Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hak wanita dan kanak-kanak dalam perjanjian damai Islam (Hudnah)?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Anfal:61)
Ibn Kathir menyatakan bahawa: jika mereka cenderung kepada keamanan, perjanjian damai, dan gencatan senjata), maka, terimalah perdamaian tersebut dan setujuilah syarat-syaratnya. Oleh sebab itu, ketika kaum musyrikin pada tahun Perjanjian Hudaibiyah meminta perjanjian damai dan menghentikan peperangan antara mereka dengan Rasulullah SAW selama sembilan tahun, maka Baginda menerimanya, meskipun mereka menetapkan beberapa syarat lain dalam perjanjian tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/83)
Hak Wanita dan Kanak-Kanak dalam Perjanjian Damai Islam (Hudnah)
Perjanjian damai (hudnah) dalam Islam bukan semata-mata bertujuan menghentikan pertempuran, sebaliknya ia juga berfungsi sebagai mekanisme penting dalam memastikan perlindungan terhadap hak wanita dan kanak-kanak di kawasan konflik. Sepanjang sejarah Islam, setiap perjanjian damai yang dimeterai tidak terbatas kepada usaha menghentikan peperangan semata-mata, tetapi turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan golongan rentan daripada ancaman dan kezaliman. Oleh itu, menjamin perlindungan wanita dan kanak-kanak perlu menjadi antara asas utama dalam setiap perjanjian damai yang dilaksanakan.
Salah satu aspek utama dalam hudnah ialah larangan keras terhadap pembunuhan dan penyeksaan wanita serta kanak-kanak dalam peperangan. Rasulullah SAW dengan jelas menegaskan prinsip ini sebagaimana dalam hadith daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.A yang menyatakan:
وُجِدَتِ امْرَأَةٌ مَقْتُولَةً فِي بَعْضِ مَغَازِي رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَنَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ
Maksudnya: “Dijumpai seorang wanita terbunuh dalam salah satu peperangan Rasulullah SAW, lalu Rasulullah SAW melarang membunuh wanita dan kanak-kanak.”
Riwayat al-Bukhari (3015) dan Muslim (1744)
Larangan ini juga thabit sebagaimana dalam athar Abu Bakar al-Siddiq R.A, beliau mewasiatkan kepada panglima perang Yazid bin Abu Sufyan R.A:
وَإِنِّي مُوصِيكَ بِعَشْرٍ: لَا تَقْتُلَنَّ امْرَأَةً، وَلَا صَبِيًّا، وَلَا كَبِيرًا هَرِمًا، وَلَا تَقْطَعَنَّ شَجَرًا مُثْمِرًا، وَلَا تُخَرِّبَنَّ عَامِرًا، وَلَا تَعْقِرَنَّ شَاةً، وَلَا بَعِيرًا، إِلَّا لِمَأْكَلَةٍ. وَلَا تَحْرِقَنَّ نَحْلًا، وَلَا تُغَرِّقَنَّهُ، وَلَا تَغْلُلْ وَلَا تَجْبُنْ
Maksudnya: “Dan aku mewasiatkan kepada kamu 10 perkara (ketika peperangan berlaku): jangan kamu bunuh wanita-wanita, dan jangan bunuh anak-anak kecil, dan jangan bunuh orang-orang tua, jangan memotong pohon yang sedang berbuah, jangan merobohkan bangunan, jangan menyembelih kambing ataupun unta kecuali hanya untuk dimakan, jangan membakar pohon kurma atau menenggelamkannya, dan janganlah jadi seperti digari atau menjadi seorang yang penakut.”
Riwayat Malik (10)
Ibn Mulaqqin menukilkan kalam Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith tersebut, bahawa beliau menyatakan: Tidak dibenarkan, menurut kesepakatan semua ulama, untuk sengaja membunuh wanita dalam peperangan dan juga kanak-kanak mereka, kerana mereka bukanlah golongan yang berperang pada kebiasaannya. (Lihat al-Taudih li Syarh Jami’ al-Sahih, 18/185)
Selain larangan membunuh, hudnah juga menekankan aspek pembebasan tawanan perang, khususnya wanita dan kanak-kanak. Allah SWT berfirman:
فَإِمَّا مَنًّا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَاءً
Maksudnya: “Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya.”
(Surah Muhammad:4)
Al-Baghawi menyatakan: “Setelah kamu menawan mereka, maka kamu boleh memilih sama ada untuk membebaskan mereka secara ihsan tanpa sebarang tebusan, atau menebus mereka dengan bayaran tertentu.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 7/278)
Dalam konteks moden, konsep ini masih relevan dan diamalkan dalam beberapa perjanjian damai yang melibatkan pihak bertelagah. Sebagai contoh, dalam konflik Palestin-Israel, laporan menyebut bahawa dalam tempoh gencatan senjata, pihak Hamas membebaskan tawanan wanita dan kanak-kanak Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran dengan tahanan Palestin di penjara Israel. Ini membuktikan bahawa aspek perlindungan terhadap wanita dan kanak-kanak dalam hudnah masih menjadi elemen utama dalam penyelesaian konflik, sebagaimana yang diajarkan dalam Islam.
Justeru, hudnah bukan sekadar satu perjanjian untuk menghentikan pertempuran, tetapi ia juga merupakan satu mekanisme perlindungan yang memastikan hak dan keselamatan wanita serta kanak-kanak terus terpelihara. Larangan membunuh, keutamaan pembebasan tawanan, serta prinsip keadilan yang diterapkan dalam perjanjian damai Islam menggambarkan bagaimana Islam mengutamakan nilai kemanusiaan, walaupun dalam keadaan peperangan. Oleh itu, dalam setiap pemeteraian hudnah, aspek hak dan perlindungan golongan rentan harus menjadi keutamaan bagi memastikan keadilan dan keamanan dapat dicapai dengan sempurna.
Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang Hudnah ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Hudnah dalam Perspektif Islam, di aplikasi al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”