Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah aspek-aspek  I’jaz menurut para ulama. Mohon  penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Maksudnya“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

(Surah Fussilat: 53)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan, Allah SWT akan menunjukkan bukti-bukti serta dalil-dalil di alam ini yang menunjukkan bahawa al-Quran ini adalah benar yang diturunkan daripada Allah ke atas Rasul-Nya SAW dengan dalil-dalil daripada luar (mukjizat). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/187)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, Isu kemukjizatan al-Quran merupakan salah satu perkara yang paling sensitif dan paling teliti, terutamanya kerana ia mempunyai kaitan yang erat dengan Kitab Allah SWT, yang bukan sahaja sebagai kitab hidayah tetapi juga sebagai kitab mukjizat. Oleh itu, isu ini telah mendapat perhatian dan usaha yang mendalam sepanjang zaman hingga ke hari ini.

Para ulama telah membincangkan aspek-aspek kemukjizatan ini dengan sebaiknya, mereka menghuraikannya secara meluas dan menjelaskannya dengan terperinci, berdasarkan apa yang telah Allah bukakan kepada mereka daripada khazanah kitab-Nya yang tiada penghujung. Sesungguhnya, al-Quran adalah sumber yang tidak pernah kering dengan kebaikan, pemurah dalam anugerahnya, tidak kedekut kepada sesiapa yang mendekatinya, membuka pintunya kepada sesiapa yang mengetuknya, menjawab setiap yang bertanya, dan memberi kepada setiap orang sesuai dengan kelayakannya. 

Ada dalam kalangan mereka yang menetapkan aspek kemukjizatan al-Quran sehingga mencapai tiga puluh lima sudut, sebagaimana yang dilakukan oleh al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti. Bahkan, al-Suyuti sendiri menyebut bahawa ada sebahagian ulama yang menyenaraikan aspek kemukjizatan al-Quran sehingga lapan puluh sudut, namun hakikatnya, tidak ada batas bagi aspek kemukjizatan al-Quran.

Profesor Dr. Fadl Hasan ‘Abbas berkata: Isu kemukjizatan al-Quran merupakan salah satu persoalan intelektual terbesar yang telah menarik perhatian para pemikir selama berabad-abad dan masih terus dibincangkan hingga kini. Ini bukan kerana al-Quran sendiri meragukan kemukjizatannya, tetapi kerana al-Quran ibarat matahari yang setiap kali manusia maju ke hadapan, mereka berusaha untuk mengambil manfaat baharu daripadanya. Allah mengetahui bahawa kitab-Nya adalah matahari petunjuk, yang tidak pernah berkurang dalam memberi manfaat dan anugerah. Oleh itu, isu kemukjizatan al-Quran adalah satu persoalan yang sentiasa memperlihatkan perkara-perkara baharu di dalamnya. 

Dalam ucapannya ini, beliau telah menunjukkan bahawa kemukjizatan al-Quran adalah suatu perkara yang telah diterima secara pasti dan tidak ada perselisihan mengenainya. Namun, yang sentiasa berkembang adalah aspek-aspek kemukjizatan itu sendiri. Setiap hari, aspek baharu mungkin ditemui, yang kadangkala membawa kepada perbezaan atau perselisihan dalam pandangan para ulama. 

Beliau juga telah merujuk kepada perbezaan dan perselisihan ini dalam kajiannya, di mana beliau menyatakan: Kaum Muslimin, bahkan golongan yang bersikap adil dalam kalangan bukan Muslim, telah sepakat mengenai hakikat ini, iaitu bahawa al-Quran adalah kitab mukjizat. 

Namun, terdapat kelompok yang berpendapat bahawa kemukjizatan al-Quran mencakupi pelbagai aspek; ia adalah mukjizat dari sudut kebahasaan, ilmiah, perundangan, dan lain-lain aspek yang telah dihasilkan melalui pemikiran dan ditulis oleh para ilmuwan. Sebaliknya, terdapat pula golongan yang mendakwa bahawa al-Quran hanyalah mukjizat dari sudut kebahasaan semata-mata, dan segala yang terkandung di dalamnya mengenai berita ghaib, petunjuk ilmiah, dan hikmah syariah tidak termasuk dalam aspek kemukjizatan sama sekali. (Lihat al-’Ijaz ‘Ilmi fi al-Quran, oleh Abd al-Salam Hamzan al-Luh,  hlm.27-28)

Sebagaimana yang dinyatakan dalam Pengantar Ijaz al-Quran (Hlm. 34): Sesungguhnya mukjizat al-Quran dapat dilihat menerusi aspek keindahan bahasa dan balaghah sehingga mempersonakan seluruh penyair di Semenanjung Tanah Arab ketika itu. Bahasa al-Quran sangat unik kerana dalam satu masa ia menyentuh akal, hati, emosi dan jiwa pembaca dan pendengarnya. Setiap ayat merangkumi pelbagai aspek dalam bahasa seperti gaya bahasa yang tinggi, bentuk pengucapan yang indah, susunan kata yang tepat dan lunak, mengandungi sistem perundangan yang hebat, hukum hakam yang sesuai pada setiap masa dan tempat dan pemberitahuan mengenai perkara ghaib. 

Justeru, walaupun wujud perbezaan pandangan dalam menentukan ruang lingkup I‘jaz, namun kesepakatan tetap wujud bahawa al-Quran adalah kitab mukjizat yang tidak pernah usang dan terus menyingkap perkara baharu seiring dengan perkembangan ilmu. Seperti yang diungkapkan oleh Dr. Fadl Hasan ‘Abbas, al-Quran diibaratkan matahari yang sentiasa menyinari dan memberi manfaat tanpa batas, menjadikannya sumber petunjuk yang relevan sepanjang zaman. Yang demikian sebagaimana firman Allah SWT:

قَدْ جَاءَكُم مِّنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُّبِينٌ

Maksudnya”Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.”

(Surah al-Maidah:15)

Al-Syaukani berkata: Cahaya yakni Nabi Muhammad. Pendapat lain mengatakan yakni agama Islam atau al-Qur’an. (Lihat Fath al-Qadir, 2/11)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam