Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, boleh terangkan kepada kami mukjizat al-Quran yang menjelaskan fenomena terpisahnya sungai dan laut. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Maksudnya“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

(Surah Fussilat: 53)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan, Allah SWT akan menunjukkan bukti-bukti serta dalil-dalil di alam ini yang menunjukkan bahawa al-Quran ini adalah benar yang diturunkan daripada Allah ke atas Rasul-Nya SAW dengan dalil-dalil daripada luar (mukjizat). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/187)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, fenomena pemisahan antara sungai dan laut merupakan salah satu keajaiban alam yang disebut secara jelas dalam al-Quran, jauh sebelum ia dibuktikan oleh sains moden. Al-Quran bukanlah kitab sains, namun petunjuk yang terkandung di dalamnya sering kali mengandungi isyarat terhadap hakikat ciptaan Allah yang menakjubkan. Allah SWT berfirman:

مَرَجَ ٱلۡبَحۡرَیۡنِ یَلۡتَقِیَانِ ۝١٩ بَیۡنَهُمَا بَرۡزَخࣱ لَّا یَبۡغِیَانِ

Maksudnya“Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu; Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya.”

(Surah al-Rahman: 19-20)

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: Dimaksudkan dengan dua laut ini ialah air masin (laut) dan air tawar, iaitu sungai-sungai yang mengalir di antara manusia. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/492)

Lautan yang luas dan dikatakan 80% melebihi daripada daratan bertemu pada setiap sudut di bumi. Walaubagaimanapun ayat al-Quran menyatakan lautan adalah terpisah antara satu sama lain. Hal ini dibuktikan oleh para saintis bahawa fizik dan molekul lautan adalah berbeza mengikut masa, jenis, bentuk permukaan yang mencegah lautan bercampur antara satu sama lain.

Ilmu pengetahuan moden telah menemukan bahawa pada pertemuan dua laut, ada penghalang yang memisahkan keduanya. Penghalang ini memisahkan kedua laut tersebut, sehingga masing-masing laut memiliki suhu, kadar garam, dan kerapatan sendiri. (Lihat Principles of Oceanography, hlm. 92-93)

Meskipun terdapat ombak yang besar, arus yang kuat, dan perubahan pasang surut yang berlaku secara berterusan, kedua-dua jenis laut ini tetap tidak bercampur atau melintasi batas yang telah ditentukan. Fenomena ini berlaku secara konsisten di pelbagai lokasi pertemuan antara air tawar dan air masin, seperti muara sungai atau pertemuan dua lautan, menunjukkan kewujudan satu sistem alam yang sangat tersusun.

Sebagai kesimpulannya, fenomena pemisahan antara sungai dan laut sebagaimana yang disebut dalam al-Quran merupakan satu bentuk mukjizat yang menzahirkan keagungan ciptaan Allah SWT dan membuktikan kebenaran wahyu Ilahi. Penemuan sains moden berkenaan kewujudan fenomena yang memisahkan dua jenis air ini mengukuhkan lagi hakikat bahawa al-Quran adalah kalam Allah yang melampaui batas ilmu manusia. Ia membuktikan bahawa setiap ciptaan dan aturan di alam ini berada di bawah kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT, sekaligus memperkukuh keimanan dan keyakinan terhadap kebenaran Islam. Yang demikian sebagaimana firman Allah SWT: 

إِنَّ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya“Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. ”

(Surah al-Jathiyah:3)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam