Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah surah yang diturunkan secara sekaligus dalam al-Quran?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Al-Quran diturunkan secara berperingkat selama dua puluh tiga tahun; tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah. Penurunan secara berperingkat ini disebut secara jelas dalam firman Allah SWT:

وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنزِيلًا

Maksudnya: Kami turunkan al-Quran secara berperingkat supaya engkau membacakannya kepada manusia secara perlahan-lahan (dengan tenang), dan Kami menurunkannya secara beransur-ansur mengikut situasi dan peristiwa.

(Surah al-Isra’: 106)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan: “Kami turunkannya secara berperingkat dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia, kemudian ia diturunkan secara beransur-ansur mengikut peristiwa kepada Rasulullah SAW selama dua puluh tiga tahun.” Demikian pendapat ‘Ikrimah yang meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma. Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma juga, beliau berkata mengenai firman Allah (فَرَّقْنَاهُ) dengan bacaan tasydid (dengan syiddah), bermaksud: Kami turunkannya ayat demi ayat, dengan penjelasan dan tafsiran.  Oleh itu Allah berfirman: “لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ” – iaitu supaya engkau menyampaikannya dan membacakannya kepada manusia, “عَلَى مُكْثٍ” – iaitu secara perlahan dan berhati-hati,  “وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيلًا” – iaitu sedikit demi sedikit, secara berperingkat. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/127)

Surah-surah yang diturunkan sekaligus

Terdapat surah-surah dalam al-Quran yang diturunkan sekaligus (sekali gus), dan kebanyakannya adalah surah-surah pendek seperti Surah al-Fatihah, al-Qadr, al-Ma’un, al-Masad, al-Kauthar, al-Fil, al-Nasr, al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq, al-Nas dan selainnya.

Antara surah-surah yang bukan tergolong dalam kategori surah pendek tetapi diturunkan sekaligus ialah: Surah al-An‘am, al-A‘raf, al-Tawbah, al-Kahfi, al-Fath, al-Saff dan al-Mursalat — meskipun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan para ulama.

Imam al-Suyuti berkata: “Jenis ketiga belas: Apa yang diturunkan secara berperingkat dan apa yang diturunkan sekaligus. Yang pertama (berperingkat) merangkumi sebahagian besar kandungan al-Quran.  Contohnya dalam surah pendek seperti Surah al-‘Alaq: dari ayat (اقْرَأْ) hingga (مَا لَمْ يَعْلَمْ), dan Surah al-Dhuha dari awal hingga ayat (فَتَرْضَى).

Antara yang diturunkan sekaligus ialah: Surah al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Kawthar, al-Masad, al-Kafirun, al-Nasr, dan dua surah perlindungan (al-Falaq dan al-Nas) yang diturunkan bersama.

Dalam kalangan surah yang panjang pula termasuk Surah al-Mursalat. Diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud RA, beliau berkata:

“كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَارٍ، فَنَزَلَتْ عَلَيْهِ: (وَالْمُرْسَلَاتِ عُرْفًا)، فَأَخَذْتُهَا مِنْ فِيهِ، وَإِنَّ فَاهُ لَرَطْبٌ بِهَا.”

Maksudnya: Kami bersama Nabi SAW di dalam sebuah gua, lalu baginda menerima wahyu ayat: (وَالْمُرْسَلاتِ عُرْفاً), maka aku mengambilnya dari mulut baginda, ketika itu mulut baginda masih lembap dengan wahyu tersebut.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (2994). Beliau mensahihkannya, dan dipersetujui oleh al-Zahabi.

Begitu juga Surah al-Saff dan Surah al-An‘am. Berkenaan dengan surah al-An’am, Abu ‘Ubaid dan al-Tabarani meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa beliau berkata:

“نَزَلَتْ سُورَةُ الأَنْعَامِ بِمَكَّةَ لَيْلًا جُمْلَةً، حَوْلَهَا سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ.”

Maksudnya: Surah al-An‘am diturunkan di Makkah pada waktu malam secara sekaligus, dikelilingi oleh tujuh puluh ribu malaikat.

Namun begitu, Ibn al-Salah dalam Fatawa-nya menyebut: Hadith yang menyatakan bahawa Surah al-An‘am diturunkan sekaligus diriwayatkan melalui jalur Ubai bin Ka‘b, namun sanadnya lemah. Kami tidak menemui sanad yang sahih, bahkan terdapat riwayat lain yang menyatakan sebaliknya, iaitu ia tidak diturunkan sekaligus, tetapi terdapat ayat-ayat daripadanya yang diturunkan di Madinah. Para ulama berbeza pendapat tentang bilangannya; ada yang menyatakan tiga ayat, dan ada pula pendapat lain. (Lihat al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, 1/136-137)

Pertama: Surah al-An’am

Turut diriwayatkan bahawa Surah al-An‘am diturunkan sekaligus sebagaimana yang Diriwayatkan daripada Asma’ binti Yazid RA, beliau berkata:

“نَزَلَتِ الْأَنْعَامُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جُمْلَةً وَاحِدَةً.”

Maksudnya: Surah al-An‘am telah diturunkan kepada Nabi SAW sekaligus dalam satu waktu.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (no. 449). Hadith ini dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Nata’ij al-Afkar (3/227).

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

“سُورَةُ الْأَنْعَامِ نَزَلَتْ بِمَكَّةَ جُمْلَةً وَاحِدَةً، فَهِيَ مَكِّيَّةٌ، إِلَّا ثَلَاثَ آيَاتٍ مِنْهَا نَزَلَتْ بِالْمَدِينَةِ، فَهِيَ مَدَنِيَّةٌ: (قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ…) إِلَى تَمَامِ الْآيَاتِ الثَّلَاثِ.”

