Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya masih kurang faham, terkadang ada yang sebut “sudah qadha dan qadar Ilahi,” ada pula yang menyebutkan “sudah takdir (qadar).” Maka saya jadi keliru, adakah qadha’ dan qadar itu mempunyai perbezaan atau kedua-duanya membawa maksud yang sama?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan takdir.
(Surah al-Qamar: 49)
Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Ini merangkumi semua makhluk dan alam, sama ada yang tinggi atau rendah; bahawa Allah SWT sendirilah yang menciptakannya, dan tidak ada pencipta selain daripada-Nya, serta tidak ada yang bersama-Nya dalam penciptaan . Dia menciptakan semuanya dengan ketentuan yang telah didahului oleh pengetahuan-Nya, dicatat oleh pena-Nya, pada waktu dan kadar yang telah ditetapkan.(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.827)
Beriman kepada qadha’ dan qadar termasuk dalam rukun iman yang enam yang wajib kita yakini. Hadith Ibn Umar bin al-Kattab yang lebih dikenali sebagai hadith Jibril menyebut tentang iman. Antaranya:
قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ الْإِيمَانِ. قَالَ: «أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ» قَالَ: صَدَقْتَ.
Maksudnya: Kemudian dia bertanya lagi: ‘Ceritakan kepadaku tentang Iman.’ Lalu Baginda SAW bersabda: ‘Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik dan yang buruk.’ Kemudian dia berkata: ‘Anda berkata benar.’
Riwayat Muslim (8) pada permulaan kitab al-Iman
Menjawab persoalan di atas, Qadha’ dan qadar adalah dua istilah yang sering dikaitkan dengan ketentuan serta ilmu Allah SWT sejak azali. Adapun berkenaan maksud sebenar istilah-istilah ini, terdapat beberapa perbezaan pendapat di sisi ahli ilmu.
- Qadha’ dan Qadar adalah sinonim
Sebahagian ahli bahasa yang mengatakan bahawa qadha’ adalah sinonim dengan qadar. Al-Mubarakfuri menyebutkan: “Qadar adalah qadha’ dan penetapan hukum.” (Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 591)
- Qadha’ berlaku dahulu, kemudian qadar
Manakala sebahagian lainnya membawakan perbezaan antara keduanya, dengan mengatakan qadha’ ini berlaku terlebih dahulu, kemudian barulah qadar. Qadha’ atau dalam bahasa Arabnya (القَضَاءُ), berasal dari kata kerja (قَضِيَ – يَقْضِي) yang mana dari segi bahasa bermaksud; menetapkan, melaksanakan, dan menyelesaikan. Qadar atau (القَدَرُ) pula bererti takdir, iaitu menyusun sesuatu agar ia menjadi seperti mana dirancang. (Lihat Tahzib al-Lughah, 9/169; Maqayis al-Lughah, 5/99; Mukhtar al-Sihah, hlm. 256; Ithaf al-Sa’il bi ma fi Tahawiyyah min al-Masa’il, hlm. 238)
Maka, mereka meletakkan istilah qadha’ ini lebih dahulu berlaku berbanding qadar. Kata al-Jurjani, qadar ialah keluarnya perkara-perkara yang mungkin berlaku (mumkinat) dari asal ketiadaannya kepada nyata, satu demi satu, sesuai dengan apa yang telah ditetapkan dalam qadha’.
Kemudian, beliau menjelaskan perbezaan antara qadha’ dan qadar seraya berkata, qadha’ merujuk kepada segala ciptaan yang akan wujud dan berlaku semenjak di Luh Mahfuz, manakala qadar pula merujuk kepada merealisasikan perkara-perkara tersebut secara berasingan di alam realiti setelah mencukupi segala syaratnya. (Lihat al-Ta‘rifat, hlm. 174)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan hal yang sama: “Ulama menyebutkan; qadha’ ialah ketetapan secara menyeluruh yang telah ditentukan sejak azali, manakala Qadar pula ialah perincian bagi ketetapan tersebut.” (Lihat Fath al-Bari, 11/477)
- Qadar berlaku dahulu, kemudian qadha’
Sebahagian lain mengatakan bahawa qadar terlebih dahulu sebelum qadha’, seperti yang disebutkan oleh al-Raghib al-Asfahani, qadha’ daripada Allah SWT lebih khusus daripada qadar; kerana qadha’ merupakan pemutus kepada sesuatu ketetapan, manakala qadar ialah ketetapan itu sendiri. Maka, qadar adalah penetapan (takdir), dan qadha’ adalah pemisah serta pemutus bagi takdir tersebut. Sebahagian ulama menyatakan bahawa qadar itu seumpama penyediaan sukatan, manakala qadha’ pula seperti perbuatan menyukat. (Lihat al-Mufradat, hlm. 675)
Bagaimana sekalipun perbezaan ulama dalam isu ini, ia pada hakikatnya hanyalah perkara kecil yang tidak perlu untuk kita terlalu memikirkannya, kerana perkara terpenting adalah keimanan kita terhadap salah satu dari rukun iman ini. Imam al-Khattabi pernah berkata: “Kesimpulan kata dalam bab ini – iaitu berkenaan qadha’ dan qadar – ialah bahawa kedua-duanya merupakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain; kerana salah satunya ibarat asas, manakala yang satu lagi ibarat binaannya. Maka sesiapa yang berusaha memisahkan antara keduanya, seolah-olah dia berusaha meruntuhkan bangunan itu dan membinasakannya.” (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 2/323)
Qadha’ dan qadar saling melengkapi antara satu sama lain, maka tidak ada sebarang isu yang timbul hanya kerana berbeza istilah sahaja. Oleh kerana ini juga, ulama pernah menyebutkan satu kaedah:
لَا مُشَاحَّةَ فِي الاصْطِلَاحِ
Maksudnya: “Tiada perdebatan pada istilah.”
Bererti, apabila perselisihan itu hanya wujud dan berlaku pada perkara-perkara yang melibatkan definisi dan istilah sahaja, tidak ada sebarang kesan hukum yang akan terhasil darinya, maka tiada faedah dari perselisihan tersebut. (Lihat al-Muwafaqat, 5/218)
Semoga kupasan ringkas berkenaan maksud qadha’ dan qadar ini dapat menghilangkan sedikit kekeliruan saudara yang bertanya, seterusnya menambahkan input baharu kepada umat Islam umumnya. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam