Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah tanggungjawab dan tugas sebenar yang seharusnya dilakukan oleh seorang yang memegang jawatan Imam masjid atau surau?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadis Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud“Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, terdapat pelbagai tugas imam dalam hal ehwal agama di masjid atau surau, termasuk dalam pentadbiran dan pengurusan. Secara umumnya, setiap imam yang dilantik akan memikul tanggungjawab dan tugasan berikut:

     Menjadi pegawai syari’i dalam kariah masjid dan mengimamkan solat fardhu dan apa-apa solat berjemaah yang lain di masjid itu.

     Mengetuai urusan fardhu kifayah ke atas jenazah orang Islam yang mati di kariah masjid itu sehingga dikebumikannya.

     Membaca khutbah Jumaat dan khutbah Hari Raya.

     Memberi nasihat dan tunjuk ajar dalam perkara-perkara tentang agama Islam kepada anak kariah masjid itu sedaya upayanya.

     Mengetuai, mengawasi dan mengatur pengajaran agama Islam di kalangan anak kariah masjid itu.

     Membimbing bilal, siak dan anak kariah masjid itu dalam menjalankan tugas-tugas imam.

     Menghadiri tiap-tiap mesyuarat Pegawai Masjid dan Jawatankuasa kariah Masjid itu.

     Menerima dan mematuhi apa-apa arahan yang diberikan oleh Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.

Di dalam kitab Mas’uliyyah Imam al-Masjid yang dikarang oleh ‘Ali ‘Usairi menyatakan bahawa:  Imam telah diberi tanggungjawab oleh pihak berkuasa untuk melakukan  tugas yang diberikan kepadanya untuk dilaksanakan sebagaimana yang diminta daripadanya dengan diberikannya upah gaji atau elaun. Ini termasuk memimpin sembahyang fardhu, atau sembahyang fardhu dan Jumaat, atau  hanya sembahyang Jumaat, atau sebagai imam ganti jika diperlukan pada bila-bila masa. 

Yang penting di sini ialah dia telah diberi tanggungjawab dan upah yang ditetapkan untuk tugas tersebut. Adakah dia dibenarkan untuk bersikap tidak serius dalam melakukan tugas ini? Sikap tidak serius dalam menjalankan tugas yang dipercayakan kepadanya dianggap sebagai pengkhianatan terhadap amanah dan kelalaian yang boleh mendatangkan hukuman ke atasnya. Mungkin akan menjadi contoh buruk kepada sesetengah orang dalam mengabaikan tugas dan amanah mereka, maka dia akan memikul dosa atas pengabaian dalam menjalankan tugas dan dosa ke atas orang yang mengikutinya  dalam hal tersebut.

Selain itu juga, seorang Imam mestilah mempunyai ilmu yang mantap kerana Imam yang berilmu bukan sahaja mampu memimpin solat bahkan diambil ilmu dan fatwa daripadanya. Justeru, masjid menjadi tempat berkumpulnya pelbagai golongan masyarakat seperti penuntut ilmu, intelektual, golongan yang  berpengaruh dan lain-lain.

Oleh yang demikian, Imam memikul  tanggungjawab yang besar dalam menyebarkan ilmu.  Abdul Malik bin Marwan ditanya kepadanya: Mengapa engkau cepat tua?  Dia menjawab: Bagaimana tidak, sedangkan aku memberikan ilmu dan pikiranku kepada orang ramai setiap Jumaat. Yang demikian kerana dia mengerti betapa besar tanggungjawabnya. 

Peranan seorang imam  tidak hanya terbatas pada memimpin solat, tetapi juga sebagai seorang pendidik, pembimbing, mufti, orang yang mengislahkan keadaan, pencegah keburukan sebelum ianya berlaku, serta penggerak kepada penyelesaian masalah yang menimbulkan perselisihan. (Lihat Mas’uliyyah al-Imam al-Masjid, hlm. 27-34)

Sebagai kesimpulan, tanggungjawab sebagai seorang imam bukanlah sekadar memimpin solat, tetapi ia adalah satu amanah besar yang meliputi urusan keagamaan, pendidikan, pentadbiran dan pembentukan masyarakat. Imam seharusnya menjadi pemimpin rohani, dan menjadi contoh teladan dalam menjaga kesucian dan pengimarahan rumah Allah SWT. 

Amanah ini menuntut sifat iltizam, keikhlasan dan kesungguhan dalam melaksanakan tugas, kerana sikap lalai dan sambil lewa boleh menjejaskan kewibawaan institusi masjid, malah boleh menjadi satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah yang dipikul. Firman Allah SWT: 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah SWT dan Rasulullah SAW; dengan meninggalkan suruhannya serta melakukan apa yang dilarang. Dan janganlah pula kamu mengkhianati amanah-amanah yang diserahkan kepada kamu, sedang kamu mengetahui tentang akibat perbuatan khianat tersebut.”

(Surah al-Anfal: 27)

Maka, memelihara amanah sebagai imam adalah cerminan kepada keimanan dan ketakwaan yang sebenar dalam menghidupkan masjid dan memimpin umat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya“Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.” 

Wallahua‘lam