Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah bentuk-bentuk gangguan terhadap isteri orang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah al-Najm: 45)
Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)
Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”
(Surah al-Ra‘d: 38)
Firman Allah SWT di dalam ayat yang lain:
وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(Surah al-Nisa’: 21)
Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.
Bentuk-Bentuk Gangguan Terhadap Isteri Orang
Dalam masyarakat, gangguan terhadap isteri orang merupakan perbuatan yang tidak bermoral dan bertentangan dengan ajaran Islam serta nilai-nilai kemanusiaan. Tindakan sebegini mencemarkan maruah wanita yang telah berkeluarga, dan berpotensi merosakkan keharmonian rumah tangga serta mencetuskan ketegangan sosial. Gangguan ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, kami perincikan sebagaimana berikut:
Pertama: Gangguan Fizikal
Gangguan fizikal juga boleh berlaku dalam bentuk usaha untuk merosakkan hubungan suami isteri, sama ada melalui hasutan, menyebarkan fitnah, atau menimbulkan keraguan dalam perkahwinan. Individu yang berniat jahat mungkin menggunakan taktik seperti menyebarkan khabar angin, mengadu domba, atau mempengaruhi salah seorang pasangan untuk mempercayai perkara yang tidak benar tentang pasangannya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ليس مِنّا مَنْ خَبَّبَ امرأةً على زَوجِها، أوْ عَبدًا على سيِّدِه
Maksudnya: “Bukan dari kalangan kami sesiapa yang merosakkan hubungan seorang wanita dengan suaminya atau seorang hamba dengan tuannya.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (2834) Hadith ini dinilai sahih dengan syarat al-Bukhari.
Al-Munawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan bahawa: Bukan dari kalangan kami orang yang merosakkan hubungan seorang wanita dengan suaminya, yakni menipunya dan menyebabkan kerosakan dalam rumah tangganya, atau (merosakkan hubungan) seorang hamba dengan tuannya, sebagaimana telah ditetapkan (dalam syariat). Jika perbuatan ini melibatkan seorang suami yang juga merupakan jiran atau memiliki hubungan kekeluargaan, maka kezaliman itu menjadi berlapis-lapis dan keburukannya bertambah besar kerana ia turut merosakkan hubungan silaturahim serta menyakiti jiran. Orang yang memutuskan hubungan silaturahim tidak akan masuk syurga, begitu juga orang yang jirannya tidak merasa aman daripada kejahatannya.
Al-Nawawi berkata dalam al-Azkar: Haram hukumnya bagi seseorang untuk mempengaruhi hamba milik seseorang, isterinya, anaknya, pembantunya, atau sesiapa sahaja yang di bawah tanggungannya dengan cara yang merosakkan hubungan mereka, kecuali jika ia dalam perkara makruf atau larangan daripada kemungkaran. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/385)
Justeru, gangguan fizikal terhadap isteri orang merupakan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan norma sosial. Tindakan seperti hasutan, menyebarkan fitnah, atau menimbulkan keraguan dalam perkahwinan membawa kesan yang negatif terhadap kesejahteraan emosi dan kestabilan institusi perkahwinan. Oleh itu, Islam menetapkan batas yang jelas dalam pergaulan antara lelaki dan wanita bagi mengelakkan sebarang bentuk gangguan yang boleh membawa kepada kehancuran rumah tangga.
Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang gangguan rumahtangga ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Mengganggu Isteri Orang Menurut Islam, di aplikasi al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami”
Wallahu a‘lam