Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah itu penunggang agama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ (15) أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin mendapatkan ganjaran duniawi dan perhiasannya, pasti Kami balas hasil usaha mereka di dunia dengan sempurna tanpa sedikit pun ada kekurangan. Merekalah orang yang tidak ada balasan pada hari akhirat kelak selain daripada api neraka. Dan apa sahaja yang mereka usahakan di dunia menjadi sia-sia dan terbatallah apa yang telah mereka kerjakan.”

(Surah Hud: 15-16)

Ibn Jarir al-Tabari menyebutkan, sesiapa yang melakukan amal soleh seperti puasa, solat, atau tahajjud pada waktu malam, tetapi hanya dilakukan semata-mata untuk tujuan duniawi, Allah berfirman yang bermaksud: “Berikanlah balasan kepadanya untuk apa yang dia minta dalam dunia, dan amalannya yang dia lakukan semata-mata untuk tujuan duniawi itu akan menjadi sia-sia. Dan dia termasuk golongan yang rugi di akhirat.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 12/347).

Definisi Penunggang Agama

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “penunggang” didefinisikan sebagai orang yang menunggang atau menunggangi sesuatu. Manakala “agama” pula bermaksud kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya, kepercayaan pada yang Maha Kuasa. Selain itu, ia juga boleh diertikan sebagai kepercayaan pada sesuatu dewa dan lain-lain (yang dipuja dan sebagainya, dan dianggap sebagai sesuatu yang amat berkuasa).

Jika kita membincangkan tentang agama Islam, makna utamanya sudah pasti terdapat dalam wahyu yang boleh ditinjau dengan merujuk kepada asal dan medan semantik kata dari istilah tersebut. Perkataan al-Din (agama) berasal dari kata (دين), menjadi sumber bagi lahirnya istilah-istilah lainnya yang mengandung keterkaitan antara satu dengan yang lain.

Seperti sebuah akar pokok yang tumbuh rendang membentuk cabang dan dahan, al-din boleh diumpamakan seperti akar bagi istilah-istilah yang berkembang menjadi satu kesatuan konsep besar yang terhubung dan tidak bisa dipisahkan dari konsep asalnya. Dana, da’in, dain, dainunah, dayyan, mudun, mada’in, madinah, maddana, madani, tamaddun adalah diantara contoh beberapa istilah yang berasal dari kata al-din sehingga berkembang secara luas membentuk konsep din.

Perkataan al-din berasal daripada kata dana-yadinu yang membawa banyak maksud. Di antara makna tersebut adalah malaka (memiliki), sasa (mengatur), hakama (menghukumi), qahara (memaksa), qadha (memutuskan), hasaba (menghitung), jaza (memberi balasan) dan ‘ada (terbiasa). (Lihat Kassyaf Istilahat al-Funun, hlm. 814-815).

Menurut Dr. Abdullah Darraz,  kebiasaan dan keyakinan seseorang yakni agamanya akan menjadi penguasa atas dirinya dan dia akan tunduk padanya. (Lihat al-Din: Buhuts Mumahhadah li Dirasar Tarikh al-Adyan, hlm. 34-35).

Menurut al-Jurjani, sesungguhnya syariat, dari segi ketaatannya, disebut sebagai al-Din (agama). (Lihat al-Ta’rifat, hlm.174).

Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang penunggang agama ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Penunggang Agama, di aplikasi al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”