Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan kepada ustaz berkenaan pandangan dan sedikit buah fikiran berkenaan kesedaran dan keterbukaan masyarakat terutamanya dalam kalangan Muslim dalam isu rawatan kesihatan? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kesihatan bukan sekadar anugerah, tetapi juga amanah. Ia adalah tiang utama dalam membentuk kesejahteraan hidup, baik dari aspek fizikal, mental, mahupun spiritual. Oleh itu, kita dituntut untuk melihat kesihatan secara menyeluruh, bukan hanya dari sudut rawatan semata-mata, tetapi juga pencegahan, pemeliharaan, dan keseimbangan dalam kehidupan. Bahkan jika kita diuji dengan sakit atau suatu penyakit, kita turut dituntut untuk mengambil asbab. Dalam erti kata lain, berusaha atau menggunakan sebab-sebab yang munasabah dan dibenarkan untuk mencapai sesuatu tujuan iaitu merawat sakit atau penyakit yang dialami. Dalam Islam, konsep ini merujuk kepada keperluan manusia untuk berusaha dengan cara yang betul sebelum menyerahkan hasilnya kepada ketentuan Allah. Justeru, pada hakikatnya mengambil asbab adalah termasuk dalam hakikat tawakal.
Konsep ini bertepatan dengan sunnatullah, di mana Allah SWT telah menetapkan dunia ini berfungsi berdasarkan hukum sebab dan akibat. Rasulullah SAW sendiri mengamalkan prinsip mengambil asbab, seperti memakai baju besi dalam peperangan walaupun Baginda mempunyai perlindungan Allah SWT.
Oleh yang demikian, seperti mana yang kami sudah nyatakan sebelum ini, menjadi sunnatullah agar kita berusaha dan mencari sebab bagi melaksanakan sesuatu atau mengenal sebarang bentuk penyakit seterusnya dengan itu dapat mencari ramuan serta rawatan untuk penyakit tersebut.
Benarlah hadith Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً، فَتَدَاوَوْا، وَلَا تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menurunkan penyakit dan penawarnya. Dia jadikan setiap penyakit ada penawarnya. Maka hendaklah kamu berusaha merawat tetapi jangan merawat dengan bahan yang haram.”
Riwayat Abu Daud (3874)
Syeikh Muhammad Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menyatakan hadith di atas bermaksud Allah SWT menciptakan dan mengadakan kedua-duanya (iaitu penyakit dan penawar). Begitu juga setiap penyakit ada penawarnya dan penawar tersebut adalah sesuatu yang halal. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 10/251).
Berdasarkan nas di atas, berusaha dan mengambil asbab dalam mencari rawatan, khususnya dengan meneroka pelbagai kaedah yang bersifat holistik, moden, dan terkini, adalah sesuatu yang boleh diterima dan digalakkan.
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan iaitu sedikit buah fikiran berkenaan kepentingan kesedaran dan keterbukaan dalam memahami serta menerima pelbagai kaedah rawatan yang berkembang dalam dunia perubatan. Dalam ruangan yang terhad ini, kami nyatakan bahawa ia menggariskan beberapa perkara utama. Di antaranya ialah:
1. Kepelbagaian Kaedah Rawatan di Pelbagai Budaya.
Setiap bangsa di dunia mempunyai sistem perubatan tersendiri, termasuk rawatan tradisional seperti perubatan Cina, Ayurveda[1] dari India, dan pendekatan perubatan dari tamadun lain. Ada yang dibenarkan dalam perubatan moden, sementara ada yang dilarang kerana bertentangan dengan prinsip saintifik atau agama. Oleh itu, penting untuk menyaring dan memilih kaedah rawatan terbaik yang terbukti berkesan dan selamat untuk pesakit.
