Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum membuktikan mukjizat al-Quran melalui fakta saintifik?. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-I‘jaz dari segi bahasa ialah lemah dan tidak berdaya untuk melakukan sesuatu, dan ia lawan kepada “القدرة” (yakni keupayaan dan kemampuan). Manakala dari segi istilah ia bermaksud lemahnya keupayaan manusia untuk mendapatkan mukjizat dan melakukannya (mendatangkannya), dalam keadaan manusia itu bersungguh-sungguh serta memberi perhatian pada perkara tersebut, Kemudian, kelemahan (atau ketidakupayaan) ini berterusan dari zaman berzaman sehinggalah kini. I‘jaz al-Quran pula bermaksud menzahirkan kebenaran Nabi SAW pada dakwaannya sebagai seorang rasul, dengan menampakkan kelemahan (atau ketidakupayaan) orang-orang Arab untuk melawannya (atau mengingkarinya) pada mukjizatnya yang abadi — yakni al-Quran — dan juga kelemahan (atau ketidakupayaan) generasi-generasi selepasnya pada perkara tersebut. (Lihat al-Wadhih fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 150-151).

Imam al-Suyuti dalam mendefinisikan mukjizat berdasarkan pemahaman syara’ ialah kejadian yang melampaui batas kebiasaan, didahului tantangan tanpa adanya tandingan, baik secara hissi atau maknawi. (Lihat al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, 4/3)

Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni menyebutkan, mukjizat didefinisikan sebagai: “Perkara yang luar biasa yang tidak mengikut hukum sebab musabab yang difahami. Ia dijadikan Allah untuk berlaku di tangan para Rasul sebagai bukti tentang kebenaran mereka.”  (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 99)

I‘jaz ilmi ialah ilmu yang membicarakan fakta-fakta saintifik yang baru ditemui, sedangkan ia telah disebut dalam al-Quran sejak awal lagi. Ia juga didefinisikan sebagai terjadinya persamaan antara realiti ilmiah dengan nas-nas kauniyah yang termaktub di dalam al-Quran.

Mukjizat ilmiah ini bertujuan untuk menegaskan akan kebenaran al-Quran, sehingga ia akan menjadi jawapan terhadap orang yang mempertanyakan kebenarannya, membantah terhadap orang yang menentangnya serta semakin meneguhkan hati orang yang telah berpegang dengannya. Mukjizat ilmiah secara tidak langsung merupakan janji Allah berdasarkan firman-Nya:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Maksudnya“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

(Surah Fussilat: 53)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan, Allah SWT akan menunjukkan bukti-bukti serta dalil-dalil di alam ini yang menunjukkan bahawa al-Quran ini adalah benar yang diturunkan daripada Allah ke atas Rasul-Nya SAW dengan dalil-dalil daripada luar (mukjizat). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/187)

Dalam menjawab bagi persoalan Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin dalam Majmu’ Fatawa wa Rasail (Hlm. 26/28) menyatakan: Sebenarnya kita tidak menafikan mukjizat saintifik itu, kita juga tidak menafikan bahawa ada perkara dalam al-Quran yang penjelasannya muncul di zaman yang kemudian, tetapi terdapat orang yang melampau dengan mukjiazat saintifik ini sehingga kita melihat mereka menjadikan al-Quran seolah-olah seperti buku matematik, dan ini merupakan perbuatan yang salah.

Justeru, kami katakan bahawa membuktikan keajaiban saintifik tidak boleh diperbesar-besarkan dan melampau. Hal ini kerana ia mungkin terjadi berdasarkan teori, dan setiap teori itu berbeza. Jika kita menjadikan al-Quran sebagai petunjuk kepada teori ini dan kemudian ternyata teori ini salah, ini bermakna makna al-Quran telah menjadi salah, dan ini adalah isu yang sangat bahaya.

Oleh sebab itu, al-Quran dan al-Sunnah telah menjaga perkara ini dengan menjelaskan berkenaan perkara yang memberi manfaat kepada manusia daripada segi ibadah dan muamalat, bahkan adab makan, duduk, masuk dan lain-lain. Namun di dalam al-Quran dan al-Sunnah, pengetahuan tentang alam semesta tidak datang secara terperinci.

Oleh itu, aku risau dan khuatir bahawa manusia akan disibukkan dengan mukjizat saintifik dan menyibukkan diri dengan perkara yang lebih utama. Yang paling penting ialah melakukan ibadah. Hal ini kerana al-Quran diturunkan untuk manusia melakukan ibadah, sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya“Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.”

(Surah al-Zariyat: 56)

Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib RA dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 17/52)

Sebagai kesimpulannya, hukum mengkaji I’jaz Ilmi di dalam al-Quran pada asalnya adalah harus selagi mana ia tidak berlebih-lebihan sehingga menjadikan kajian saintifik itu lebih benar daripada al-Quran. Hal ini berdasarkan kaedah masyhur yang menyatakan:

الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ

Maksudnya“Asal pada sesuatu perkara adalah harus.”

Syeikh Hamad Abdullah al-Hamad menyebut di dalam syarahnya:  Setiap sesuatu perkara itu adalah harus. Semua perkara itu halal selagi mana tidak ada sebarang dalil atau sesuatu yang menunjukkan pengharamannya. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawaid al-Fiqhiyah li al-Sa’di, 3/4)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam