Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah bersungguhnya Dr Wahbah al-Zuhaili dalam menuntut ilmu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ulama’ ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”
(Surah al-Sajdah: 24)
Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)
Ulama’ ialah golongan yang masyarakat dan umat ini belajar dan bertafaqquh dalam ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan.
Ulama’ ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya.
Ulama’ ialah ketua Jemaah yang diperintahkan kita beriltizam dengannya dan melarang kita daripada berpisah daripadanya.
Mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Ali ‘Imran: 18)
Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya, ialah:
- Dengan ilmu mereka.
- Dengan kedalaman kefahaman mereka dalam bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas.
- Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
- Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
- Mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan oleh dunia.
Ulama’ dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak seyogia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”
Semoga dengan takrifan dan definisi serta pengenalan ulama’ ini maka sudah pasti masyarakat benar-benar akan mengenali dhawabit ulama sejati. Kami tertarik dengan kenyataan ulama al-Azhar ketika kami berada di Kaherah yang menyebut: ‘Ilmu (علم), kemudian ‘Amal (عمل) dan natijah daripada pelaksanaan kedua-duanya akan memperolehi Lama‘ (لمع) yang memberi makna bercahaya. Maksudnya orang yang berilmu dan beramal sentiasa dilihat sebagai pedoman kepada khalayak masyarakat. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 39-42).
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili sentiasa cemerlang di dalam pelajarannya di semua peringkat dan mendapat tempat yang pertama. Ini kerana kesungguhan dan cintanya kepada ilmu dan beliau amat benci dengan kata-kata yang menghalang daripada mendapatkan ilmu.
Antara cara yang dilaziminya adalah mengasingkan diri dari orang lain sekalipun bersama pelajar. Sebagai contoh, ketika beliau di kuliah Syariah, Damsyiq, beliau akan mencari waktu dan peluang di dalam bilik yang khusus dan menetap di situ dalam jangka masa yang panjang bersama dengan kitab-kitabnya.
Beliau juga pergi ke Masjid Umawi dan memilih satu penjuru atau sudut yang terasing daripada orang ramai untuk membaca. Rakan-rakannya pernah memberitahu bahawa pernah melihat beliau pada waktu yang panjang di waktu malam, dia berada di kaki lima Kuliah Syariah yang sedang membaca di bawah lampu-lampu jalan.
Lihatlah betapa hebatnya tokoh seperti di atas yang meninggalkan akhlak buruk, tetapi berusaha bersungguh-sungguh melakarkan kejayaan dalam hidupnya sehingga menjadi ulama terkemuka pada masa kini.
Kalaulah begini sifat mereka sehingga begitu hebat dan dihormati oleh para ulama dan pemerintah kerana keilmuan dan kealiman mereka, maka sewajarnya kita mencontohi semangat waja mereka dalam mengutip mutiara ilmu. Semoga anda berjaya!
Mutiara Kata
Luqman al-Hakim pernah berkata:
“Wahai anakku, di dunia dia ibarat perantau, tujuannya adalah kehidupan kelak. Dia selalu mengajak kepada kebaikan dan mengajarnya. Dia mencegah kejahatan dan menjauhinya, batinnya sama seperti zahirnya.”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”