Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Baru-baru ini saya lihat terlalu mudah orang sekarang mengeluarkan fatwa dengan sewenang-wenangnya terutamanya sesiapa yang dipanggil sebagai ustaz selebriti. Apa pendapat ustaz dan nasihat ustaz berkenaan hal ini? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, kepentingan fatwa oleh mereka yang berkelayakan adalah tidak dapat dinafikan lagi. Ini kerana Allah SWT sendiri mengambil peranan dalam memberikan fatwa. Ini dapat dilihat menerusi firman-Nya:

وَيَسْتَفْتُونَكَ فِي النِّسَاءِ ۖ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ

Maksudnya: “Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu: ‘Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka.’

(Surah al-Nisa’: 127)

Ibn Kathir berkata: Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha mengenai firman Allah:  “Dan mereka meminta fatwa kepadamu tentang wanita. Katakanlah: Allah memberikan fatwa kepadamu tentang mereka…” (hingga firman-Nya) “…sedang kamu ingin mengahwini mereka.”

Aisyah R.Anha berkata: “Ayat ini merujuk kepada seorang lelaki yang menjadi wali dan pewaris kepada seorang anak yatim perempuan. Lelaki itu mencampurkan harta anak yatim tersebut dengan hartanya sendiri, termasuk dalam urusan makanan. Dia juga ingin mengahwini anak yatim itu tetapi tidak mahu menikahkannya dengan lelaki lain kerana bimbang harta yang telah dicampurkan itu akan diuruskan oleh orang lain. Oleh sebab itu, dia menghalang anak yatim tersebut daripada berkahwin. Maka, turunlah ayat ini sebagai petunjuk daripada Allah.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/491)

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, memperkatakan sesuatu tentang Allah tanpa ilmu adalah dosa besar, bahkan Allah SWT mengaitkannya dalam al-Quran dengan perbuatan keji, kezaliman, dan syirik. Allah SWT berfirman:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah: ‘Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.’

(Surah al-A‘raf: 33)

Ibn al-Qayyim menyatakan, Allah SWT telah menetapkan larangan dalam empat peringkat. Baginda memulakan dengan yang paling ringan, iaitu perbuatan keji (الْفَوَاحِشَ), kemudian diikuti dengan sesuatu yang lebih berat larangannya, iaitu dosa dan kezaliman (الْإِثْمَ وَالْبَغْيَ). Seterusnya, Baginda menyebut sesuatu yang lebih besar larangannya daripada semua itu, iaitu memperkatakan sesuatu tentang Allah tanpa ilmu. Larangan ini merangkumi berbicara tentang Allah tanpa ilmu dalam perkara berkaitan nama dan sifat-Nya, perbuatan-Nya, serta dalam urusan agama dan syariat-Nya. (LihatI‘lam al-Muwaqqi‘in, 1/38).

Tambahan lagi, Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ العِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ العِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ العِلْمَ بِقَبْضِ العُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا، فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengambil ilmu ini sekali gus dengan dicabutnya daripada hati hamba-hambanya, tetapi Dia mengambil ilmu dengan mematikan para ulama sehingga apabila tidak tinggal seorang pun orang alim. Pada ketika itu, orang ramai menjadikan orang-orang jahil sebagai ketua-ketua mereka. Apabila ditanya, mereka mengeluarkan fatwa tanpa ilmu. Mereka sendiri sesat dan menyesatkan orang lain.”

Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, terdapatnya galakan dalam untuk menjaga ilmu dan memberi peringatan terhadap bahaya memberikan kedudukan kepada orang yang jahil. Dalam hadith ini juga terdapat penegasan bahawa fatwa merupakan kepimpinan yang sebenar, serta celaan terhadap sesiapa yang berani mengeluarkan fatwa tanpa ilmu. (Lihat Fath al-Bari, 1/195)

Allah SWT berfirman dalam kitab-Nya:

وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ تَرَى الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللَّهِ وُجُوهُهُم مُّسْوَدَّةٌ ۚ أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْمُتَكَبِّرِينَ

Maksudnya: “Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah (dan yang menyatakan kesedihan itu) — muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur?

(Surah al-Zumar: 60)

Berdusta terhadap Allah adalah dosa yang lebih besar daripada seseorang yang berfatwa tanpa ilmu.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أُفْتِىَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ إثْمُهُ عَلَى مَنْ أفْتاهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berfatwa tanpa ilmu, maka dosanya akan ditanggung oleh orang yang memberinya fatwa.

Riwayat Abu Dawud (3657) dan Ibn Majah (53)[1]

Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz ada menyebutkan, antara dosa yang paling besar adalah berfatwa tanpa ilmu. Betapa ramai orang yang tersesat kerana fatwa yang salah, dan betapa ramai pula yang binasa akibatnya. Terutama jika fatwa tersebut diumumkan secara terbuka di hadapan khalayak ramai, atau dikeluarkan oleh seseorang yang dipercayai oleh sebahagian masyarakat. Maka bahayanya amat besar dan akibatnya sangat buruk. Sesiapa yang berfatwa tanpa ilmu, maka dia akan menanggung dosa orang yang mengikutinya. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 3/219).

Ini menunjukkan bahawa mengeluarkan fatwa atau berkata tentang hukum syarak tanpa ilmu bukan sahaja menyesatkan diri sendiri, tetapi juga berpotensi menyesatkan masyarakat, yang menjadikannya sebagai dosa besar dalam Islam.

Para salafussoleh sangat berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa, dan terdapat banyak contoh yang menunjukkan hal ini. Antaranya:

Daripada ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila, beliau berkata: “Aku pernah mendapati di masjid ini seramai 120 orang daripada golongan Ansar. Tidak ada seorang pun dalam kalangan mereka yang meriwayatkan hadith melainkan mereka lebih suka jika saudaranya yang menyampaikan hadith tersebut. Begitu juga, tidak ada seorang pun yang ditanya tentang suatu fatwa melainkan mereka lebih suka jika saudaranya yang menjawabnya.”

Riwayat al-Darimi (135)

Sebenarnya kami sudah menjawab berkenaan fatwa ini secara panjang lebar dalam e-book kami yang bertajuk, “Kepentingan Fatwa dalam Pembentukan Ummah.” Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat tambahan dan penjelasan lanjut mengenainya, bolehlah membacanya dalam aplikasi al-Inarah kami.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

[1] Dinilai sebagai hasan dalam Sahih Sunan Abi Dawud (2/410)