Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ini seorang yang malas tapi saya juga nak ada amalan sunat yang boleh untuk saya istiqamahkan. Jadi, boleh saya minta nasihat daripada ustaz berkenaan amalan sunat yang paling ringan dan mudah yang boleh untuk saya amalkan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, kami ingin mengucapkan syabas kepada orang yang bertanya kerana walaupun mengakui ada rasa malas, namun anda tetap mempunyai keinginan untuk beramal dan mencari amalan yang boleh diamalkan secara konsisten. Ini adalah tanda hati yang masih hidup dan tidak pernah berputus asa dari rahmat Allah SWT.

Dalam menjawab persoalan yang diajukan, menurut kami, amalan sunat yang paling ringan dan mudah untuk dilakukan adalah berzikir kepada Allah SWT. Syeikh ‘Abd al-Razzaq bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr dalam bukunya pernah mengetengahkan satu renungan berkenaan bagaimana Nabi SAW membimbing seorang lelaki yang merasakan dirinya terbeban dengan pelbagai tuntutan syariat Islam. Lelaki itu mencari satu amalan yang menyeluruh untuk dijadikan panduan hidupnya, yang dapat membawanya kepada kebahagiaan dan kebaikan di dunia serta akhirat. Maka, Nabi SAW menunjukkan kepadanya satu amalan yang tergolong antara amalan paling mudah dan ringan untuk diamalkan, namun ganjaran serta manfaat yang terhasil daripadanya amat besar dan tiada bandingannya dengan amalan-amalan lain.

Para ulama menyebut bahawa zikrullah adalah amalan yang paling ringan di lidah, paling mudah diamalkan, tetapi paling berat dalam timbangan amal di akhirat. Ia tidak memerlukan kekuatan fizikal, tidak memerlukan tempat atau waktu khusus, dan boleh dilakukan dalam apa jua keadaan – ketika berjalan, duduk, berbaring, memandu, bahkan sambil menunggu atau berehat. Allah SWT membuka pintu seluas-luasnya untuk semua orang – sama ada muda atau tua, lelaki atau wanita, sihat atau sakit – agar mereka sentiasa berzikir dan menyebut nama-Nya. (Lihat Fawa’id al-Zikr wa Thamaratuhu, hlm. 8-9).

Oleh itu, Nabi SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahihain:

كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ

Maksudnya: “Dua kalimah yang ringan pada lidah…

Riwayat al-Bukhari (6406, 6682, 7573) dan Muslim (2694)

Perhatikan bagaimana Baginda memulakan sabdanya: “Dua kalimah yang ringan pada lidah..,” Baginda menunjukkan bahawa amalan ini sangat ringan, mudah, dan tidak membebankan orang yang melakukannya dengan kepayahan atau kesulitan. Namun, apa yang Baginda sabdakan seterusnya?

ثَقِيلَتَانِ فِي المِيزَانِ، حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ

Maksudnya: “Tetapi berat dalam timbangan dan sangat dicintai oleh al-Rahman (Tuhan Yang Maha Pengasih).

Ia memiliki kedudukan yang agung di sisi Allah. Meskipun ia adalah kalimah yang mudah, indah, dan menyenangkan pada lidah, namun ia adalah berat dalam timbangan amal serta sangat dicintai oleh al-Rahman (Tuhan Yang Maha Pengasih). 

Baginda juga bersabda:

مَنْ قَالَ: سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ مِائَةَ مَرَّةٍ؛ غُفِرَتْ لَهُ ذُنُوبُهُ، وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan ‘Subhanallahi wa bihamdihi’ sebanyak seratus kali, maka diampunkan dosa-dosanya, sekalipun sebanyak buih di lautan.

Riwayat Ahmad (8873), al-Tirmizi (3466), Ibn Majah (3812).[1]

Meskipun begitu, zikrullah atau mengingati Allah merupakan amalan yang mudah dilafazkan bagi mereka yang dikurniakan taufik dan bantuan daripada Allah SWT. Sebaliknya, bagi individu yang tidak mendapat pertolongan daripada-Nya, zikir menjadi satu amalan yang berat dan sukar untuk dilakukan. Lidahnya seakan-akan tidak mampu menyebut nama Allah, dan dia merasakan kepayahan serta keletihan apabila berzikir. Malah, tidak mustahil dia turut merasa bosan dan tidak berminat terhadap zikir tersebut. Keadaan ini adalah satu petunjuk kehinaan serta tanda bahawa seseorang itu telah terhalang daripada kebaikan – dan kita memohon perlindungan kepada Allah daripada situasi sebegini.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

[1] Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hasan sahih.