Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya kepada ustaz dan meminta beberapa pandangan dan cadangan yang mungkin boleh untuk dipraktikkan terutamanya dari sudut Islam dalam membasmi atau menyelesaikan masalah perzinaan atau pelacuran dalam kalangan masyarakat yang semakin membimbangkan pada hari ini. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami ingin tegaskan bahawa perbuatan zina dan pelacuran ini adalah jelas diharamkan oleh Islam. Bahkan ia merupakan seburuk-buruk maksiat yang juga menjadi pintu utama kepada banyak kerosakan lain.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hamba-hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/72)

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, sebenarnya terdapat beberapa cadangan dan syor yang boleh untuk dipraktikkan, terutamanya oleh para pendakwah yang selalu bertemu dan berhadapan dengan mereka, begitu juga oleh agensi-agensi kerajaan dan badan-badan NGO. Di antaranya ialah:

1.    Istiqamah Menyampaikan Dakwah dan Mengajak Mereka Bertaubat. 

Dalam mendepani polemik seperti ini, para pendakwah perlu menguatkan jiwa dan mempersiapkan diri dengan ilmu agar dapat terus istiqamah mengajak golongan seperti ini ke arah taubat, dengan pendekatan yang sesuai dan tidak terus menghukum. Allah SWT berfirman di dalam al-Tanzil:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh  hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-Quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menyatakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/52)

Perlihatkanlah kepada mereka ini keindahan Islam yang tidak pernah mempersiakan taubat mereka. Sesungguhnya pintu rahmat Allah SWT itu amatlah luas. Sekiranya seseorang yang telah terlanjur melakukan zina itu bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan seikhlasnya, nescaya Allah akan mengampuninya dan mengampunkan dosanya.

2.    Menyalurkan Zakat Kepada Mereka Sebagai Golongan Yang Tergolong Dalam Asnaf Zakat

Salah satu asnaf yang disebutkan ialah al-Riqab. Dari sudut bahasa, al-riqab adalah kata jamak daripada perkataan tunggal al-raqabah yang membawa makna tengkuk atau leher. Hal ini mengisyaratkan bahawa terdapat belenggu yang menghalang seseorang daripada bebas dan merdeka sepertimana haiwan peliharan yang diikat lehernya. Ia juga kiasan kepada golongan hamba yang dibelenggu dengan perhambaan.

Dari sudut istilah pula, secara asasnya para fuqaha’ menafsirkan asnaf al-Riqab sebagai hamba al-Mukatab iaitu hamba yang dijanjikan dengan perjanjian yang sah oleh tuannya dengan syarat membayar sejumlah wang. Hal ini seperti disebutkan oleh Habib Hasan al-Kaff bahawa al-riqab ialah hamba al-Mukatab iaitu seseorang yang dijanjikan dengan perjanjian yang sah untuk dibebaskan oleh tuannya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, 424)

Namun, sebahagian ulama’ pula meluaskan definisi al-riqab kepada segala bentuk yang bersifat perhambaan dan belenggu, yang bukan hanya terhad kepada golongan hamba al-mukatab semata-mata. Antaranya ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Rashid Redha dan Syeikh Mahmud Syaltut meluaskan definisi asnaf al-riqab kepada tawanan-tawanan perang Muslim dan negara Islam yang ditakluki atau ditindas oleh orang kafir. (Lihat  Fiqh al-Zakat oleh al-Qaradhawi, 2/77-78).

Tafsiran yang luas ini juga difatwakan dan dipraktikkan di Malaysia, antaranya Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan menyenaraikan asnaf al-riqab dengan golongan yang dibelenggu atau dieksploitasi dari aspek pemikiran, harta benda, kekuasaan dan kebebasan yang tidak mampu membebaskan diri dari belenggu tersebut. Kemudian, di antara golongan yang dikategorikan asnaf al-Riqab yang berada di bawah kesalahan berhubungan dengan kesusilaan adalah menyelamat/melindungi wanita atau lelaki daripada terjerumus aktiviti-aktiviti tidak bermoral, aktiviti pelacuran, LGBT (lesbian, gay, bisexual dan transgender) dan lain-lain.

Konsep dan Skim Agihan: berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat, dan memulih asnaf al-riqab supaya dapat menjalani kehidupan sempurna sebagai muslim. Perluasan asnaf al-riqab bukan sahaja diberikan kepada pusat-pusat pemulihan, bahkan kepada individu-individu yang terlibat. (Lihat Panduan Pengagihan Zakat Melalui Wakalah – Maiwp, hlm. 3-4)

Justeru jelaslah kepada kita bahawa golongan ini termasuk dalam golongan asnaf al-Riqab yang layak menerima bantuan zakat. Maka, saranan kami kepada pihak-pihak berautoriti agama seperti Majlis Agama dan badan-badan zakat setiap negeri hendaklah mengambil peranan dalam menghulurkan bantuan zakat dengan menempatkan mereka di asrama khas seperti rumah tumpangan di samping  mengenalpasti kemampuan mereka. Selain itu hendaklah mewujudkan  kelas agama dalam melahirkan kesedaran dan pembinaan akhlak mereka.  

3.    Mewujudkan Bantuan Kepada Mereka. 

Pihak-pihak berautoriti dan bertanggungjawab juga perlu memainkan peranan dalam mewujudkan pelbagai bentuk bantuan, sama ada berbentuk material atau bantuan kerohanian. 

4.    Memberikan Pendedahan Pendidikan Seksual.

Pendidikan ini pada asasnya memberikan generasi muda maklumat yang tepat dan bersesuaian dengan peringkat umur mereka berkenaan seksualiti dan kesihatan seksual dan reproduktif mereka, yang penting untuk kesihatan dan kelangsungan hidup mereka. Oleh yang demikian, perlu ada kerjasama antara pihak berkuasa, pendidik, ibu bapa, dan pelajar untuk memastikan bahawa pendidikan seks kepada generasi muda dapat disampaikan dengan cara yang sesuai dan efektif, sama ada dalam pendidikan formal, di rumah atau dalam suasana tidak formal yang lain. Seorang guru yang berkeahlian juga guru boleh memastikan golongan muda mempunyai akses kepada maklumat saintifik, tepat dan menyokong mereka dalam membina kemahiran kritikal.[1]

5.    Dua Belas Langkah (The Twelve Steps).

Dalam sesi temu ramah yang kami pernah jalankan, dinyatakan bahawa dua belas langkah yang digariskan dalam program pemulihan Sex Addicts Anonymous (SAA) dilihat ada memberi kesan dalam usaha mengekang ketagihan seksual ini. Program pemulihan Sex Addicts Anonymous (SAA) adalah suatu program persahabatan individu yang berkongsi pengalaman, kekuatan dan harapan antara satu sama lain supaya mereka dapat mengatasi ketagihan seksual mereka dan membantu orang lain pulih daripada ketagihan seksual.

Inilah sedikit sebanyak cadangan dan syor yang dapat kami berikan berhubung dengan perkara ini dalam ruangan yang terhad ini. 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

[1] Lihat https://www.who.int/news-room/questions-and-answers/item/comprehensive-sexuality-education#:~:text=Sexuality%20education%20equips%20children%20and,protect%20the%20rights%20of%20others. Diakses pada 11 Januari 2024.