Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apabila fikir soal takdir, saya sering rasa kecewa dengan nasib sendiri yang sentiasa tidak menyebelahi saya. Lebih banyak ujian yang saya hadapi berbanding perkara yang indah, sedangkan saya tidak mampu mengubah takdir ini. Bukankah Allah itu tidak menzalimi hambanya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat timbul berkenaan isu takdir Allah SWT, yang akhirnya menjurus kepada menyalahkan-Nya dengan dakwaan zalim. Maha Suci Allah dari segala tuduhan tidak bertanggungjawab tersebut. Telah jelas dalam riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW meriwayatkan daripada Allah SWT dalam hadith qudsi, firman-Nya:

يَاعِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا

Maksudnya: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Akupun jadikan kezaliman itu di antara kalian sebagai sesuatu yang haram.”

Riwayat Muslim (2577) dan Ibn Hibban (619)

Hal ini memerlukan kepada pencerahan bagi setiap satu masalah, agar kita tidak terlanjur menuturkan kata-kata yang boleh menggugat keimanan kita terhadap qadha’ dan qadar Allah SWT. Keterlanjuran ini boleh lahir rentetan dari dakwaan suatu golongan yang mengatakan bahawa manusia ini dipaksa untuk melakukan segalla tindak tanduk mereka, tiada sebarang pilihan yang diberikan untuk meninggalkannya. Hal ini berlaku pada zaman Bani Umayyah, dibangkitkan oleh al-Jahm bin Safwan, pelopor kepada al-Jabariyyah. (Lihat al-Milal wa al-Nihal oleh al-Syahrastani, 1/85)

Bahkan, dalam sebuah ayat, Allah SWT secara jelas menyebutkan bahawa tidak ada sebarang bentuk kezaliman ke atas hamba-Nya:

وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّـٰمٍ لِّلْعَبِيدِ

Maksudnya: “Dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.”

(Surah Fussilat: 46)

Ibn Kathir berkata: “Iaitu, Dia tidak menyeksa sesiapa pun melainkan kerana dosanya, dan Dia tidak menimpakan azab ke atas seseorang melainkan setelah tegaknya hujah terhadapnya, iaitu setelah diutuskan seorang rasul kepadanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/211)

Tanggapan kezaliman itu juga pernah dijawab oleh Abu al-Aswad al-Du’ali, katanya:

قَالَ لِي عِمْرَانُ بْنُ الْحُصَيْنِ: أَرَأَيْتَ مَا يَعْمَلُ النَّاسُ الْيَوْمَ وَيَكْدَحُونَ فِيهِ، أَشَيْءٌ قُضِيَ عَلَيْهِمْ وَمَضَى عَلَيْهِمْ مِنْ قَدَرٍ مَا سَبَقَ؟ أَوْ فِيمَا يَسْتَقْبِلوُنَ بِهِ مِمَّا أَتَاهُمْ بِهِ نَبِيُّهُمْ، وَثَبَتَتْ الحُجَّةُ عَلَيْهِمْ؟ فَقُلْتُ: بَلْ شَيْءٌ قُضِيَ عَلَيْهِمْ، وَمَضَى عَلَيْهِمْ. قَالَ فَقَالَ: أَفَلَا يَكُونُ ظُلْمًا؟ قَالَ: فَفَزَعْتُ مِنْ ذَلِكَ فَزْعًا شَدِيدًا. وَقُلْتُ: كُلُّ شَيْءٍ خَلْقُ اللهِ وَمِلْكُ يَدِهِ. فَلَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ. فَقَالَ لِي: يَرْحَمُكَ اللهُ! إِنِّي لَمْ أُرِدْ بِمَا سَأَلْتُكَ إِلَّا لِأَحْزِرَ عَقْلَكَ

Maksudnya: “Imran bin Husain berkata kepadaku: ‘Bagaimana pendapatmu tentang apa yang dilakukan oleh manusia pada hari ini dan usaha yang mereka kerahkan padanya, adakah perkara itu sesuatu yang telah ditetapkan ke atas mereka dan telah berlalu atas mereka menurut ketentuan takdir? Atau ia merupakan perkara yang mereka hadapi berdasarkan apa yang telah dibawa oleh Nabi mereka dan telah ditegakkan hujjah ke atas mereka?’ Aku menjawab: ‘Bahkan, ia adalah sesuatu yang telah ditetapkan ke atas mereka dan telah berlalu atas mereka.’ Lalu beliau berkata: ‘Tidakkah itu menjadi suatu kezaliman?’ Aku pun terkejut yang teramat dengan kenyataan itu dan menjadi sangat takut. Maka aku berkata: ‘Segala sesuatu adalah ciptaan Allah dan milik-Nya. Dia tidak ditanya tentang apa yang dilakukan-Nya, sedangkan merekalah yang akan ditanya!’ Maka beliau berkata kepadaku: ‘Semoga Allah merahmatimu! Aku tidak bertanya kepadamu melainkan untuk menguji akalmu’.”

Riwayat Muslim (2650)

Kita perlu fahami, sekalian hamba Allah SWT beserta segala amal perbuatan mereka tidak terkeluar dari ruang lingkup “makhluk” ciptaan-Nya. Dia yang Maha Mengetahui apa yang akan diciptakan bagi hamba-Nya, dan segalanya telah termaktub di Lauh Mahfuz. Rasulullah SAW telah menjelaskan kepada kita hal ini sebagaimana dalam sabda Baginda:

وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ؛ فَلَا تَقُلْ: لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ: قَدَّرَ اللهُ وَمَا شَاءَ فَعَلَ

Maksudnya: “Jika sesuatu menimpa engkau, janganlah engkau kata: ‘Kalaulah aku lakukan begini dan begitu,’ tetapi katakanlah: ‘Allah telah takdirkan, dan apa yang Dia kehendaki akan dilakukan-Nya’.”

Riwayat Muslim (2664)

Begitu juga disebutkan dalam sebuah athar daripada Yahya bin Sa‘id al-Qattan, katanya:

مَا زِلْتُ أَسْمَعُ أَصْحَابَنَا يَقُولُونَ: أَفْعَالُ الْعِبَادِ مَخْلُوقَةٌ

Maksudnya: “Aku masih lagi mendengar sahabat-sahabatku menyebutkan: ‘Amal perbuatan para hamba itu diciptakan (oleh Allah)’.”

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata, para ulama salaf menzahirkan kata-kata di atas sebagai bentuk penafian terhadap kenyataan golongan al-Qadariyyah bahawa perbuatan manusia itu bukan diciptakan oleh Allah. Maka salaf menjelaskan semula, Allah SWT yang menciptakan segala sesuatu dari perbuatan hamba-Nya. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 8/406)

Namun begitu, hakikat ini tidaklah menafikan sifat adil Allah ‘Azza wa Jalla yang memberikan pilihan kepada manusia sama ada untuk melakukan amal ketaatan atau sebaliknya. Mereka yang benar-benar meneliti nas syara‘ pasti akan menemukan hakikat ini. Disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A secara marfu‘:

إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ كُلَّ صَانِعٍ وَصَنَعْتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menciptakan segala perlakuan, dan engkau pula melakukannya.”

Riwayat al-Hakim (85)

Manusia diberikan kehendak untuk memilih, sama ada mereka hendak melakukan kebaikan atau keburukan, kemudian Allah SWT akan menghitung amalan mereka berdasarkan kepada apa yang mereka pilih. Oleh itu Syeikh ‘Abd al-‘Aziz al-Tarifi menyebutkan, seandainya kebebasan untuk memilih itu terangkat darinya, nescaya terangkat juga ketetapan syara‘ ke atasnya. Kita boleh lihat bagaimana suatu hukum dibezakan ke atas orang yang sedang terjaga dan orang yang sedang tidur, begitu juga antara orang yang celik akal warasnya dan orang gila, beza antara orang yang sengaja dan juga tersalah, orang yang ingat dan orang yang lupa, orang yang alim dan orang yang jahil. (Lihat al-Maghribiyyah Syarh al-‘Aqidah al-Qairawaniyyah, hlm. 163)

Allah SWT memberi pilihan dengan memberikan manusia akal supaya manusia boleh memilih yang terbaik dan bermanfaat, serta meninggalkan yang buruk dan memudharatkan. Allah telah menghantar utusan dalam kalangan manusia sendiri untuk memberi petunjuk kepada manusia, dan sebagai hujjah kepada manusia, dan manusia jugalah yang diberi pilihan sama ada untuk memilih jalan hidayah dan yang benar ataupun sebaliknya.

Diriwayatkan, seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apabila mengetahui bahawa Allah SWT telah menentukan tempat setiap manusia itu di akhirat kelak. Kata lelaki tersebut, sekiranya semua itu telah ditentukan oleh Allah SWT, maka adakah kita perlu mengikut sahaja apa yang ditakdirkan dan tidak perlu lagi untuk beramal. Baginda SAW menjawab pertanyaan tersebut seraya bersabda:

مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ، فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ، فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ، فَقَالَ: اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ، أَمَّا أَهْلُ السَّعَادَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَأَمَّا أَهْلُ الشَّقَاوَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ

Maksudnya: “Barangsiapa daripada kalangan orang yang bahagia, maka dia akan beramal dengan amalan orang yang bahagia. Adapun, sekiranya dia daripada kalangan orang yang derita, maka dia akan beramal dengan amalan orang yang derita. Sabda Nabi SAW lagi: “Beramallah dan setiap orang itu akan dipermudahkan (oleh Allah SWT). Adapun orang yang bahagia akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang bahagia. Manakala orang yang derita akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang derita.” 

Riwayat Muslim (2647)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata, hadith ini melarang kita untuk meninggalkan beramal dan berpada pada apa yang termaktub di dalam takdir sahaja. Bahkan, wajib untuk beramal serta menunaikan segala tanggungjawab yang telah diberikan oleh syara‘. Setiap orang itu akan dimudahkan (untuk beramal) berdasarkan apa yang telah diciptakan baginya dan bukannya pada ketentuan orang lain. Oleh itu, orang yang bahagia akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang bahagia. Manakala orang yang derita pula akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang derita. (Lihat al-Minhaj ‘ala Syarh Sahih Muslim, 16/196)

Kesimpulan

Sesungguhnya takdir Allah SWT bukanlah suatu yang ditentukan secara zalim, tetapi ia penuh dengan hikmah yang tidak terjangkau oleh akal manusia. Allah Yang Maha Adil tidak menzalimi hamba-hamba-Nya, bahkan memberikan mereka akal, pilihan, dan petunjuk agar mereka dapat memilih jalan yang benar. Ujian dan kesusahan yang menimpa bukanlah bukti kebencian Allah, tetapi ruang untuk meningkat darjat, menghapus dosa, dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Rasa kecewa yang lahir itu mungkin kerana fitrah manusia, namun iman mengajarkan kita untuk melihat segala yang berlaku dengan kaca mata penuh harapan dan redha-Nya. Apa yang kita anggap sebagai ‘nasib buruk’ berkemungkinan menjadi permulaan pintu rahmat yang belum kita sedari. Oleh itu, jangan pernah berputus asa. Teruskan beramal, berdoa, dan bertawakal kerana Allah SWT tidak mempersia-siakan usaha hamba-Nya. Firman-Nya:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ ۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَـٰعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.”

(Surah al-Nisa’:40)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”

Wallahu a‘lam