2. Kemajuan Teknologi dalam Perubatan.
Perkembangan teknologi dalam dunia perubatan berlaku dengan sangat pesat. Alat-alat canggih yang ada hari ini jauh berbeza daripada teknologi perubatan 40 atau 50 tahun lalu. Malah, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence — AI) kini mula memainkan peranan besar dalam bidang perubatan, termasuk dalam diagnosis penyakit, rawatan, dan penyelidikan. Ini menunjukkan keperluan untuk mengadaptasi teknologi baharu tanpa mengabaikan aspek kemanusiaan dalam rawatan pesakit.
Kecerdasan buatan (Artificial Intelligence — AI) membawa pelbagai manfaat dalam dunia perubatan, mengubah cara perkhidmatan kesihatan disampaikan serta meningkatkan keberkesanan rawatan dan hasil pesakit melalui pelbagai pendekatan. Di antaranya, diagnosis pantas dan tepat, meramal kesihatan masa depan iaitu meramalkan kemungkinan seseorang mengalami penyakit sebelum ia berlaku, supaya langkah pencegahan awal dapat diambil, sebagai pembantu kesihatan maya dan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penemuan ubat baharu.[2]
3. Peranan Nilai Kemanusiaan dan Empati dalam Perubatan.
Meskipun teknologi dalam bidang perubatan terus berkembang, nilai ihsan, perasaan emosi, dan sikap tetap perlu diberi keutamaan dalam penjagaan kesihatan. Interaksi antara doktor dan pesakit, kesabaran sepanjang rawatan, serta pendekatan yang lebih bersifat kemanusiaan merupakan elemen penting dalam membantu proses pemulihan. Kesihatan tidak terhad kepada aspek fizikal semata-mata, bahkan turut melibatkan kesejahteraan emosi dan rohani individu.
Selain daripada itu, di antara perkara yang tidak dapat disangkal bahawa dalam ajaran Islam, aspek kesihatan tidak hanya terbatas kepada rawatan jasmani semata-mata, malah turut merangkumi unsur doa, ibadah, sedekah, serta amalan-amalan lain yang memberi impak positif terhadap kesihatan. Syukur kepada Allah, pelbagai kajian kontemporari yang diiktiraf oleh para pakar telah menunjukkan bahawa amalan ibadah dalam Islam memberikan sumbangan besar kepada kesejahteraan kesihatan. Sebagai contoh, ibadah puasa bukan sahaja suatu kewajipan agama, malah terbukti secara saintifik dapat memberikan manfaat kepada tubuh badan.
Bahkan dalam hal ini, Dr Mohd Shaiful Ehsan bin Shalihin ada menyebutkan beberapa manfaat puasa dari sudut kesihatan. Di antaranya, ia dapat mengawal penyakit tidak berjangkit, terbukti berkesan dalam membantu menurunkan berat badan, meningkatkan kadar metabolisme badan, mengurangkan risiko kematian awal dan mencegah kanser, mencegah penyakit nyanyuk, meningkatkan kesuburan dan lain-lain lagi.[3]
Selain itu, di antara contoh lain yang ada manfaatnya dari sudut kesihatan adalah sedekah. Hadith Nabi SAW, daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, Rasulullah SAW bersabda:
دَاوُوا مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ
Maksudnya: “Rawatlah orang-orang sakit dalam kalangan kamu dengan bersedekah.”
Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil (105), al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman(3/1310) dan al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (2/274). Syeikh al-Ghumari menilai hadith ini sebagai sahih.
Al-Munawi menyebutkan, sesungguhnya perubatan terbahagi kepada dua jenis: jasmani dan rohani. Nabi SAW telah memberikan panduan mengenai perubatan jasmani sebelum ini, dan kini Baginda menekankan aspek perubatan rohani. Oleh itu, Baginda memerintahkan agar orang yang sakit dirawat dengan sedekah, sekaligus mengisyaratkan bahawa amalan kebajikan lain, seperti membantu orang yang dalam kesusahan dan memberikan pertolongan kepada mereka yang ditimpa musibah, juga mempunyai kesan penyembuhan.
