Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz sebutkan atau jelaskan berkenaan peranan fatwa dalam pembentukan masyarakat Islam? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ

Maksudnya: “Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: ‘Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalalah itu.’

(Surah al-Nisa’: 176)

Ayat ini menunjukkan bahawa fatwa bukan sekadar pendapat peribadi, tetapi ia merupakan penjelasan hukum Allah SWT yang berlandaskan dalil al-Quran, hadith, ijma‘, dan qiyas. Oleh itu, penting untuk kita memahami bahawa fatwa bukan hanya sebagai penyelesaian hukum, tetapi juga sebagai alat pembentukan ummah yang bersatu dan berlandaskan syariat.

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya tidak dapat dinafikan bahawasanya terdapat banyak peranan fatwa dalam masyarakat Islam. Hal ini kerana fatwa berperanan besar dalam masyarakat Islam sebagai panduan dalam menjalani kehidupan, sebagai medium penyelesaian bagi konflik hukum, dan juga sebagai kerangka perundangan syariah yang membantu umat Islam memahami serta mengamalkan ajaran Islam dengan lebih terang dan tepat. Dalam konteks dunia moden hari ini, fatwa tidak hanya terhad sebagai sumber hukum fiqh, malah turut meliputi pelbagai dimensi kehidupan seperti ekonomi, bidang perubatan, teknologi, dan juga politik. 

Kami nyatakan di sini sebahagian daripada peranan tersebut iaitu:

1.    Fatwa sebagai Panduan dalam Kehidupan Seharian.

Dalam Islam, kehidupan seorang Muslim tidak terlepas daripada hukum syarak yang meliputi aspek ibadah, muamalah, munakahat, dan jenayah. Oleh itu, fatwa berfungsi sebagai panduan bagi masyarakat dalam menentukan hukum sesuatu perkara yang tidak jelas.

2.    Fatwa sebagai Alat Penyelesaian Konflik Hukum.

Dalam masyarakat, sering timbul perbezaan pendapat dan kekeliruan dalam isu-isu hukum syarak. Fatwa berperanan menyelesaikan perbezaan ini dengan memberikan keputusan berdasarkan dalil syarak dan maqasid syariah (tujuan syariah).

3.    Fatwa dalam Kes-Kes Perbezaan Mazhab.

Dalam dunia Islam, terdapat mazhab fiqh yang berbeza seperti Hanafi, Maliki, Syafi‘i, dan Hanbali. Perbezaan ini kadangkala menimbulkan kekeliruan dan perdebatan dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, fatwa memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menjelaskan hukum berdasarkan pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan). Di samping itu, fatwa perlu dipastikan sebagai penyelesaian kepada permasalahan yang timbul, bukannya menambah ketegangan atau gagal mencapai tujuan untuk menyelesaikan masalah.

Sebagai contoh, dalam isu pembayaran zakat fitrah, jumhur ulama termasuklah mazhab Syafi‘i yang menjadi mazhab rasmi negara kita mewajibkan zakat fitrah hendaklah dibayar dengan makanan asasi negara tersebut. Namun, fatwa di negara kita mengharuskan pembayaran zakat fitrah dengan nilai iaitu duit sebagaimana pendapat mazhab Hanafi kerana mengambil kira maslahat pemberi zakat dan juga penerima zakat pada masa kini.

Inilah sebahagian daripada peranan fatwa dalam membentuk masyarakat Islam yang dapat kami sebutkan. Bagi mereka yang berminat ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan hal ini atau ingin mendapatkan maklumat tambahan mengenainya, bolehlah merujuk kepada e-book kami yang bertajuk, “Kepentingan Fatwa dalam Pembentukan Ummah,” dan membacanya dalam aplikasi al-Inarah kami.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”