Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, pada masa kini, kita dapat melihat wujudnya begitu banyak golongan yang bersikap melampau, sama ada dalam pengamalan agama, perlakuan, mahupun pendekatan terhadap sesuatu isu. Justeru, apakah sebenarnya hakikat konsep wasatiyyah menurut pandangan Islam? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Wasatiyyah dari sudut bahasa adalah: “Pertengahan sesuatu yang berada di antara dua kedudukan.” (Lhat Lisan al-Arab, 7/426) Manakala dalam kitab Asas al-Balaghah, ia dengan maksud terbaik. Daripadanya juga dengan maksud bersederhana seperti nafkah. (Lihat Asas al-Balaghah, hlm. 498)
Menurut al-Qamus al-Muhit pula, wasat dengan makna paling adil dan terbaik. (Lihat al-Qamus al-Muhit, 2/391) Justeru, dalam bahasa yang mudah, kalimah wasatiy memberi makna adil, terbaik dan pertengahan atau seimbang.
Dari sudut istilah pula, ia sama sepertimana dari sudut bahasa, kecuali para ulama’ menyebut tawassut adalah merupakan keadaan yang dipuji pada ghalibnya yang berdiri di atas asas akal insani yang sejahtera dengan fitrah dan menyelamatkannya daripada cenderung kepada melampau atau cuai. (Lihat al-wasatiyyah fi al-Islam, hlm. 27) Justeru, benarlah kata-kata Imam Abu Ishaq al-Syatibi: “Wasat merupakan sebesar-besar syariat dan Ummu al-Kitab.” (Lihat al-Muwafaqat, 3/163)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, istilah wasatiyyah adalah antara istilah yang banyak digunakan oleh ramai umat Islam termasuk ulama’ apabila ingin menggambarkan sifat asasi agama Islam. Ulama’ daripada dahulu sehingga sekarang banyak membahaskan tentang apakah yang dimaksudkan dengan istilah wasatiyyah tersebut secara tepat. Firman Allah SWT:
وَكَذَ ٰلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةࣰ وَسَطࣰا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَاۤءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَیَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَیۡكُمۡ شَهِیدࣰا
Maksudnya: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”
(Surah al-Baqarah: 143)
Ibn Kathir mentafsirkan bahawa: Kami telah memilih kamu untuk menjadikan kamu pilihan ummat daripada umat-umat yang lain supaya kamu menjadi saksi ke atas seluruh umat, kerana semua mengetahui kelebihan kamu, dan maksud al-wast di sini adalah pilihan. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 1/237)
Tafsiran ulama’ berkenaan Ummatan Wasata (أُمَّةً وَسَطًا) boleh diringkaskan seperti berikut:
● Al-Samarqandi berkata: “Maksud al-Wasat ialah yang terbaik di kalangan mereka dan yang paling adil.” (Lihat Bahr al-‘Ulum, 1/164)
● Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Kalimah ummatan wasata antara lain memberi maksud sebaik-baik perkara adalah pertengahan. Lebih dari yang dituntut adalah melampau dan kurang daripadanya merupakan kecuaian. Kedua-duanya adalah keji dan hina.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 2/626)
● Imam al-Nasafi menukilkan pendapat Syeikh Abu Mansur yang berkata: “Ayat ini menunjukkan ijma’ (iaitu kesepakatan ulama’ di kalangan umat Muhammad dalam perkara agama pada salah satu masa selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW) sebagai hujah kerana Allah SWT sifatkan umat ini dengan keadilan dan orang yang adil sahaja yang berhak untuk menjadi saksi dan diterimanya. Apabila mereka bersepakat atas sesuatu dan menjadi saksi dengannya, maka wajiblah diterimanya.” (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/80)
Golongan pertama yang mengamalkan kesederhanaan adalah sahabat Rasulullah SAW. Mereka yang secara langsung diarahkan oleh Allah SWT melalui wahyu-Nya tentang kesederhanaan. Mereka adalah umat yang berpegang teguh pada kesederhanaan dalam pemahaman mereka terhadap Islam, cara mengamalkannya, kepercayaan dan ibadah mereka.
Begitu juga dalam perlakuan dan akhlak mereka, dalam perintah mereka untuk kebaikan, larangan mereka terhadap keburukan, dan bahkan dalam jihad mereka di jalan Allah SWT. Sesiapa yang berjalan di jalan mereka dan mengikuti jejak mereka dalam semua perkara itu, maka dia adalah orang yang berada di jalan kesederhanaan, tidak kira zaman dan tempatnya, tidak kira pandangan orang terhadapnya. Namun, sesiapa yang menentang mereka dalam semua atau sebahagian daripada itu, maka dia dikira sebagai golongan yang ekstremis, dan menyimpang dari jalan yang lurus.
Oleh yang demikian, kesederhanaan yang sebenar adalah kebenaran di antara kebatilan, dan petunjuk di antara kesesatan. Ia bukanlah perkara yang sama di antara kebenaran dan kebatilan, atau di antara petunjuk dan kesesatan. Maka apa yang keluar dari kebenaran ia adalah batil, dan apa yang keluar dari petunjuk ia merupakan kesesatan. Firman Allah SWT:
فَذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمُ الْحَقُّ ۖ فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ ۖ فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ
Maksudnya: “Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran?”
(Surah Yunus: 32)
Abu Bakar al-Jaza’iri menafsirkan ayat ini dengan menyebutkan bahawa: Inilah Dia yang memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan Dia mengatur segala urusan. Dialah Tuhanmu yang sebenar, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan-Nya. Oleh itu, bagaimana mereka berpaling dari kebenaran selepas mengetahui kebenaran itu menuju kepada kesesatan? Ini benar-benar satu perkara yang membingungkan dan mengejutkan! (Lihat Aisar al-Tafasir, 2/470)
Sebagai kesimpulannya, kesederhanaan dalam Islam merupakan satu sikap, dan ia adalah asas kepada identiti umat yang seimbang, adil dan berpegang kepada kebenaran. Islam menolak segala bentuk keterlaluan, sama ada dalam ibadah, pemikiran atau perlakuan, kerana sikap melampau boleh membawa kepada perpecahan dan penyimpangan daripada jalan yang lurus. Dalam beragama, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan pendekatan yang ekstrem mahupun cuai, sebaliknya sentiasa berusaha mencontohi jalan pertengahan yang digariskan oleh al-Quran dan Sunnah.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘lam