Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada terbaca beberapa pendapat berkenaan “menetapkan harga” oleh pihak pemerintah atau apa yang disebut sebagai tas‘ir. Boleh ustaz jelaskan secara ringkas, sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan tas‘ir itu? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

‏يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

(Surah al-Nisa’: 29)

Dalam ayat di atas, disyaratkan saling meredhai antara penjual dan pembeli dalam memastikan sahnya jual beli. Apabila penjual menjual dengan harga yang ditetapkan, maka hilanglah sifat saling meredhai itu, sehingga jual beli menjadi cacat kerana wujudnya keterpaksaan. Justeru, ayat ini menjadi dalil tidak dibolehkan al-tas’ir (penetapan harga). (Lihat Nail al-Autar, 5/248).

Dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya ia terkait dengan definisi tas‘ir atau “penetapan harga” itu sendiri. Kami nyatakan di sini sebahagian daripadanya.

Dalam Bahasa Arab, penetapan harga barang atau price fixing disebut sebagai tas’ir (التَّسْعِيْر). Dari sudut bahasa, ia sama dengan si’r (السِّعْر) iaitu menetapkan atau menentukan harga. (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 334)

Manakala dari sudut istilah, kami nukilkan pandangan fuqaha seperti berikut:

1. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa al-tas’ir ialah:

تَقْدِيرُ سِعْرِ الطَّعَامِ وَنَحْوِهِ بِثَمَنٍ لَا يَتَجَاوَزُ

Maksudnya: “Penetapan harga makanan atau yang semisalnya dengan harga tertentu.” (Lihat Tahrir Lughat al-Tanbih, hlm. 147).

2. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyatakan bahawa al-tas‘ir ialah:

أَنْ يَأْمُرَ الْوَالِي السُّوقَةَ أَنْ لَا يَبِيعُوا أَمْتِعَتَهُمْ إلَّا بِسِعْرِ كَذَا (وَلَوْ فِي) وَقْتِ (الْغَلَاءِ) لِلتَّضْيِيقِ عَلَى النَّاسِ فِي أَمْوَالِهِمْ 

Maksudnya: “Pemerintah (atau penguasa) mengarahkan para peniaga (pasar) untuk tidak menjual barangan mereka kecuali dengan harga tertentu, walaupun pada saat harga sedang melambung tinggi, dengan tujuan menyempitkan kehidupan orang ramai dalam urusan harta mereka.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 2/38).

3. Ibn ‘Arafah al-Maliki menyatakan bahawa al-tas‘ir ialah:

تَحْدِيدُ حَاكِمِ السُّوقِ لِبَائِعِ الْمَأْكُولِ فِيهِ قَدْرًا لِلْمَبِيعِ بِدِرْهَمٍ مَعْلُومٍ

Maksudnya: “Penetapan oleh penguasa pasar bagi penjual makanan di dalamnya dengan kadar tertentu untuk jualan dengan harga nilai dirham yang diketahui.” (Lihat Syarh Hudud Ibn Arafah, hlm. 258)

4. Al-Buhuti menyatakan bahawa al-tas‘ir ialah: 

(أَنْ يُسَعِّرَ الْإِمَامُ) أَوْ نَائِبُهُ (عَلَى النَّاسِ سِعْرًا وَيَجْبُرَهُمْ عَلَى التَّبَايُعِ بِهِ) أَيْ بِمَا سَعَّرَهُ.

Maksudnya: “Imam (pemerintah) atau wakilnya menetapkan harga ke atas orang ramai dan mewajibkan mereka berjual beli dengannya, iaitu dengan harga yang telah ditetapkannya.” (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 3/187)

5. Al-Syaukani menyatakan bahawa al-tas‘ir ialah: 

هُوَ أَنْ يَأْمُرَ السُّلْطَانُ أَوْ نُوَّابُهُ أَوْ كُلُّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أُمُورِ الْمُسْلِمِينَ أَمْرًا أَهْلَ السُّوقِ أَنْ لَا يَبِيعُوا أَمْتِعَتَهُمْ إلَّا بِسِعْرِ كَذَا، فَيُمْنَعُوا مِنْ الزِّيَادَةِ عَلَيْهِ أَوْ النُّقْصَانِ لِمَصْلَحَةٍ

Maksudnya: “Iaitu apabila sultan, wakil-wakilnya, atau sesiapa sahaja yang diberi kuasa dalam urusan kaum Muslimin memerintahkan penduduk pasar supaya tidak menjual barangan mereka kecuali dengan harga tertentu, lalu mereka dilarang daripada menaikkan atau menurunkannya demi suatu kepentingan (maslahah).” (Lihat Nail al-Autar, 5/260).

Dr. Fathi al-Duraini menjelaskan definisi yang dikemukakan oleh al-Syaukani ini dengan menyebut bahawa: Pertama, dengan adanya perintah penguasa atau wakilnya mengisyaratkan adanya paksaan, yang wajib diikuti oleh peniaga. Kedua, lafaz amti’ah (أَمْتِعَة) menunjukkan pengertian yang luas, iaitu semua barang niaga yang memberi kemudaratan kepada manusia apabila ditahan atau dinaikkan harganya. Ketiga, disebutkan tujuan penetapan harga barang untuk kemaslahatan adalah bagi menunjukkan pentingnya penetapan harga barang dalam menolak kemudaratan. Keempat, penyebutan tidak boleh menjual dengan melebihkan atau mengurangkan daripada harga yang telah ditetapkan, maka dalam hal melebihkan harga, itu adalah jelas dilarang kerana akan memberikan kemudaratan kepada manusia. Sedangkan dalam mengurangkannya, tidak ditemui sesuatu alasan untuk tidak membolehkannya dalam waktu-waktu yang sulit, bahkan mengurangkan harga ini dibolehkan kerana sesuai dengan tujuan penetapan harga barang itu sendiri, iaitu memberi manfaat kepada manusia dan meringankan kesulitan mereka dengan cara memenuhi keperluan mereka, kecuali apabila diyakini bahawa dengan mengurangkan harga, akan berlaku monopoli harga barang. Kelima, yang boleh melakukan tas’ir adalah sultan atau ketua negara/pemerintah. (Lihat al-Fiqh al-Islami al-Muqaran Ma’a al-Mazahib, hlm. 140).

Ini adalah sebahagian daripada definisi tas’ir yang menggambarkan pihak pemerintah menetapkan kadar siling harga barang tertentu bagi menjaga maslahat masyarakat yang lebih banyak dari merasakan mudarat disebabkan kenaikan harga barang yang boleh jadi melampau.

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini boleh lah merujuk kepada e-book kami yang bertajuk: “Polemik Kenaikan Harga Barang dan Keperluan Penetapan Harga,” dan membacanya dalam aplikasi al-Inarah kami.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”