Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah konsep graviti yang ditemui oleh sains moden mempunyai asas atau isyarat dalam al-Quran? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya“Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. ”

(Surah al-Jathiyah:3)

Ibn Jarir al-Tabari menyebutkan bahawa: Allah SWT berfirman: Sesungguhnya pada tujuh lapisan langit — yang daripadanya turun hujan — dan bumi — yang daripadanya keluarnya makhluk, wahai manusia, terdapat tanda-tanda (ayat) bagi orang-orang yang beriman. Maksudnya: terdapat dalil-dalil dan hujah-hujah yang jelas bagi mereka yang membenarkan kebenaran, apabila mereka meneliti dan memahaminya. (Lihat Jami‘ al-Bayan,  22/59)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, menurut al-Quran keseluruhan alam semesta ini adalah sebuah struktur yang kukuh dan terpadu. Alam ini bergerak dan berkerja selari sebagaimana hukum atau ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Justeru, padanya terdapat hubungan yang erat antara Pencipta iaitu Allah SWT dan ciptaan-Nya, serta pada masa yang sama menyerlahkan kebesaran, kekuasaan-Nya melalui penciptaan, pemeliharaan dan bimbingan-Nya terhadap ciptaan-Nya itu. 

Kekuasaan Allah SWT dalam mentadbir alam semesta ini tidak boleh dipertikaikan lagi kerana telah dijelaskan dalam firman-Nya yang tertulis dalam al-Quran. Jika diteliti ayat-ayat al-Quran kita akan dapat menyingkap prinsip dan teori pada kejadian alam semesta yang mana para saintis hanya mula mengetahui mengenainya beberapa tahun kebelakangan ini selepas wujudnya kaedah atau teknologi yang maju dan moden. (Lihat Bootani, Zoologi & Tenaga dari Perspektif al-Quran, Terbitan UTM Press, hlm. 36-37).  

Di antara teori tersebut ialah teori tarikan graviti. Firman Allah SWT: 

إِنَّ اللَّـهَ يُمْسِكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ أَن تَزُولَا ۚ وَلَئِن زَالَتَا إِنْ أَمْسَكَهُمَا مِنْ أَحَدٍ مِّن بَعْدِهِ ۚ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا 

Maksudnya“Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya; dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Ia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” 

(Surah Fatir: 41)

Al-Maraghi berkata ayat ini menceritakan bahawa setiap pergerakan ciptaan-Nya yang ada di langit dan bumi terikat dengan satu sistem dan hukum khas yang dinamakan sebagai hukum graviti. Oleh itu, alam ini yang terdiri daripada bumi, bulan, matahari dan lain-lain, semuanya dapat beredar mengikut orbit yang telah ditetapkan dengan hukum ini. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/137).  

Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT: 

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

Maksudnya“Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” 

(Surah al-Anbiya’: 33)

Terdapat kajian mengatakan kesan penting bulan terhadap bumi adalah tarikan graviti semasa laluannya di atas bumi. Graviti bumi mengekalkan bulan dalam orbitnya dan mengekalkan kedudukan permukaannya. Namun, graviti bulan pula boleh menarik permukaan bumi. Tarikan graviti bulan di kawasan berair tinggi berbanding kawasan daratan. Kesannya menyebabkan air ditarik ke arah bulan menghasilkan kejadian pasang surut air laut. (Lihat Sains Asas, Fizik, Kimia & Geografi dari Perspektif al-Quran, Terbitan UTM Press, hlm. 76-77).

Selain itu, al-Maraghi juga mengatakan sekiranya hukum ini tiada nescaya akan binasalah bintang-bintang dan planet-planet itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/137). 

Terdapat teori yang menyatakan apabila peluasan alam semesta telah berkembang sampai tahap tertentu, alam akan terhenti, dan alam semesta akan hancur. Salah satu penyebab perhentian ini adalah hilang daya tarik menarik antara objek di langit. (Lihat Sains Asas, Fizik, Kimia & Geografi dari Perspektif al-Quran, Terbitan UTM Press, hlm. 77).   

Al-Farra’ mengatakan bahawa jika langit dan bumi itu berganjak (daripada ketetapan hukumnya), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menahannya melainkan Allah SWT. Itulah apa yang difahami oleh sebahagian ulama sebagai peristiwa Hari Kiamat. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 14/356-357).  

Ini selari sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا قَدَرُوا اللَّـهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالْأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّمَاوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ ۚ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya“Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah SWT dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya, sedang bumi seluruhnya – pada Hari Kiamat – dalam genggaman kuasa-Nya, dan langit tergulung dengan kekuasaan-Nya. Maha Suci Dia dan Tertinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan.”

(Surah al-Zumar: 67)  

Sebagai kesimpulannya, dapat difahami bahawa al-Quran bukan sahaja membimbing manusia dalam urusan kehidupan dan ibadah, malah turut mengandungi isyarat terhadap hakikat penciptaan dan peraturan alam semesta. Fenomena seperti graviti, pergerakan planet, pasang surut air laut, dan keseimbangan kosmos semuanya berlaku berdasarkan ketetapan dan kekuasaan Allah SWT yang mutlak. Ayat-ayat al-Quran secara tersirat menunjukkan kewujudan sistem alam yang begitu teratur, membuktikan bahawa segala ciptaan tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya terikat dengan hukum dan kehendak Ilahi yang Maha Bijaksana serta Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam