Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ustaz kongsikan dengan kami sedikit sebanyak berkenaan reformasi politik yang telah dilakukan oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan memetik kata-kata Imam Malik
لَا يُصْلِحُ آخِرَ هَذِهِ الْأُمَّةِ إلَّا مَا أَصْلَحَ أَوَّلَهَا
Maksudnya: “Tidak ada yang dapat memperbaiki generasi akhir umat ini, kecuali apa yang telah memperbaiki generasi awalnya.” (Lihat al-Tamhid, 23/10; Majmu‘ al-Fatawa, 1/353).
Ini memberi maksud kehebatan kita dan kejayaan kita mengikut neraca yang terbaik adalah kita mengembalikan diri kita kepada mata rantai yang kita sambung dengan sejarah gemilang yang pernah dilakukan oleh para sahabat seperti Abu Bakar al-Siddiq R.A, Umar R.A dan lain-lain.
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa kejayaan pemerintahan Umar bin ‘Abd al-‘Aziz adalah suatu perkara yang tidak dapat disangkal lagi. Kejayaannya telah terukir dalam sejarah dengan cemerlang, sebanding dengan usaha, kerja keras dan pengorbanannya, meskipun tempoh pemerintahannya adalah sangat singkat. Ini kerana dapatan kami menunjukkan bahawa sejak malam pertama pemerintahannya, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah menggalas amanah dengan penuh ketegasan dan kesungguhan, bekerja tanpa henti hingga larut malam dan menjelang fajar. Hal ini ditanyakan oleh pembantu yang menulis surat untuk melantik dan memecat gabenor yang sesuai serta menyahkan kezaliman. (Lihat Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz, hlm. 59).
Sudah pasti sepanjang tempoh pemerintahan tersebut banyak reformasi, perubahan dan penambahbaikan yang dilakukannya. Namun, dalam ruangan yang terhad ini tidak dapat untuk kami menyebutkan kesemuanya, dan cukuplah kami menyebutkan sebahagian daripadanya. Di antaranya ialah:
1. Merombak Ketidakadilan Sistem Perundangan.
Semasa pemerintahan terdahulu, ramai orang telah dihantar ke penjara kerana sistem yang bermasalah dan beberapa isu penindasan. Atas sebab ini, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz membebaskan tawanan dan memberi mereka pengampunan. Waddhah bin Khaithamah berkata: “Apabila Umar Ibn ‘Abd al-‘Aziz ditabalkan sebagai Khalifah, beliau memerintahkanku untuk membebaskan semua tawanan yang dipenjarakan oleh pemerintah sebelumnya. Aku membebaskan mereka semua kecuali Yazid bin Abu Muslim.” (Lihat Zamm al-Baghy, hlm. 84)
Selain itu, Umar bin ‘Abd Al-‘Aziz telah mengarahkan pegawainya untuk membatalkan beberapa keputusan yang dibuat oleh al-Hajjaj kepada orang Islam dan orang bukan Islam. Ali bin Abu Hamlah[1] berkata: “Kami orang-orang bukan Arab di Damsyik telah mengadu kepada Umar bin ‘Abd al-‘Aziz berkenaan sebuah gereja yang telah dirampas oleh seorang individu dalam kalangan pemerintah (yang kemudiannya diberikan kepada Bani Nasr di Damsyik). Kemudiannya Umar bin ‘Abd al-‘Aziz mengusir mereka daripada gereja dan mengembalikannya kepada orang Kristian. (Lihat Futuh al-Buldan, hlm. 130).
2. “Circle” Pentadbiran yang Sihat.
Umar bin ‘Abd al-‘Aziz berusaha untuk memastikan bahawa beliau dikelilingi orang-orang soleh yang akan menasihatinya dengan kebenaran dan membimbingnya kepada kebenaran. ‘Amr bin Muhajir meriwayatkan bahawa Umar bin ‘Abd al-‘Aziz memberitahukan kepadanya bahawa jika dia melihat Umar mengikuti selain dari kebenaran, dia harus memegang bajunya, menggoncang-goncangnya dan bertanya kepadanya, “Apa yang sedang kamu lakukan?” (Lihat Tarikh Madinah Dimasyq, 54/200).
Selain itu, turut diriwayatkan bahawa Umar bin ‘Abd al-‘Aziz memberi keputusan tentang sesuatu perkara dan Maimun bin Mihran hadir ke mahkamah. Beliau kemudian bercakap dengan Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan memberitahunya bahawa Umar telah memberikan keputusan begini dan begitu, yang tidak benar. Umar bin ‘Abd al-‘Aziz bertanya kepadanya mengapa beliau tidak membetulkannya ketika itu. Maimun menjawab bahawa beliau tidak mahu memalukan Khalifah. Umar mengingatkannya untuk menegurnya jika beliau ada kesalahan kerana kuasa sentiasa terletak pada orang yang mempunyai kebenaran. (Lihat Tarikh Madinah Dimasyq, 54/200)
3. Melawan Budaya Rasuah dan Korupsi.
Diriwayatkan bahawa Umar pada satu hari ingin memakan sebiji epal. Salah seorang ahli keluarganya memberikannya, apabila beliau melihatnya, beliau kagum dengan warna dan baunya. Apabila melihatnya, beliau meminta hamba lelaki yang memberikannya untuk mengembalikannya kepada pemberi dengan mesej bahawa hadiah itu dihargai dan epal itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah, tetapi beliau tidak dapat menerimanya. Hamba lelaki itu memberitahunya bahawa pemberinya adalah anak bapa saudaranya dan dari keluarganya (bermaksud dari saudara-mara warga Umayyah), dan dia juga memberitahunya bahawa Nabi SAW pernah menerima hadiah. Umar menjawab, “Kenapa dengan kamu ini? Bagi Rasulullah SAW itu adalah pemberian, tetapi bagi kami hari ini ia adalah rasuah!” (Lihat Tarikh al-Khulafa’, 1/237).
Inilah sebahagian daripada reformasi, perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz semasa pemerintahannya. Bagi mereka yang berminat ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan hal ini atau ingin mendapatkan maklumat tambahan mengenainya, bolehlah merujuk kepada e-book kami yang bertajuk, “Reformasi Politik & Sosio Ekonomi Umar bin ‘Abd al-‘Aziz,” dan membacanya dalam aplikasi al-Inarah kami.
Kami teringat sikap Umar bin Abd al-Aziz yang inginkan keadilan apabila khutbah Jumaat dijadikan medan untuk menghina dan mencela Alawiyyin atau Al Bait pada khutbah yang kedua, digantikan dengan firman Allah SWT sebagai penutup:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.”
(Surah al-Nahl: 90)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
[1] Beliau ialah Ali bin Abu Hamlah al-Qurasyi. Nama julukan (kunyah) beliau ialah Abu Nasr, Abu Hamlah. Antara yang dinisbahkan kepada beliau ialah al-Himsi, al-Syami, al-Qurasyi, al-Filistini. Beliau menetap antaranya di Damsyiq, Ramlah, Hims, Palestin dan Syam. Beliau meninggal dunia pada tahun 215 H.