Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hikmah dan sebab daripada pengharaman darah yang mengalir. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-An’am: 145)

Dinyatakan dalam Fath al-Qadir oleh Syaukani (2/197): Adalah orang-orang Jahiliah apabila mereka menyembelih haiwan, mereka akan menikam (urat leher) haiwan tersebut dan mengambil darahnya, lalu mereka memakannya.” Maka beliau berkata: “Itulah yang dimaksudkan dengan ‘darah yang mengalir” (الدم المسفوح).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan: Termasuk dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ialah darah yang mengalir. Terdapat riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawasanya:

أنَّهُ سُئِلَ عن الطُّحالِ فقالَ: كُلوهُ فقالوا: إنَّهُ دمٌ. فقالَ: إنَّما حُرِّمَ عليكمُ الدَّمُ المسفوحُ

Maksudnya“Beliau pernah ditanya tentang limpa, maka beliau menjawab: ‘Makanlah ia!’ Kemudian mereka bertanya lagi: ‘Bukankah ia ialah darah?’ Maka beliau menjawab: ‘Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan ke atas kamu daripada memakan darah yang mengalir.’”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-At‘imah (24849); al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra(20191); Ahmad Syakir dalam ‘Umdah al-Tafsir (1/624) menilai sanadnya sebagai sahih.

Faktor pengharaman darah yang mengalir itu adalah kerana ia seolah-olah benda yang kotor dan dipandang hina oleh masyarakat di mana tabiat mereka yang sukakan sesuatu yang bersih. Selain itu, ia juga dikhuatiri akan mendatangkan bahaya kepada manusia, sama seperti bangkai. Pernah berlaku pada zaman jahiliyah, ada seorang yang terasa lapar lalu segera mencari sesuatu yang tajam, seperti tulang dan seumpamanya, lalu ditusukkan pada untanya atau binatangnya, lalu diambil darah yang keluar daripada binatang itu dan diminumnya.

Dalam hal ini, penyair al-A‘sya telah mengungkap bait syairnya:

وَإِيَّاكَ وَالـمَيْتَاتِ لَا تَقْرَبَنَّهَا   وَتَأْخُذَنَّ عِظَمًا حَدِيدًا فَتَفْصِدَا

Awaslah! Pada bangkai-bangkai itu jangan kamu mendekatinya. 

Jangan pula diambil tulang yang tajam lalu ditusukkannya!

Lantaran pada tusukan itu, akan berlaku penganiayaan terhadap binatang serta melemahkannya, maka Allah SWT telah mengharamkan darah yang mengalir daripada perbuatan itu. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 57).

Tambahan lagi, al-Maraghi juga ada menyebutkan, hikmah diharamkan (minum) darah kerana ia membahayakan dan dianggap jijik serta kotor. Sementara bahayanya pula iaitu ia sukar untuk dicerna oleh usus-usus besar dan sering kali menimbulkan beberapa gangguan yang boleh merosakkan tubuh kerana pengaruh daripada bakteria secara alamiah muncul daripada darah sebagaimana terdapat dalam kotoran manusia, lalu ia berada dalam perut dan bercampur dengan bahan-bahan baru daripada darah. 

Kadang-kadang dalam usus besar juga terdapat beberapa jenis bakteria yang jumlahnya lebih banyak daripada yang terdapat dalam daging. Oleh kerana itulah, doktor sepakat memastikan susu yang ingin diminum, dimasak terlebih dahulu sehingga mendidih untuk membunuh bakteria penyakit besar yang mungkin terdapat di dalamnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/47-48).

Sebagai kesimpulan, pengharaman darah yang mengalir dalam Islam mengandungi hikmah yang mendalam dari sudut agama, kesihatan dan nilai kemanusiaan. Islam sebagai agama yang menitikberatkan kebersihan, kesejahteraan serta pemeliharaan nyawa, melarang pengambilan darah yang mengalir baik pada makanan seperti bangkai atau minuman kerana ia dikategorikan sebagai najis yang menjijikkan, dan boleh membawa mudarat kepada tubuh manusia. Larangan ini juga selari dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan.” (Lihat al-Wajiz fi Idhah Qawa‘id al-Fiqh al-Kulliyyah, 258)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam