Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya pernah mendengar satu kisah tentang seorang ahli ibadah yang ingin menebang sebatang pokok yang disembah oleh kaumnya, lalu dia dihalang oleh syaitan dan akhirnya digoda dengan ganjaran wang setiap hari. Apakah status kisah ini?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

(Surah al-Zariyat: 56)

Imam al-Qurtubi menyatakan, ayat ini menyuruh manusia dan jin untuk mentauhidkan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Esa. Beliau menukilkan kata-kata Ali R.A, Allah SWT tidak menciptakan manusia dan jin kecuali untuk menyuruh mereka (manusia dan jin) beribadat.  (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/55).

Dalam usaha memahami sesuatu kisah dalam agama, terutamanya yang berkaitan dengan para nabi, orang soleh atau ujian keimanan, adalah sangat penting untuk kita menilai sumber dan kedudukan kisah tersebut dalam neraca ilmu hadith dan tafsir.

Kisah ahli ibadah yang ingin menebang pokok kerana ingin menghapuskan syirik, lalu digoda syaitan dengan ganjaran dunia – memang sering disebut dalam majlis-majlis tazkirah, kitab tasawwuf dan karya tarbiyah hati. Justeru, dalam menjawab persoalan ini, kisah ini merupakan antara kisah yang disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin (4/377-378). Diceritakan:

Seorang ahli ibadah telah beribadah kepada Allah selama bertahun-tahun. Maka datanglah satu kaum kepadanya dan berkata, “Sesungguhnya di sana terdapat satu kaum yang menyembah sebatang pokok selain daripada Allah SWT.” Maka ahli ibadah itu menjadi marah kerana perkara itu. Dia pun mengambil kapaknya, meletakkannya di atas bahunya dan pergi menuju ke pokok itu untuk menebangnya.

Lalu syaitan menemuinya dalam rupa seorang lelaki tua dan bertanya, “Hendak ke mana engkau, semoga Allah merahmatimu?” Dia menjawab, “Aku mahu menebang pokok itu.” Syaitan berkata, “Apa urusanmu dengan hal itu? Engkau telah tinggalkan ibadahmu dan kesibukanmu terhadap dirimu, kini kau menyibukkan diri dengan urusan lain pula?” Ahli ibadah itu menjawab, “Ini juga termasuk dalam ibadahku.” Syaitan berkata, “Aku tidak akan membiarkanmu menebangnya.”

Lalu mereka pun berlawan, dan ahli ibadah itu berjaya mengalahkannya, lalu menjatuhkannya ke tanah dan duduk di atas dadanya. Maka syaitan berkata, “Lepaskan aku agar aku berbicara denganmu.” Lalu dia pun melepaskannya. Maka syaitan berkata, “Wahai orang ini, sesungguhnya Allah tidak mewajibkan ke atasmu perkara ini, dan engkau tidak menyembah pokok itu, maka apa urusanmu dengan orang lain? Allah mempunyai para nabi di seluruh pelusuk bumi. Jika Dia kehendaki, Dia akan mengutus mereka kepada kaum itu dan memerintahkan mereka untuk menebangnya.”

Namun ahli ibadah itu tetap berkata, “Aku tetap mahu menebangnya.” Maka berlaku lagi perlawanan antara mereka berdua, dan ahli ibadah itu sekali lagi berjaya mengalahkannya dan duduk di atas dadanya. Syaitan pun tidak mampu melawan, lalu berkata, “Mahukah engkau suatu perkara yang menjadi penyelesaian antara aku dan engkau, dan ia lebih baik serta lebih bermanfaat untukmu?”

Dia bertanya, “Apa dia?” Syaitan berkata, “Lepaskan aku agar aku dapat memberitahumu.” Maka dia pun melepaskannya. Lalu syaitan berkata, “Engkau seorang yang miskin, tidak memiliki apa-apa, hanya menjadi beban kepada manusia, mereka terpaksa menanggungmu. Mungkin engkau ingin memuliakan saudara-saudaramu, membantu jiran tetanggamu, kenyang dan tidak perlu bergantung kepada orang lain.” Dia menjawab, “Ya, benar.”

Syaitan berkata, “Pulanglah dari urusan ini. Aku akan pastikan setiap malam, diletakkan dua dinar di sisi kepalamu. Apabila pagi, ambillah dan belanjakanlah untuk dirimu, keluargamu, dan bersedekahlah kepada saudara-saudaramu. Itu lebih bermanfaat untukmu dan kaum Muslimin daripada menebang pokok ini – yang jika ditebang sekalipun, akan ditanam kembali, dan penebangannya tidak memberi mudarat kepada mereka, dan tidak pula memberi manfaat kepada saudara-saudaramu yang beriman.”

Maka ahli ibadah itu pun berfikir tentang kata-kata tersebut lalu berkata, “Benar juga kata orang tua ini. Aku bukanlah nabi, maka tidak wajib ke atasku untuk menebang pokok ini. Allah juga tidak memerintahkanku untuk menebangnya. Jika aku tidak menebangnya, aku tidak berdosa. Dan apa yang disebutkan tadi lebih banyak manfaatnya.” Maka dia pun berjanji untuk menepati perjanjian itu dan bersumpah dengannya, lalu pulang ke tempat ibadahnya.

Dia bermalam dan apabila pagi, dia mendapati dua dinar di sisi kepalanya, lalu mengambilnya. Demikian juga keesokan harinya. Namun pada hari ketiga dan hari-hari seterusnya, dia tidak lagi mendapati apa-apa.

Maka dia menjadi marah dan mengambil semula kapaknya lalu diletakkan di atas bahunya. Syaitan menemuinya semula dalam rupa lelaki tua dan bertanya, “Ke mana kau hendak pergi?” Dia menjawab, “Aku mahu menebang pokok itu!” Syaitan berkata, “Engkau dusta! Demi Allah, engkau tidak akan mampu melakukannya dan tiada jalan untukmu ke sana!”

Ahli ibadah itu cuba menangkapnya seperti sebelum ini, namun syaitan berkata, “Tidak semudah itu!” Lalu syaitan menangkapnya dan menjatuhkannya, dan dia seperti seekor burung kecil di antara kedua kaki syaitan. Syaitan pun duduk di atas dadanya dan berkata, “Tinggalkanlah urusan ini, atau aku akan sembelih kamu!”

Maka ahli ibadah itu memerhati dan mendapati bahawa dia tidak mampu melawan. Dia pun berkata, “Wahai engkau, engkau telah mengalahkanku. Biarkan aku pergi dan beritahulah kepadaku – bagaimana engkau kalah padaku dulu, dan kini engkau menang ke atasku?”

Syaitan pun menjawab:

 “Kerana dahulu engkau marah kerana Allah, dan niatmu adalah kerana akhirat, maka Allah menundukkan aku kepadamu. Tetapi kali ini, engkau marah kerana dirimu sendiri dan kerana dunia – maka aku dapat mengalahkanmu.”

Setelah kisah ini diceritakan, Imam al-Ghazali menyatakan bahawa kisah-kisah ini membenarkan firman Allah SWT:

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

Maksudnya: “Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas daripada kalangan mereka.”

 (Surah Sad :83)

Sesungguhnya hamba itu tidak akan terlepas daripada syaitan melainkan dengan keikhlasan

Status Kisah Ini

Kisah ini merupakan kisah yang bersumberkan dari israiliyyat dan sering disebut dalam kitab-kitab tazkirah dan nasihat. Ia lebih kepada kisah hikmah yang bertujuan memberi pengajaran tentang keikhlasan dan tipu daya syaitan. 

Justeru, secara umumnya Israiliyyat ialah berita-berita atau perkhabaran yang dinukilkan daripada Bani Israil dalam kalangan Yahudi dan ia adalah banyak, atau dalam kalangan Nasrani. Seterusnya, Israiliyyat ini juga terbahagi kepada tiga jenis:

Pertama, Israiliyyat yang diakui dan dibenarkan oleh Islam, maka ia adalah suatu kebenaran. Misalnya, apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

جَاءَ حَبْرٌ مِنَ الأَحْبَارِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ إِنَّا نَجِدُ: أَنَّ اللَّهَ يَجْعَلُ السَّمَوَاتِ عَلَى إِصْبَعٍ وَالأَرَضِينَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالشَّجَرَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالمَاءَ وَالثَّرَى عَلَى إِصْبَعٍ، وَسَائِرَ الخَلاَئِقِ عَلَى إِصْبَعٍ، فَيَقُولُ أَنَا الـمَلِكُ، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ تَصْدِيقًا لِقَوْلِ الحَبْرِ، ثُمَّ قَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ، وَالأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ، وَالسَّمَوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ، سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: “Salah seorang pendeta Yahudi datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya kami mendapati bahawa Allah menjadikan langit di atas satu jari, bumi di atas satu jari, pohon-pohon di atas satu jari, air dan pasir di atas satu jari, dan semua manusia berada di atas satu jari, lalu Dia berkata: Aku adalah Raja.’ Maka Nabi SAW tertawa hingga tampak gigi gerahamnya membenarkan perkataan pendeta itu. Kemudian Rasulullah SAW membaca: ‘(Firman Allah SWT yang bermaksud): Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya, sedang bumi seluruhnya — pada hari kiamat — dalam genggaman kuasa-Nya, dan langit tergulung dengan kekuasaan-Nya. Maha Sucilah Dia dan Tertinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan. [Surah al-Zumar: 67].’

Riwayat al-Bukhari (4811)

KeduanyaIsrailiyyat yang diingkari dan didustakan oleh Islam, maka ia adalah suatu kebatilan. Contohnya, apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Jabir R.A, beliau berkata:

كَانَتِ اليَهُودُ تَقُولُ إِذَا جَامَعَهَا مِنْ وَرَائِهَا جَاءَ الوَلَدُ أَحْوَلَ، فَنَزَلَتْ: نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi pernah berkata: ‘Jika seseorang menggauli isterinya dari belakangnya, maka anaknya akan dilahirkan juling.’ Maka turunlah ayat: {نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ} (Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.”) [Surah al-Baqarah: 223].”

Riwayat al-Bukhari (4528)

KetiganyaIsrailiyyat yang tidak diakui, mahupun diingkari oleh Islam, maka wajib bertawaqquf — yakni tidak membenarkan berita tersebut mahupun mengingkarinya. Hal ini adalah berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

كَانَ أَهْلُ الكِتَابِ يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ بِالعِبْرَانِيَّةِ، وَيُفَسِّرُونَهَا بِالعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الإِسْلَامِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الكِتَابِ وَلا تُكَذِّبُوهُمْ، وَقُولُوا: آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا

Maksudnya: “Para Ahli Kitab membaca Kitab Taurat dengan bahasa ‘Ibrani, dan mereka menafsirnya menggunakan bahasa Arab bagi orang-orang Islam, lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kamu membenarkan para ahli kitab dan janganlah pula kamu mendustakan mereka,’ dan katakanlah (wahai orang yang beriman akan firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Kami beriman kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami — yakni al-Quran. [Surah al-Baqarah: 136].’

Riwayat al-Bukhari (4485)

Walau bagaimanapun, menyampaikan atau membicarakan berkenaan perkara daripada jenis ini adalah dibolehkan, selagi mana tidak dibimbangi terjerumus dalam perkara haram, berdasarkan kepada riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. Ceritakanlah tentang bani Israil dan tidak menjadi satu kesalahan padanya. Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (3461)

Lebih-lebih lagi, kebiasaannya apa yang yang diriwayatkan daripada mereka berkenaan perkara tersebut — yakni daripada berita-berita Israiliyyat — langsung tidak memberi apa-apa manfaat mahupun faedah kepada agama seperti penentuan warna anjing ashab al-Kahfi dan seumpamanya. (Lihat Usul fi al-Tafsir, hlm. 67-69)

Pengajaran Kisah

Antara pengajaran yang boleh diambil dari kisah ini ialah:

     Keikhlasan dalam beramal: Pada awalnya, lelaki itu bertindak kerana Allah, maka dia diberi kekuatan untuk mengalahkan syaitan. Namun, apabila niatnya berubah kepada ganjaran dunia, dia kehilangan kekuatan spiritualnya.

     Tipu daya syaitan: Syaitan tidak selalu menghalang manusia secara terus, tetapi kadang-kadang menyesatkannya dengan cara yang lebih halus, seperti menawarkan ganjaran duniawi.

     Jangan tertipu dengan kesenangan dunia: Wang atau rezeki yang datang dengan mudah mungkin merupakan ujian daripada syaitan untuk mengubah niat seseorang.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kisah ahli ibadah yang ingin menebang pokok lalu digoda oleh syaitan ini merupakan kisah yang berasal daripada riwayat Israiliyyat, iaitu kisah-kisah daripada Bani Israel. Walaupun ia tidak boleh dijadikan hujah dalam hal akidah atau hukum-hakam, namun ulama seperti Imam al-Ghazali tetap menyebutnya dalam kitab-kitab tazkirah dan tasawwuf sebagai ibrah (pengajaran), khususnya berkaitan keikhlasan niat dan tipu daya syaitan.

Maka, kita boleh mengambil pengajaran moral daripada kisah ini, selagi mana kita sedar ia bukan dalil agama yang qat‘i (pasti), tetapi sebuah kisah yang membawa mesej mendalam tentang bagaimana ikhlas semata-mata kerana Allah adalah benteng utama melawan godaan syaitan.

Selain itu, kisah israiliyyat ialah berita-berita atau perkhabaran yang dinukilkan daripada Bani Israil dalam kalangan Yahudi dan Nasrani. Kemudian, cara berinteraksi dengannya pula hendaklah dilihat dari sudut statusnya, sama ada ia diakui oleh Islam maka ia dikira sebagai suatu kebenaran, atau ia diingkari oleh Islam maka ia adalah suatu kebatilan, atau ia tidak dibenarkan mahupun diingkari maka dalam situasi ini, kita hendaklah bertawaqquf dan boleh menyampaikannya selama mana tidak bimbang terjerumus ke dalam perkara yang haram atau dilarang.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”