Maksudnya: Surah al-An‘am diturunkan di Makkah secara sekaligus, maka ia adalah surah Makkiyyah, kecuali tiga ayat daripadanya yang diturunkan di Madinah, maka ia adalah Madaniyyah: (Katakanlah: Marilah aku bacakan apa yang diharamkan oleh Tuhan kamu ke atas kamu…) sehingga selesai tiga ayat tersebut.“

Riwayat al-Nahhas dalam al-Nasikh wa al-Mansukh (hlm. 415) dengan sanad yang baik, 

Kedua: Surah al-Fath

Adapun Surah al-Fath, ia juga termasuk antara yang diturunkan sekaligus. Diriwayatkan daripada ‘Umar R,A, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

“لَقَدْ أُنْزِلَتْ عَلَيَّ اللَّيْلَةَ سُورَةٌ، لَهِيَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ.”: «لَقَدْ أُنْزِلَتْ عَلَيَّ اللَّيْلَةَ سُورَةٌ، لَهِيَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ» ثُمَّ قَرَأَ: {إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا} [الفتح: 1].

Maksudnya: Sesungguhnya telah diturunkan kepadaku pada malam tadi satu surah, yang lebih aku sukai daripada apa yang terpancar atasnya matahari. Kemudian Baginda membacakan (Firman Allah SWT): “Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata”) [Surah Al-Fath: 1].

Riwayat al-Bukhari (4177).

Ketiga: Surah al-Taubah

Begitu juga dengan Surah al-Taubah, disebut bahawa ia diturunkan sekaligus. Diriwayatkan daripada al-Bara’ RA, beliau berkata:

“آخِرُ سُورَةٍ نَزَلَتْ كَامِلَةً بَرَاءَةٌ.”

Maksudnya: Surah terakhir yang diturunkan secara lengkap ialah Surah Bara’ah (al-Taubah).

Riwayat al-Bukhari (4364).

Namun, al-Bukhari juga meriwayatkan hadith ini dengan lafaz lain tanpa menyebut perkataan “secara lengkap/kamilah”.:

“آخِرُ سُورَةٍ نَزَلَتْ بَرَاءَةَ…”

Maksudnya:  “Surah terakhir yang diturunkan ialah Bara’ah…”

Riwayat al-Bukhari (4605).

Sebahagian ulama meragui lafaz “كاملة” (secara lengkap) dalam riwayat tersebut dan berpendapat bahawa Surah Bara’ah sebenarnya diturunkan secara berperingkat.

Imam Badr al-Din al-‘Aini berkata: Perkataan “kamilah” (secara lengkap) – menurut al-Dawudi – tidak sahih, kerana Surah Bara’ah diturunkan secara berperingkat. Aku (al-‘Aini) berkata: Oleh sebab itu lafaz “kamilah” tidak disebut dalam riwayat hadith di dalam Bab Tafsir, bahkan lafaznya hanya: “Surah terakhir yang diturunkan ialah Bara’ah”. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 18/18)

Namun begitu, majoriti ulama berpandangan bahawa Surah Bara’ah diturunkan secara sekaligus. Seperti yang dinyatakan oleh Ibn ‘Asyur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir (10/97).

Pun begitu, ada juga sesetengah ulama’ yang menyatakan surah lain yang diturunkan sekaligus, antaranya: 

     Ada yang menyatakan bahawa surah al-A’raf diturunkan sekali gus sebagaimana yang disebut dalam Tafsir al-Manar (8/260): Zahirnya surah ini diturunkan sekaligus seperti Surah al-An‘am.

     Begitu juga dengan Surah al-Kahfi yang disebut dalam al-Tahrir wa al-Tanwir (15/242): Ia termasuk antara surah-surah yang diturunkan sekaligus.

Kebanyakan yang disebut oleh para ulama dalam perkara ini adalah berdasarkan ijtihad dan pertimbangan mereka, dan perselisihan dalam hal ini memang diketahui.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa dapat dinyatakan bahawa kebanyakan ayat al-Quran diturunkan secara berperingkat selama dua puluh tiga tahun — tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah — sebagai hikmah dalam tanzil al-Quran untuk membimbing umat secara beransur-ansur, menjawab persoalan, memberi panduan mengikut peristiwa semasa, dan menenangkan hati Rasulullah SAW.

Namun begitu, penurunan banyak surah-surah pendek secara sekaligus adalah perkara yang tetap dan kukuh, seperti Surah al-Fatihah, al-Qadr, al-Ma‘un, al-Masad, al-Kawthar, al-Fil, al-Nasr, al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq, dan al-Nas. Begitu juga Surah al-Fath dan al-Mursalat.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat dan khilaf dalam menentukan kesemua surah yang benar-benar turun sekaligus, ia tidak menjejaskan kemuliaan dan kesempurnaan al-Quran itu sendiri. Perselisihan ini juga merupakan ruang ijtihad dan perbahasan dalam bidang ‘Ulum al-Quran yang menunjukkan keluasan khazanah ilmu Islam.

Akhirnya, semoga dengan penjelasan ini dapat menambah kefahaman kita tentang kaedah penurunan al-Quran serta keindahan susunan dan hikmah di sebalik turunnya wahyu kepada Rasulullah SAW. Semoga kita terus mencintai dan mendalami al-Quran serta beramal dengannya dalam kehidupan seharian. Amin. 

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”