrahnya – di bukit-bukau, di pokok-pokok kayu dan di para-para yang dibuat oleh manusia seperti para-para anggur dan lainnya. Allah telah memudahkan cara-cara kehidupannya dengan mengadakan penyesuaian dan keselarasan di antara kehendak fitrah-Nya dengan keadaan alam di sekelilingnya. Keterangan ayat ini yang menyatakan madu itu merupakan penawar kepada manusia telah pun diulas secara teknikal oleh sesetengah pakar perubatan. Hakikat ini memang terbukti benarnya dengan berlandaskan nas al-Quran ini semata-mata. Beginilah yang seharusnya dipercayai seorang Muslim kerana berpegang dengan di samping keterangan hadis daripada Rasulullah SAW yang berikut.”

Al-Maraghi berkata: “Ilmu perubatan moden telah menetapkan madu mempunyai beberapa faedah. Kandungan glukos yang terdapat dalam madu lebih banyak berbanding dengan makanan lain. la merupakan ubat yang penting kepada doktor seiring dengan kemajuan ilmu perubatan. la juga dapat diberikan melalui mulut, dapat juga melalui suntikan pada jahitan di bawah kulit dan pada urat leher, dapat pula diberikan dengan sifatnya sebagai penguat dan pemberi makanan. la juga penolak racun yang lahir akibat datangnya zat luar seperti racun (As), air raksa (Hg), emas (Au), cloroform, morfin, dan lainnya. Penolak racun yang lahir akibat penyakit yang terdapat pada anggota tubuh seperti keracunan kencing dan yang lahir daripada penyakit jantung, serta gangguan pada perut besar dan usus. Juga menolak racun dalam keadaan demam seperti radang paru-paru, radang otak serta campak, dalam keadaan lemah jantung dan dalam keadaan batuk, terutama dalam keadaan berpeluh secara umum akibat peradangan yang menyeluruh serta tajam, otak bertimbun, pembengkakan otak dan sebagainya.”

Ketika di kota suci Mekah, seorang sahabat bercerita berkenaan dengan lebah. Itulah hebatnya lebah! Mengikut ahli sains dan kajian haiwan, lebah tidak mungkin dapat terbang kerana saiznya besar dan sayapnya kecil, tetapi lebah sanggup mencuba tanpa dibatasi ‘tidak boleh’, akhirnya dia berjaya. Itulah kuasa cubaan, semangat tanpa menyerah kalah dan lemah semangat. Akhirnya ia berjaya. Justeru, ambillah semangat lebah.

Antara keunikannya:

Sisi pandangannya yang elok, sekali pun ia berada di mana-mana tempat tetapi tetap dia mencari bunga yang terbaik untuk menghasilkan madu.

Sesungguhnya ia cuba sedaya mungkin untuk mempertahankan sarangnya tanpa merasa kecundang. Itulah sifat lebah!

Begitu juga lebah menghasilkan madu yang cukup hebat dan bermanfaat bagi orang lain. Itulah sifat lebah!

Benarlah nasihat Ibn Hisyam Al-Nahwi (761H):

وَمَن يَصْطَبِرْ لِلْعِلْمِ يَظْفَرُ بِنَيْلِهِ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang menjadikan dirinya sabar bagi tujuan ilmu, dia pasti akan memperoleh apa yang diingini.”

Perhatikan bahasa yang digunakan. Istabara (اصطب) bukan sabara (صير). Perkataan yang pertama lebih mendalam (ablagh) daripada sekadar sabar.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”