Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz berikan takrif atau definisi fatwa? Ini supaya kami lebih dapat faham dan jelas berkenaannya. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan kami dengan menyatakan bahawa Allah SWT sendiri mengambil peranan dalam memberikan fatwa. Ini dapat dilihat menerusi firman-Nya:

وَيَسْتَفْتُونَكَ فِي النِّسَاءِ ۖ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ

Maksudnya: “Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu: ‘Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka.’

(Surah al-Nisa’: 127)

Ibn Kathir berkata: Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha mengenai firman Allah:  “Dan mereka meminta fatwa kepadamu tentang wanita. Katakanlah: Allah memberikan fatwa kepadamu tentang mereka…” (hingga firman-Nya) “…sedang kamu ingin mengahwini mereka.

Aisyah R.Anha berkata: “Ayat ini merujuk kepada seorang lelaki yang menjadi wali dan pewaris kepada seorang anak yatim perempuan. Lelaki itu mencampurkan harta anak yatim tersebut dengan hartanya sendiri, termasuk dalam urusan makanan. Dia juga ingin mengahwini anak yatim itu tetapi tidak mahu menikahkannya dengan lelaki lain kerana bimbang harta yang telah dicampurkan itu akan diuruskan oleh orang lain. Oleh sebab itu, dia menghalang anak yatim tersebut daripada berkahwin. Maka, turunlah ayat ini sebagai petunjuk daripada Allah.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/491).

Dalam menjawab soalan di atas, kami nyatakan bahawa definisi fatwa terbahagi kepada dua; dari segi bahasa dan dari segi istilah.

Terlebih dahulu definisi fatwa dari segi bahasa.

Memandangkan perkataan “fatwa” (فَتْوَى) berasal daripada bahasa Arab, sudah tentu rujukan makna dan maksudnya dipetik daripada buku-buku bahasa Arab yang muktabar. Perkataan fatwa disebut dalam tiga sebutan, iaitu fatwa (فَتْوَى), futya (فُتْيَا), dan futwa (فُتْوَى) di mana kata jamak (pluralal-fatawa (الفَتَاوَى) dan al-fatawi (الفَتَاوِي) yang memberi maksud penjelasan. (Lihat Lisan al-‘Arab, 5/202; Maqayis al-Lughah, 4/473).

Dalam erti kata lain, penjelasan dan penerangan oleh seseorang yang faqih mengenai sesuatu perkara, terutamanya yang melibatkan kemusykilan dan kesamaran dalam hukum, serta sebagai jawapan kepada permasalahan yang diajukan.

Kemudian, definisi fatwa dari segi istilah

Adapun definisi fatwa dari segi istilah, para ulama telah memberikan pelbagai takrifan mengenainya, antaranya ialah:

     Al-Qarafi menyatakan fatwa ialah pemberitahuan tentang hukum Allah sama ada dalam bentuk kewajipan atau keharusan. (Lihat al-Furuq, 4/53)

     Al-Jurjani berpendapat, fatwa ialah penjelasan tentang hukum sesuatu permasalahan. (Lihat al-Ta‘rifat, hlm. 32).

     Al-Qunawi al-Hanafi mengatakan bahawa fatwa adalah menyebutkan hukum pada perkara yang ditanyakan kepada penyoal. (Lihat Anis al-Fuqaha, 1/319).

     Al-Munawi berpendapat, fatwa ialah penjelasan tentang hukum bagi situasi/perkara yang ditanyakan berkenaannya. (Lihat al-Tauqif ‘ala Muhimmat al-Ta‘arif, hlm. 57).

     Al-Buhuti menyatakan, fatwa adalah menjelaskan hukum syarak kepada sesiapa yang bertanya tentangnya. (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 3/483).

     Al-Syaukani mengatakan bahawa fatwa adalah hasil daripada ijtihad. (Lihat Irsyad al-Fuhul, hlm. 443).

     Ibn Hamdan menyatakan, fatwa adalah menjelaskan hukum syarak berdasarkan dalil kepada sesiapa yang bertanya mengenainya. (Lihat Sifat al-Fatwa, hlm. 4).

     Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/2284).

     Muhammad Husin al-Jizani pula mendefinisikan fatwa sebagai penjelasan hukum syarak. (Lihat Ma‘alim Usul al-Fiqh ‘inda Ahli al-Sunnah)

     Muhammad Taqi al-‘Uthmani berkata: “Fatwa ialah jawapan kepada masalah agama. Ini kerana, mufti menjawab semua hukum syarak yang bersifat amali dan juga permasalahan akidah.” (Lihat Usul al-Ifta’ wa Adabuhu, hlm. 10).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada takrifan-takrifan di atas yang dikemukakan oleh para ulama, dapat disimpulkan bahawa fatwa dari segi istilah merujuk kepada penjelasan hukum syarak yang diberikan oleh seorang mufti atau faqih berdasarkan dalil syarak dalam menjawab persoalan yang diajukan. Fatwa juga boleh berbentuk pemberitahuan hukum Allah SWT, sama ada dalam bentuk kewajipan atau keharusan, serta merupakan hasil ijtihad dalam menentukan hukum bagi suatu isu yang memerlukan penjelasan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”