Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami ada soalan. Kami terlibat dalam salah satu gerakan dakwah atau NGO yang selalu bertemu dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti persundalan. Justeru, soalannya, apakah yang perlu dimiliki oleh pendakwah dalam menghadapi golongan pelaku dosa seperti mereka itu? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan bahawa para pendakwah perlu menguatkan jiwa dan mempersiapkan diri dengan ilmu agar dapat terus istiqamah mengajak golongan seperti ini ke arah taubat, dengan pendekatan yang sesuai dan tidak terus menghukum. Allah SWT berfirman di dalam al-Tanzil:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-Quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menyatakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/52)

Perlihatkanlah kepada mereka ini keindahan Islam yang tidak pernah mempersiakan taubat mereka, sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai hamba-hamba-Ku (Allah) yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani’.”

(Surah al-Zumar: 53)

Sesungguhnya pintu rahmat Allah SWT itu amatlah luas, dan kenyataan ini bukan sekadar menanam tebu di hujung bibir, sebaliknya beginilah yang disebutkan dalam firman-Nya:

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ

Maksudnya: “Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-A‘raf: 156)

Sekiranya seseorang yang telah terlanjur melakukan zina itu bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan seikhlasnya, nescaya Allah akan mengampuninya dan mengampunkan dosanya. Allah SWT berfirman, setelah menyebutkan peringatan kepada orang yang melakukan zina:

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا (٦٨)‏ يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا (٦٩)‏ إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا (٧٠)‏ وَمَن تَابَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَإِنَّهُ يَتُوبُ إِلَى اللَّهِ مَتَابًا (٧١)

Maksudnya: “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan, dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat.”

(Surah al-Furqan: 68-71)

Syams al-Din al-Qurtubi berkata, tidak ada perselisihan di kalangan ulama’ tentang pengecualian yang disebutkan dalam ayat ke 70, bahawa ia terpakai (yakni diampunkan dan tidak dikenakan azab) ke atas orang bukan Islam dan penzina yang bertaubat. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 13/77)

Bahkan terdapat sebuah kisah masyhur yang menarik, dan ia menjadi bukti bahawa masih adanya harapan untuk orang yang pernah berzina diberikan keampunan oleh Allah SWT. Dikisahkan, seorang pelacur yang diampunkan dosa-dosanya hanya kerana perbuatannya memberi minum seekor anjing yang kehausan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: 

غُفِرَ لِامْرَأَةٍ مُومِسَةٍ، مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِيٍّ يَلْهَثُ، قَالَ: كَادَ يَقْتُلُهُ العَطَشُ، فَنَزَعَتْ خُفَّهَا، فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا، فَنَزَعَتْ لَهُ مِنَ الْمَاءِ، فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ

Maksudnya: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang lalu berhampiran seekor anjing berdekatan telaga sambil ia menjelirkan lidahnya. Baginda bersabda lagi: Hampir-hampir ia mati kerana rasa haus, lalu wanita itu menanggalkan seliparnya dan mengikatnya dengan selendangnya lantas mengambil air untuk anjing tersebut, maka pelacur itu diampuni kerana perkara tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (3321)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami tegaskan sekali lagi bahawa para pendakwah yang berhadapan dengan golongan pelaku dosa seperti pelacur perlu membekalkan diri dengan ilmu, kesabaran dan kekuatan jiwa agar mampu terus istiqamah dalam menyampaikan dakwah dengan penuh hikmah dan kasih sayang, bukan dengan cercaan atau hukuman semata-mata. Islam mengajar kita untuk mendekati mereka dengan nasihat yang lembut, peringatan yang membina serta keyakinan bahawa rahmat dan keampunan Allah SWT sentiasa terbuka bagi sesiapa sahaja yang benar-benar ingin bertaubat. Kisah-kisah taubat dalam al-Quran dan hadith membuktikan bahawa keinsafan dan amal soleh selepas taubat mampu mengubah keburukan menjadi kebaikan di sisi Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”