Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya terdapat kemusykilan berkenaan keharusan muzik, boleh Dato’ kemukakan kepada kami fatwa-Fatwa Ulama’ berkaitan keharusan muzik dan nyanyian? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ
Maksudnya: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”
(Surah Luqman: 6)
Imam Ibn Kathir mengatakan di dalam tafsirnya, Allah SWT menceritakan di dalam surah al-Zumar ayat 23 perihal orang-orang yang bahagia, iaitu mereka yang diberi petunjuk dengan al-Quran dan mendapat manfaat apabila mendengarnya. Kemudian Allah SWT menyebut pula perihal orang-orang yang malang, iaitu mereka yang enggan mengambil manfaat dengan mendengar bacaan al-Quran, akan tetapi mendengar tiupan seruling dan nyanyian berserta alat lagu, seperti tafsiran Ibn Mas‘ud bagi surah Luqman ayat 6 katanya: “Demi Allah yang dimaksudkan adalah lagu.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/295)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, perbahasan mengenai keharusan muzik dan nyanyian dalam Islam telah menjadi isu yang dibincangkan oleh para ulama sejak zaman dahulu hingga ke hari ini. Ulama klasik dan kontemporari telah mengemukakan pandangan mereka berdasarkan dalil-dalil syarak, sama ada daripada al-Quran, hadith, mahupun kaedah fiqh yang berkaitan. Sebahagian ulama membenarkan muzik dan nyanyian dengan syarat ia tidak mengandungi unsur yang diharamkan, manakala sebahagian yang lain lebih cenderung kepada larangan berdasarkan beberapa nas tertentu.
Fatwa-fatwa para ulama dari pelbagai mazhab diketengahkan untuk memahami bagaimana muzik dan nyanyian dinilai dalam konteks syariat, serta bagaimana pandangan mereka berinteraksi dengan realiti masyarakat dari dahulu hingga kini. Anatara pandangan mereka yang mengaruskan nanyian dan muzik adalah sebagaiamana berikut:
Pertama: Abu Bakar Ibn al-‘Arabi
Setelah membawakan hadith-hadith yang digunakan untuk mengharamkan nyanyian, beliau menyatakan: tidak ada satu pun dalil yang sahih untuk mengharamkan nyanyian, kerana perawi-perawinya yang tidak thiqah. Yang lebih sahih ialah riwayat-riwayat tersebut adalah batil. (Lihat Ahkam al-Qur’an, 3/526)
Kedua: Syeikh Sulaiman al-Jamal
Beliau memakruhkan nyanyian tanpa alat muzik, meskipun nyanyian itu dinyanyikan oleh ajnabi atau golongan amrad (remaja lelaki yang kurang sifat kelakian). Namun jika ditakuti timbulnya fitnah atau melibatkan pandangan mata yang diharamkan, maka nyanyian tersebut menjadi haram. Adapun nyanyian ibu untuk menenangkan anaknya atau untuk melajukan pergerakan unta yang ditunggang seperti amalan orang Arab, maka tiada keraguan akan keharusannya. Syeikh Sulaiman turut memetik pandangan Imam al-Ghazali yang menyatakan setiap nyanyian bergantung kepada niat; niat untuk bermaksiat dihukumkan maksiat, ketaatan sebagai ketaatan dan jika tidak berniat apa-apa, maka ia dikira sebagai al-lahwu yang dimaafkan. Manakala nyanyian yang disertai alat muzik, maka ia dikira haram. (Lihat Hasyiah Jamal ‘ala Syarh Minhaj al-Tullab, 5/380)
Ketiga: Imam Qalyubi
Meskipun beliau mengharamkan nyanyian selain pada hari perayaan, beliau mengharuskan nyanyian dalam keadaan sakit dengan niat untuk menyembuhkan sakit, dengan syarat ia diakui oleh doktor yang ‘adil. (Lihat Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah, 4/321)
Keempat: Imam al-Syaukani
Beliau meriwayatkan banyak athar daripada sahabat dan tabi’in yang menunjukkan keharusan mendengar nyanyian dan muzik, antaranya Ibn ‘Umar, Mu’awiyah, Amr bin al-‘As, Abdullah bin Jaafar dan Hasan bin Thabit R.’Anhum.
Beliau turut membawakan beberapa riwayat daripada ramai ulama seperti Abu Ya’la, al-Qaffal dan al-Ruyani yang menunjukkan keharusan nyanyian dan alat muzik di sisi mazhab Malik. Abu Thalib al-Makki dalam Qut al-Qulub meriwayatkan daripada Syu‘bah bahawa dia mendengar bunyi thunbur daripada rumah al-Minhal bin ‘Amr, seorang muhaddith yang terkenal. Ibn Thahir juga menyatakan bahawa tiada khilaf dalam kalangan ulama Madinah akan keharusan al-‘Uud (sejenis alat muzik bertali). Terdapat juga nukilan daripada sebahagian ulama mazhab Syafi’i seperti Imam al-Mawardi, al-Isnawi, Ibn al-Mulaqqin, al-Syirazi, Izzuddin Abd al-Salam dan Ibn Tahir yang meriwayatkan pandangan yang mengharuskan al-‘Uud.
Adapun nyanyian tanpa disertai alat muzik, sebahagian ulama seperti Ibn Thahir dan Imam al-Ghazzali menyebut bahawa ia disepakati keharusannya oleh para sahabat, tabi’in dan ulama selepasnya. Selain itu, beliau turut menaqalkan kata-kata Imam al-Ghazali yang menyatakan lafaz bathil yang warid dalam hadith-hadith Nabi SAW berkenaan muzik “كل لهو يلهو به المؤمن فهو باطل“ (Setiap hiburan yang melalaikan seorang mukmin adalah sia-sia) tidak menunjukkan pengharaman, tapi ia menunjukkan akan ketiadaan faedah dan manfaat pada perkara tersebut. Pandangan al-Ghazali ini turut dipersetujui oleh Imam Syaukani yang menyatakan bahawa perkara yang tiada faedah termasuk di bawah kategori al-mubah atau harus. (Lihat Nail al-Authar, 8/114-118 dan al-Fath al-Rabbani min Fatawa al-Imam al-Syaukani, 10/5206)
Kelima: Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Menurut Syeikh al-Qaradhawi, isu ini menjadi khilaf yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ulama. Nyanyian yang disepakati haram ialah nyanyian yang melibatkan maksiat atau mempunyai unsur mengajak ke arah maksiat. Adapun yang disepakati harus pula ialah nyanyian yang menjurus ke arah naluri fitrah yang dialunkan untuk dirinya, nyanyian sesama suami isteri atau sesama kanak-kanak. Selain daripada jenis-jenis ini termasuk di bawah ruang perselisihan para ulama.
Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan muzik dan nyanyian dan ia merupakan hukum asal bagi perkara-perkara baik dan dan indah. Namun, terdapat beberapa unsur luaran yang terpalit padanya yang menyebabkan hukum boleh berubah kepada haram atau makruh tahrim.
Beliau turut meletakkan beberapa peringatan dan garis panduan bagi sesiapa yang mendengar nyanyian dan mempraktikkannya:
● Sesiapa yang berniat mendorong diri untuk melakukan maksiat melalui nyanyian, maka dia seorang fasik. Jika bertujuan merehatkan jiwa, membantu untuk taat kepada Allah SWT dan menyegarkan diri, maka ia dikira perbuatan yang baik. Jika tidak berniat samada baik atau buruk, maka ia dikira perbuatan al-lahwu/ al-bathil (sia-sia) yang tidak berpahala mahupun dosa.
● Lirik mestilah tidak mengandungi unsur menyalahi akidah, hukum-hakam dan kewajipan Islam.
● Gaya penyampaian penyanyi mestilah menjaga batas-batas syarak.
● Agama Islam menolak sebarang unsur keterlaluan dalam setiap perkara, meskipun dalam isu ibadah. Keterlaluan dalam perkara harus akan menghabiskan masa yang sepatutnya digunakan untuk melakukan kewajipan.
● Setiap pendengar mestilah menilai dan menentukan sendiri nyanyian yang boleh didengar. Mereka lebih mengetahui bentuk-bentuk nyanyian yang mampu merangsang nalurinya, menggodanya kepada fitnah dan melupakan unsur rohani dalam dirinya. (Lihat Halal dan Haram dalam Islam, hlm. 430-436)
Justeru, muzik dan nyanyian dalam Islam boleh dianggap harus selagi mana ia tidak mengandungi unsur yang membawa kepada dosa atau bertentangan dengan prinsip syariah. Ia tidak boleh dijadikan medium untuk menyebarkan perkara yang merosakkan akidah, menggalakkan perlakuan maksiat, atau mencetuskan fitnah.. Oleh itu, selagi muzik dan nyanyian kekal dalam ruang lingkup yang murni serta tidak melanggar batas agama, ia boleh diterima sebagai sebahagian daripada keperluan fitrah manusia untuk mendapatkan ketenangan dan keseimbangan emosi.
Untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai seni menurut perspektif Islam, anda dialu-alukan untuk merujuk kepada eBath Ilmi kami dalam platform al-Inarah yang bertajuk: “Pandangan Islam Terhadap Seni: Keindahan Berlandaskan Syariat.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua‘lam