Para individu yang diberi taufik telah mencuba kaedah ini dan mendapati bahawa ubat rohani mampu memberikan kesan yang tidak dapat dicapai oleh ubat fizikal. Hanya mereka yang masih terhijab sahaja yang menafikan hakikat ini. Nabi SAW adalah doktor bagi hati, maka sesiapa yang memiliki kesediaan penuh untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, Baginda akan mengarahkannya kepada perubatan rohani. Sebaliknya, bagi mereka yang tidak berada dalam keadaan demikian, Nabi SAW akan menasihatinya dengan rawatan jasmani yang sesuai dengan keadaannya.
Seterusnya al-Munawi menyebutkan beberapa contoh “merawat pesakit dengan sedekah,” iaitu seperti dengan memberi makanan kepada mereka yang kelaparan, melakukan kebaikan kepada orang yang dalam kesusahan, serta menguatkan hati mereka yang sedang berduka, seperti golongan pesakit yang terasing, orang-orang fakir, para janda, serta orang-orang miskin yang tidak dipedulikan oleh masyarakat. (Lihat Faidh al-Qadir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 3/515)
Di samping itu, aspek yang juga wajar diberikan perhatian ialah keperluan mewujudkan persekitaran yang selesa serta layanan berhemah daripada petugas kesihatan dalam menyokong proses pemulihan pesakit. Persekitaran yang positif bukan sahaja memberikan ketenteraman kepada pesakit, malah mampu menjadi dorongan untuk meningkatkan motivasi mereka dalam melawan penyakit. Elemen psikologi memainkan peranan yang signifikan dalam proses rawatan, di mana suasana yang menyenangkan — seperti kebersihan ruang, suasana yang tenang, dan kehadiran unsur alam semula jadi seperti taman atau pemandangan menarik — boleh membantu pesakit berasa lebih tenang dan bersemangat untuk meneruskan rawatan.
Inilah sedikit sebanyak buah fikiran dan pandangan kami berkenaan isu kesihatan ini. Bagi mereka yang berminat ingin mengetahui lebih lanjut dan mendapatkan maklumat tambahan berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada e-book kami yang bertajuk, “Kesihatan Ummah: Mencegah, Mengambil Asbab & Bertawakal,” dan membacanya dalam aplikasi al-Inarah kami.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
[1] Ayurveda (perkataan Sanskrit yang bermaksud “sains kehidupan” atau “pengetahuan tentang kehidupan”) merupakan salah satu sistem penyembuhan holistik tertua di dunia. Ia telah berkembang lebih daripada 5,000 tahun yang lalu di India.
Ayurveda berasaskan kepercayaan bahawa kesihatan dan kesejahteraan bergantung kepada keseimbangan yang harmoni antara minda, tubuh, roh, dan persekitaran. Matlamat utama perubatan Ayurveda adalah untuk memelihara kesihatan yang baik serta mencegah penyakit, bukan sekadar merawatnya. Namun, rawatan dalam Ayurveda juga boleh disesuaikan untuk menangani masalah kesihatan tertentu. (WebMD. Ayurvedic Treatments. Diakses pada 10 Mac 2025. https://www.webmd.com/balance/ayurvedic-treatments).
[2] Macgence. Kemajuan Penjagaan Kesihatan: Kecerdasan Buatan dalam Bidang Perubatan. Diakses pada 10 Mac 2025. https://ms.macgence.com/blog/advancing-healthcare-artificial-intelligence-in-the-medical-field/.
[3] Mohd Shaiful Ehsan bin Shalihin. Kebaikan Berpuasa di Bulan Ramadhan terhadap Kesihatan. Malaysian Medical Gazette. Diakses pada 11 Mac 2025. https://www.mmgazette.com/kebaikan-berpuasa-di-bulan-ramadhan-terhadap-kesihatan-dr-mohd-shaiful-ehsan-bin-shalihin/.