Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kita sekarang sedang menyaksikan tindakan seorang pemimpin politik yang zalim, bukan hanya memarakkan lagi api peperangan, tetapi turut membuat kekacauan pada ekonomi dunia baru-baru ini. Kita sebagai orang Islam, apakah yang syara‘ telah sebutkan tentang pemimpin yang zalim ini?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam Islam, kezaliman adalah kata lawan bagi keadilan, iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya serta menindas dan merampas hak orang lain. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, kezaliman ini merujuk kepada perbuatan yang tidak adil, perlakuan bengis dan kekejaman.[1]
Dalam konteks politik, kezaliman merujuk kepada ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa, dan penindasan terhadap rakyat. Allah SWT telah melarang kezaliman dalam pemerintahan kerana ia membawa kepada kehancuran masyarakat dan kemurkaan-Nya. Kezaliman bukan sahaja merosakkan negara, malah menyebabkan penderitaan kepada rakyat dan menimbulkan ketidakstabilan politik. Firman-Nya:
وَلَا تَرْكَنُوٓا۟ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”
(Surah Hud: 113)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya serta hamba-hamba-Nya yang beriman agar tetap teguh dan terus berada di jalan yang lurus. Keteguhan ini merupakan bantuan terbesar dalam mencapai kemenangan ke atas musuh dan menghadapi sebarang cabaran. Allah juga melarang perbuatan zalim kerana kezaliman membawa kehancuran, bahkan terhadap golongan musyrik sekalipun. Allah SWT memberitahu bahawa Dia Maha Melihat segala amalan hamba-hamba-Nya, tidak pernah lalai terhadap sesuatu, dan tiada satu pun yang tersembunyi daripada-Nya.
Firman Allah: “Dan janganlah kalian cenderung kepada orang-orang yang zalim” Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa maksud ayat ini ialah: Janganlah kalian cenderung kepada mereka—iaitu, janganlah meminta pertolongan daripada orang-orang yang zalim sehingga seolah-olah kalian meredai perbuatan mereka. “(Yang akibatnya kalian akan disentuh api neraka, dan sekali-kali kalian tidak mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kalian tidak akan diberi pertolongan)” Maksudnya, kalian tidak akan memiliki sesiapa pun yang dapat melindungi dan menyelamatkan kalian daripada azab Allah, melainkan Dia semata-mata. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/633)
Pemimpin yang tidak berlandaskan wahyu dan mempunyai sentimen kebencian terhadap seterunya dari negara lain, dia akan cenderung menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, seperti memperkayakan diri sendiri dan kroni dengan harta rakyat, menindas suara rakyat dengan undang-undang yang tidak adil, menggunakan pasukan keselamatan untuk mempertahankan kepentingan sendiri, dan sebagainya. Rasulullah SAW mengancam keras pemimpin yang zalim begini dalam sabda Baginda:
إِنَّ شَرَّ الرِّعَاءِ الْحُطَمَةُ
Maksudnya: “Sesungguhnya seburuk-buruk pemimpin ialah mereka yang menindas rakyat.”
Riwayat Muslim (1830)
Sebuah kerajaan yang adil mestilah memberi hak kepada setiap rakyat tanpa diskriminasi. Namun, apabila kezaliman berlaku, yang sering terjadi ialah; ketidakadilan dalam sistem perundangan seperti menghukum rakyat biasa tetapi membiarkan golongan berkuasa bebas, diskriminasi politik dengan hanya mengutamakan kelompok tertentu dalam mendapatkan hak dan bantuan, atau penyelewengan dalam pilihan raya dengan cara menipu undi dan menghalang rakyat daripada memilih pemimpin yang layak. Kesannya, berlakulah ketidakstabilan ekonomi sehingga masyarakat hilang kepercayaan kepada sistem pemerintahan.
Saudara ajukan berkenaan kekacauan yang dilakukan oleh pemimpin tersebut terhadap ekonomi dan peperangan, dan kesannya telah jelas kelihatan tanpa perlu kita perlu kaji lagi, iaitu suburnya perasaan dendam, kebencian dan perpecahan, sekali gus mengancam perpaduan antara negara-negara bersekutu yang lain. Kezaliman seorang pemimpin politik bukan sekadar memberi kesan di peringkat domestik atau nasional, tetapi mempunyai impak jangka masa panjang terhadap kestabilan global. Kita melihat sendiri bagaimana kezaliman pemimpin mencetuskan krisis yang melangkaui sempadan negara, menggugat keamanan sejagat dan menjejaskan struktur ekonomi global. Sejarah silam dan realiti hari ini membuktikan bahawa keadilan adalah tiang sesebuah negara, manakala kezaliman adalah benih kehancuran. Allah SWT memperingatkan kita dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا ٱلْقُرُونَ مِن قَبْلِكُمْ لَمَّا ظَلَمُوا۟ ۙ وَجَآءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ وَمَا كَانُوا۟ لِيُؤْمِنُوا۟ ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْقَوْمَ ٱلْمُجْرِمِينَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.”
(Surah Yunus: 13)
Islam telah menetapkan keadilan sebagai asas untuk membina pemerintahan yang mendapat kepercayaan rakyat. Sebaliknya pemerintahan yang kekal di atas kezaliman, ia pasti tidak akan kekal lama. Ini yang dijanjikan Allah SWT sebagaimana dalam firman-Nya:
إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.”
(Surah al-An‘am: 21)
Ibn Khaldun telah membincangkan isu ini dalam sebuah bab yang khusus, bahawa kezaliman merupakan sebab utama kejatuhan sesebuah tamadun. Ia bukan sahaja merosakkan sistem keadilan, malah meruntuhkan nilai-nilai asas yang menjadi teras negara. (Lihat Tarikh Ibn Khaldun, 1/353)
Kezaliman pemimpin politik bukan sekadar menyakiti rakyat dalam sempadan negaranya, bahkan turut melibatkan mana-mana negara lain yang tidak bersalah. Ia ibarat api kecil yang, jika tidak dipadam, akan marak membakar keamanan dunia. Pemimpin adalah cerminan kepada negaranya. Justeru, pemimpin yang beriman dan berpegang kepada prinsip keadilan akan membawa kesejahteraan dan kestabilan. Sebaliknya, pemimpin yang zalim akan membawa kehancuran dan kemurkaan Tuhan.
Maka marilah kita semua, baik pemimpin mahupun rakyat, kembali kepada asas pemerintahan yang adil, telus, dan berteraskan nilai-nilai agama. Keamanan dan kemakmuran tidak akan tercapai dengan kezaliman, tetapi hanya dengan kejujuran, amanah, dan kesediaan untuk menjunjung keadilan dalam setiap tindakan.
Sesungguhnya, apabila keadilan subur di bumi, rahmat Allah akan turun dari langit. Tetapi apabila kezaliman merata, maka kehancuran itu tidak akan memilih mangsa. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.”
Wallahu a‘lam
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kezaliman. Diakses pada 9 April 2025.