Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah batal puasa sekiranya saya terbau bauan makanan di bazar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami nukilkan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”

(Surah al-Baqarah: 187)

Berdasarkan ayat al-Quran ini, antara kewajipan bagi orang yang berpuasa Ramadan ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa setelah berniat puasa. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181)

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa kemasukan asap yang mengandungi bau seperti bukhor (kayu gaharu) atau seumpamanya ke dalam rongga tidak membatalkan puasa, walaupun dilakukan secara sengaja. (Lihat Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/400).

Begitu juga, Al-Imam al-Syirbini menjelaskan bahawa sesuatu yang bukan berasal daripada zat asal (ain), tetapi merupakan kesan seperti bau atau angin akibat menghidu sesuatu, serta rasa panas atau sejuk akibat merasa sesuatu, tidak termasuk dalam kategori yang membatalkan puasa. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/155)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan menghidu bau-bauan ketika berpuasa adalah harus sekiranya tidak berlebihan. Sekiranya dengan sengaja seseorang itu  menghidu bau makanan, maka hukumnya adalah makruh tetapi tidak membatalkan puasa. Maka, tidak mengapa untuk anda pergi ke bazar untuk membeli juadah makanan untuk berbuka bersama keluarga.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”