Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya dah banyak sangat bersedekah, tetapi sampai sekarang tidak nampak apakah hasil yang saya peroleh dari sedekah ini. Minta sedikit pencerahan buat saya yang kini sudah semakin pudar kepercayaan terhadap kelebihan sedekah.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Tidak dapat dinafikan lagi betapa besarnya kelebihan dan fadhilat bersedekah, sebagai satu bentuk ganjaran buat mereka yang bermurah hati untuk sama-sama berkongsi nikmat kurniaan ilahi. Antaranya adalah rezeki mereka akan dilipat gandakan, sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ‎﴿٢٦٢﴾‏

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (261) Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (262)”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang menginfakkan hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. Ayat ini juga adalah satu bentuk tuntutan serta galakan supaya kita terus  memberi infak pada jalan Allah kerana pahalanya yang amat besar. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526; Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/216)

Di samping itu, Syeikh al-Maraghi turut menyebutkan, ringkasnya orang yang mendermakan hartanya demi mencari keredhaan Ilahi dan meninggikan agama-Nya adalah ibarat sebutir biji yang baik ditanam di tanah yang subur. Lalu ia tumbuh dengan subur serta menumbuhkan hasil tujuh ratus kali ganda. Antara yang dapat kita iktibarkan daripada ayat di atas juga ialah, Allah SWT akan mengurniakan balasan ganjaran tanpa had kepada orang yang bersedekah pada jalan-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/601).

Selain itu, Sayyid Qutb juga ada menyebutkan, al-Quran mengajak hati nurani manusia berkorban dan memberi, kerana (pada hakikatnya) dia tidak memberi, tetapi mengambil dan ia tidak berkurang tetapi bertambah. Kemudian rasa ingin memberi kian meningkat lagi apabila dihiasi dengan pemandangan tanaman yang banyak memberikan hasil itu. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, iaitu ganjaran yang berlipat ganda, yang tidak terhingga dan tidak terkira. Allah melipatgandakan rezekinya yang tiada sesiapa pun mengetahui batasnya dan melipatgandakan rahmat-Nya yang tiada sesiapa mengetahui batas sempadannya. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/103-104)

Begitu juga dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّـهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 265)

Ibn Kathir berkata: Firman Allah SWT “كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ” (seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi) Maksudnya seperti sebuah kebun di dataran tinggi. Demikian menurut jumhur ulama’. Rabwahbermaksud tanah tinggi. Ibn ‘Abbas R.Anhuma dan al-Dhahhak menambah, padanya mengalir sungai-sungai. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/328)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohon dan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. 

Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik. Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80).

Begitu juga firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.” 

(Surah al-Baqarah: 274)

Allah SWT menjelaskan tentang pahala orang-orang yang berinfak dan pahala berinfak dalam setiap keadaan dan waktu. Barangsiapa yang bersedekah – baik pada waktu malam atau siang hari, dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan atau tidak – maka baginya pahala yang sempurna di sisi Tuhan. Tidak ada ketakutan baginya di akhirat dan tidak pula dia merasa khuatir dan bersedih. 

Maksudnya tidak ada ketakutan baginya ketika menghadapi kedahsyatan hari Kiamat dan tidak pula dia bersedih dan khuatir terhadap keadaan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia. Dia juga tidak merasa sedih dan menyesali atas apa yang dia tidak mampu raih dari kehidupan dunia dan keindahannya. Ini kerana dia telah menjumpai apa yang jauh lebih baik daripada itu semua. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/105)

Perbincangan soal pertambahan rezeki ini yang sering kita salah faham sebagai harta dunia semata-mata, sedangkan hakikat rezeki itu lebih luas dari sekadar harta. Syeikh ‘Abd al-Karim Zaidan menyimpulkan ‘rezeki’ ini di dalam sebuah karya beliau seraya berkata: “Segala sesuatu yang memberi manfaat, sama ada bersifat material seperti harta kekayaan berupa emas, perak, haiwan ternakan, tanaman, buah-buahan, hartanah, dan segala yang dimakan, diminum, dipakai, didiami dan seumpamanya; ataupun bersifat maknawi seperti pengetahuan, ilmu, kedudukan, pengaruh, kuasa, akal fikiran, kecerdasan, akhlak yang baik dan seumpamanya. Sama ada manfaat itu dinikmati di dunia, seperti yang telah disebutkan, atau dinikmati di akhirat, seperti keredaan Allah Ta‘ala, ganjaran pahala, nikmat syurga dan seumpamanya yang telah dikhabarkan kepada kita oleh Allah Ta‘ala.” (Lihat al-Sunan al-Ilahiyyah fi al-Umam wa al-Jama‘at wa al-Afrad, hlm. 264)

Terdapat juga beberapa hadith yang menjelaskan berkenaan kelebihan amalan sedekah ini, antaranya seperti dalam riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنيَا نَفَّسَ اللهُ عنهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنيَا وَالْآخِرَةِ وَاللهُ فِي عَوْنِ العَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أخيهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah SWT akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan di Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkan kepadanya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup (aurat atau keaiban) seorang muslim, Allah akan menutup (aurat atau keaiban) nya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699)

Dalam isu ini, masyarakat yang mengamalkan sikap saling tolong-menolong dalam kalangan mereka, maka sudah pasti pertolongan Allah SWT buat mereka. Sesungguhnya masyarakat tidak akan lurus dan stabil, tidak akan kuat dan kukuh kecuali jika ia dibina di atas dasar tolong-menolong ataupun bantu-membantu di antara individu. 

Oleh itu, setiap individu hendaklah berusaha memenuhi keperluan orang lain dengan jiwa, harta dan kedudukannya, sehinggalah semuanya merasakan bahawa mereka adalah seperti satu tubuh. Inilah yang dianjurkan oleh Islam dan diperintahkan oleh al-Quran. Manakala al-Sunnah pula menjadikannya sebagai lambang kepada masyarakat beriman. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 338)

Selain itu, dalam riwayat lain, Mu‘az bin Jabal R.A berkata: Wahai Rasulullah SAW, beritahu aku suatu amalan yang akan memasukkan aku ke dalam Syurga dan menjauhkan aku dari neraka. Baginda lalu bersabda:

لَقَدْ سَأَلْتَنِي عَنْ عَظِيمٍ ، وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ ، تَعْبُدُ اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ، وَتَحُجُّ البَيْتَ ثُمَّ قَالَ: أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الخَيْرِ: الصَّوْمُ جُنَّةٌ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ

Maksudnya: “Demi Allah! Sesungguhnya kamu telah bertanya padaku tentang sesuatu yang besar. Sesungguhnya ia memang mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah kepadanya. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutukan sesuatu dengan-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitullah. Kemudian Baginda bersabda lagi: ‘Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai. Sedekah memadam dosa seperti mana air memadam api’.”

Riwayat al-Tirmizi (2616), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (11394) dan al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (103)

Menurut al-Mubarakfuri, ungkapan “وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ” (Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api) adalah bermaksud menghilangkannya dan menghapuskan kesannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/237)

Dalam hadith lain yang diriwayatkan daripada Abu Malik al-Asy‘ari R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ

Maksudnya: “Sedekah itu adalah bukti (keimanan).”

Riwayat Muslim (556)

Sedekah tersebut dengan maksud membelanjakan harta kepada mereka yang memerlukan dengan tujuan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Harta yang disayangi diberikan semata-mata kerana wujudnya iman bagi orang yang bersedekah. Disebabkan itu, Rasulullah SAW menamakan sedekah itu sebagai bukti (بُرْهَانٌ). (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 220)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada nas-nas dan sedikit pencerahan yang kami bawakan, maka dapat disimpulkan bahawa sedekah itu terbukti membawa banyak faedah dan kelebihan, antaranya:

     Mendapat ganjaran pahala di sisi Allah

     Rezeki akan bertambah

     Dapat menghapuskan dosa

     Allah akan kurniakan naungan-Nya pada hari Kiamat

Bahkan, dengan sedekah itu juga kita dapat memupuk nilai pemurah dan mengikis sifat kedekut dalam diri. Tidaklah harta dunia itu berkekalan melainkan ia pasti akan binasa juga pada hari Akhirat kelak, dan yang tinggal mengiringi kita hanyalah catatan amalan serta keredhaan Allah SWT yang didambakan. Justeru, berdasarkan nas-nas yang dinyatakan, jelas bahawa amalan sedekah memiliki kelebihan yang sangat besar. 

Marilah sama-sama kita berazam untuk menjadikan amalan bersedekah sebagai salah satu amalan yang sentiasa dilazimi dalam kehidupan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam