#855 Peluh Orang yang Makan Babi

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah peluh orang yang makan babi dihukumkan sebagai najis? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, menurut mazhab Syafi‘i, babi termasuk dalam kategori najis mughallazah (berat) dan wajib dicuci mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”[1]

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi.[2] Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: “atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor.”[3]

Bagi menjawab persoalan ini, kebiasaannya yang memakan babi atau makanan yang tidak halal ialah orang bukan Islam. Dalam hal ini, jumhur ulama berpendapat bahawa orang bukan Islam bukanlah najis secara hakiki. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini.[4]

Jumhur ulama menjelaskan, najis dalam ayat itu bermaksud kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang perlu dihindari, bukan pada badan mereka. Mereka berhujahkan bahawa Islam mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Para jumhur juga menjawab bahawa Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, mengikat tawanan musyrik di dalam masjid, memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi.[5]

Begitu juga, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (bukan Islam). Manakala najis yang dimaksudkan di dalam ayat 28 daripada Surah al-Taubah ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis, dan bukannya kenajisan pada jasad mereka.[6]

Selain daripada itu, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, para fuqaha berpendapat  bahawa manusia yang hidup itu adalah suci, tidak kira Muslim atau kafir, berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”[7]

Begitu juga kerana Nabi SAW pernah menempatkan rombongan Thaqif — mereka dalam kalangan orang kafir — di masjid. Kalaulah tubuh badan mereka dianggap najis, sudah tentu Baginda tidak akan menempatkan mereka di dalamnya bagi menjaga kesucian masjid.[8] Justeru, pendapat yang menyatakan bahawa mereka adalah dikira sebagai suci membawa kepada hukum sucinya juga air liur dan lembapan pada tangan mereka, melainkan apabila diyakini terdapatnya najis.

Di samping itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, tidak ada beza (dari segi hukumnya suci) pada peluh, air liur, hingus dan air mata, antara orang yang berjunub, perempuan yang haid, orang yang suci, Muslim dan kafir. Bahkan kesemuanya itu adalah suci daripada mereka, dan daripada haiwan yang suci.[9] Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa bagi manusia, apa yang keluar dari saluran selain daripada qubul dan dubur ada dua jenis. Salah satunya ada suci seperti air liur, air mata, peluh dan hingus.[10] Begitulah juga, al-Bajuri menyatakan, sesuatu yang keluar dari saluran lain — selain qubul dan dubur — dihukumkan sebagai suci kecuali muntah yang keluar dari mulut selepas sampai ke dalam perut.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa peluh orang yang makan babi adalah suci dan tidak dihukumkan sebagai najis. Hal ini kerana segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada qubul dan dubur seperti peluh, air liur dan lain-lain adalah suci, melainkan diyakini cecair-cecair itu terkena najis. Semua cecair itu dihukumkan suci kerana ia merupakan cabang kepada hukum asal iaitu manusia yang dihukumkan sebagai suci. Justeru, hukum yang sama terpakai kepada cabangnya atau apa yang berasal daripadanya. Ini berdasarkan kaedah:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).[12]

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Ma’idah: 3

[2] Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77.

[3] Surah al-An‘am: 145

[4] Surah al-Taubah: 28

[5] Lihat Nail al-Autar, 1/35.

[6] Lihat Asna al-Matalib, 1/10.

[7] Surah al-Isra’: 70

[8] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/78.

[9] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/577.

[10] Lihat al-Mughni, 2/493.

[11] Lihat Hasyiah al-Bajuri, 1/100.

[12] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *