Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ramai dari kalangan ilmuwan kita takut untuk memberikan kritikan atau teguran terhadap tindakan pemimpin yang mereka lihat kurang bernas atau tidak baik. Bagaimanakah saluran dan cara selayaknya untuk memberikan teguran atau menasihati pemimpin begini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Perkara pertama yang perlu difahami adalah, redha dengan kesalahan dan kezaliman pemerintah adalah satu dosa. Dari Ummu Salamah Hindun binti Abi Umayyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ‏.‏ قَالُوا أَفَلاَ نُقَاتِلُهُمْ قَالَ:‏ لاَ مَا صَلَّوْا ‏

Maksudnya: “‘Akan ada para pemimpin kelak. Kamu semua mengenal mereka dan menolak perbuatan mereka. Siapa yang membenci kekeliruannya, maka dia terlepas dari dosa. Siapa yang menolaknya, maka dia selamat. Namun yang redha dan mengikutinya, itulah yang tidak selamat.’ Para sahabat bertanya: ‘Apakah kita perangi sahaja pemimpin seperti itu?’ Nabi menjawab: ‘Jangan, selama mereka masih solat’.”

Riwayat Muslim (1854)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari al-Syafi‘i menukilkan kalam Imam al-Zahabi ketika menjelaskan inti hadith ini, maksudnya; Sesiapa yang mengetahui kemungkaran pemimpin tersebut dan tidak keliru mengenainya, maka dia telah berlepas diri – iaitu, dia mempunyai jalan untuk membebaskan dirinya daripada dosa dan hukuman kerana kemungkaran itu, sama ada dengan mengubahnya dengan tangan atau lisannya. Namun, jika dia tidak mampu, maka dia hendaklah membenci kemungkaran itu dalam hatinya. Cukup dengan mengingkari perbuatan tersebut, meskipun dengan hati serta membencinya. Namun, sesiapa yang redha dan mengikuti pemimpin tersebut dalam kemungkaran, maka dia tidak akan terlepas atau tidak akan selamat.

Hadith ini menjadi dalil bahawa seseorang yang tidak mampu mengubah kemungkaran tidak berdosa hanya kerana berdiam diri, tetapi dia akan berdosa sekiranya dia meredhainya dalam hati atau tidak membencinya, atau mengikuti (pemimpin) dalam melakukannya. Dalam kitab al-Mufhim, disebut bahawa sesiapa yang meredhai kemungkaran dan mengikuti perbuatan itu, maka dia akan dipertanggungjawabkan dan menerima balasan, walaupun dia tidak melakukannya secara langsung.

Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah kami akan membiarkan mereka (para pemimpin yang melakukan kemungkaran) begitu sahaja tanpa memerangi mereka?” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, jangan kamu perangi mereka selama mana mereka masih mendirikan solat.” Ini bermakna, selagi mereka masih menunaikan solat fardhu, kita dilarang untuk keluar (memberontak) terhadap para khalifah hanya kerana kezaliman atau kefasiqan mereka, selagi mereka tidak mengubah sesuatu daripada asas Islam.

Imam al-Zahabi berkata bahawa Qadhi ‘Iyadh menjelaskan maksud ‘selagi mereka masih mendirikan solat’ adalah selagi mereka masih dalam agama Islam. Maka penyebutan solat di sini adalah sebagai lambang kepada pegangan mereka terhadap Islam. Kesimpulannya, pada zaman tersebut, solat merupakan sesuatu yang tidak boleh ditinggalkan, maka ia digunakan sebagai kiasan kepada pegangan terhadap agama Islam. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj, 20/109)

Justeru, menjadi kewajipan ke atas para ulama untuk menegur mana-mana pemimpin yang dilihat melakukan kemungkaran atau ketidakadilan dalam pemerintahannya. Kaedah yang paling tepat untuk menegur pemimpin adalah menasihatinya dengan bahasa yang sesuai serta beradab. Jika nasihat dan teguran telah disampaikan, namun tidak ada perubahan maka sudah terlepas tanggungjawab para ulama.

Daripada Abu Ruqayyah bin ‘Aus al-Dari R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat.” Kami bertanya: “Untuk siapa?” Sabda Baginda: “Bagi Allah, Kitab-Kitabnya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”

Riwayat Muslim (55), Abu Dawud (4994), Nasai’i (7/ 156), Ahmad (2/297), dan al-Darimi (2/311)

Imam al-Nawawi berkata: “Makna nasihat untuk para pemimpin umat Islam adalah tolong-menolong bersama mereka dalam urusan kebenaran, mentaati perintah mereka dalam kebenaran, menegur dan mengingatkan mereka dengan cara lemah-lembut, memberitahu mereka tentang apa yang mereka lalai supaya tidak melanggar hak-hak umat Islam, tidak menjadi pembangkang kepada mereka, dan menganjurkan orang lain untuk mentaati mereka.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/38)

Al-San‘ani berkata, nasihat tersebut dengan cara membantu mereka dalam menegakkan kebenaran, mematuhi mereka dalam apa yang diperintahkan (dalam perkara kebenaran), membantu dan memberikan cadangan yang baik kepada mereka, menasihati mereka supaya bersifat kasih-sayang dan ‘adil. (Lihat Subul al-Salam, 4/210)

Ibn Rajab al-Hanbali juga menyatakan hal yang sama, iaitu dengan membantu mereka pada perkara kebenaran, taati mereka dalam urusan tersebut (kebenaran), mengingatkan mereka kepada perkara tersebut dan menasihati mereka dengan lemah lembut, tidak menentang mereka, dan mendoakan mereka dengan taufiq (kebaikan), dan mendorong mereka kepada kebaikan lainnya.” (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm. 79)

Adapun cara yang sesuai untuk menyampaikan nasihat kepada pemimpin adalah secara sembunyi-sembunyi dan bukan di khalayak awam. Rasulullah SAW bersabda:

‌مَنْ ‌أَرَادَ ‌أَنْ ‌يَنْصَحَ ‌لِسُلْطَانٍ ‌بِأَمْرٍ، ‌فَلَا ‌يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً، وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ، فَيَخْلُوَ بِهِ، فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ، وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dengan sesuatu hal, maka janganlah menampakkan nasihat tersebut secara terang-terangan. Namun ambillah tangannya dan berbicaralah empat mata dengannya. Jika nasihat diterima, itulah yang diharapkan. Jika tidak diterima, engkau telah menunaikan apa yang dituntut darimu.”

Riwayat Ahmad (15333)

Ibnu ‘Abbas R.Anhuma pernah ditanya, “Bolehkah seseorang menegur imam secara terbuka?” Maka beliau menjawab, “Tidak, bahkan hendaklah dia menasihatinya secara rahsia.” Dalam Sahih al-Bukhari juga terdapat hadith yang menyebut bahawa Usamah bin Zaid R.A pernah didatangi oleh sekumpulan orang yang berkata kepadanya, “Tidakkah engkau mahu menasihati ‘Uthman? Tidakkah engkau melihat apa yang sedang berlaku kepada kita?” Maka beliau menjawab, “Sesungguhnya aku tidak akan menjadi orang yang membuka pintu fitnah. Aku telah pun menasihatinya secara rahsia.” Hal ini menunjukkan bahawa nasihat mestilah disampaikan secara rahsia, dan itu adalah haknya. Selain itu, terdapat juga syarat-syarat lain yang telah disebutkan oleh para ulama dalam perbincangan mengenai isu ini. (Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 88) 

Sufyan al-Thauri pernah berkata: “Tidak selayaknya mengajak pemerintah kepada yang ma’ruf melainkan dia seorang yang ‘alim (berilmu) dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, berlemah-lembut dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, serta bersikap adil (dalam menyampaikan).” (Lihat Syarh al-Sunnah oleh Al-Baghawi, 10/54)

Nasihat bagi pemimpin adalah menasihati mereka, iaitu menjelaskan kebenaran kepada mereka, tidak meresahkan dan menakutkan mereka, membantu dan menolong mereka dalam perkara-perkara yang hukumnya wajib untuk dibantu, dan menegur mereka dengan cara lembut dan berhikmah. 

Kepentingan nasihat kepada pemimpin adalah agar lahir pemimpin yang bertakwa. Pemimpin yang bertakwa pasti akan menolong rakyatnya yang berada dalam kesusahan. Bermula suatu kehancuran kepada sesebuah pemerintahan apabila pemimpin mula lalai dengan tanggungjawabnya dan rakyat sudah mula ingin memberontak.

Abu Laith al-Samarqandi dalam kitab Tanbih al-Ghafilin (hlm. 99) telah menggariskan beberapa syarat bagi seorang yang ingin menjalankan amar makruf dan nahi mungkar atau dalam konteks isu menasihati pemerintah, iaitu:

1)    Berilmu: kerana orang yang tidak mempunyai ilmu tidak mampu memahami dan membezakan perkara yang makruf dan mungkar, halal dan haram.

2)    Ikhlas: Menasihati semata-mata kerana Allah dalam melaksanakan sebarang perkara dalam menegakkan agama.

3)    Lemah-lembut: Berlemah-lembut dalam memberi amaran dan tidak biadab kerana Allah SWT berfirman kepada Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S semasa mereka berhadapan dengan Firaun:

فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا

Maksudnya: “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut.”

(Surah Taha: 44)

4)    Kasih sayang kepada yang dinasihati: Nasihat dengan baik dan ramah mesra dan jangan menggunakan kekerasan kerana Allah menyatakan di dalam kisah Luqman:

وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ

Maksudnya: “Dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.”

(Surah Luqman: 17)

5)    Mesti mengerjakan apa yang telah dianjurkan supaya tidak dikeji orang atas perbuatannya sendiri sehingga tidak termasuk seperti yang telah difirmankan oleh Allah:

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

(Surah al-Baqarah: 44)

Seorang pimpin yang benar-benar amanah, mereka akan sentiasa terbuka untuk menerima teguran daripada khalayak masyarakat. Ucapan Saidina Abu Bakar jelas menggambarkan hal tersebut: “Wahai semua orang (yang hadir)! Aku telah dilantik menjadi pemimpin kalian, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kalian. Maka, jika sekiranya aku seorang yang berlaku baik, bantulah aku. Sekiranya aku berlaku buruk, perbetulkanlah diriku. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kalian menjadi kuat di sisiku, sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat pula menjadi lemah di sisiku, sehingga aku bertindak ke atasnya dengan cara yang benar (adil) insya-Allah. Janganlah kalian meninggalkan kewajipan jihad (menegakkan Islam), kerana tiada sesuatu kaum yang meninggalkan kewajipan itu nescaya Allah timpakan kehinaan ke atas mereka. Taatilah aku, selagi aku mentaati Allah dan Rasul. Maka, apabila aku menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka kalian jangan mentaatiku.” (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh oleh Ibn al-Athir, 2/192)

Ketika mana Saidina ‘Umar dilantik menjadi khalifah, beliau menyampaikan ucapan antara lain menyebut: “Wahai manusia, sesiapa sahaja di antara kamu yang melihatku melakukan kesalahan (bengkok) maka luruskanlah (tegurlah kesalahanku).” 

Lalu seorang Badwi menjawab: “Demi Allah, jika kami melihat kebengkokan (kesalahan) pada dirimu, maka akan kami luruskan dengan pedang-pedang kami ini.”

Mendengar ada orang yang bersedia meluruskan kesalahannya, Saidina ‘Umar R.A sangat bersyukur dan berkata: “Puji syukur kepada Allah yang menjadikan di antara umat ini, seseorang yang meluruskan kembali kebengkokan (kesalahan) ‘Umar dengan pedangnya.” (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami oleh ‘Abd al-Qadir ‘Audah, 1/512; al-Islam wa Audha‘una al-Siyasah, hlm. 244; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, 8/211)

Sejujurnya, kami merasa takut dan gerun dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا، يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba- hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan orang-orang yang lain.”

Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Justeru, pemerintah hendaklah memuliakan ulama’ dan mengikuti nasihat tulus mereka kerana kerajaan yang terbaik adalah kerajaan yang sentiasa mendengar nasihat ulama’. Semoga Malaysia menjadi negara yang diidamkan sebagai Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.”

Wallahu a‘lam