Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bagaimanakah Islam memandu umatnya dalam menjaga keseimbangan materialistik dan kerohanian? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَكَذَ ٰ⁠لِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةࣰ وَسَطࣰا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَاۤءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَیَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَیۡكُمۡ شَهِیدࣰا

Maksudnya: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”

(Surah al-Baqarah: 143)

Syeikh Muhammad Tahir Ibn `Asyur menyatakan bahawa: Ayat 143 daripada surah al-Baqarah menunjukkan pujian Allah terhadap orang Islam kerana Allah mengurniakan mereka kelebihan, menjadikan mereka pertengahan yang memungkinkan mereka dari sebab-sebabnya menjelaskan hakikat syariat. Kemudian menjadikan pemikiran pengikutnya selamat daripada campur aduk dengan segala kesesatan yang telah menyerap kepada umat lain. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 3/123)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, Syeikh Dr. Abdullah Nasih Ulwan menyebut:  Antara keagungan syariat Islam ialah sifatnya yang tidak memisahkan antara tuntutan material dengan kerohanian dan antara dunia dengan akhirat. Malah Islam melihatnya dalam satu kesatuan yang saling melengkapi antara hak manusia terhadap Tuhannya, diri sendiri dan terhadap orang lain. Dengan demikian, seseorang itu dapat menjalani kehidupan seharian bergantung kepada kemampuan serta keinginannya berdasarkan kepada asas Islam yang bersesuaian dan bertepatan dengan fitrah dan realiti kehidupan.

Dalam kerangka ini, syariat Islam tidak pernah mensyariatkan larangan secara mutlak untuk menjauhkan diri daripada dunia, seperti gaya hidup paderi yang memencilkan diri dari masyarakat. Sebaliknya, Islam juga tidak membenarkan umatnya tenggelam dalam kemewahan duniawi sehingga melupakan Tuhan dan akhirat. Maka, keseimbangan ini menuntut setiap individu agar menunaikan hak Allah, hak diri, dan hak sesama manusia secara adil tanpa mengabaikan salah satu daripadanya.

Hakikat ini ditegaskan dalam al-Quran yang menyeru kepada keseimbangan antara kebendaan dan kerohanian dengan menyentuh perasaan dan hati manusia terlebih dahulu sebelum menyeru akal. Antaranya ialah dalam peringatan terhadap orang yang terlibat dalam urusan duniawi seperti perniagaan dan jual beli agar tidak melalaikan kewajipan terhadap Allah SWT. Firman-Nya:

رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ

Maksudnya: “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

(Surah al-Nur: 37)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyebut, ”Mereka yang solat di masjid-masjid yang Allah izinkan untuk diimarahkan, tidak menyibukkan diri mereka dengan perniagaan dan juga jual beli.” (Lihat Jami’ al-Bayan,19/192)

Sayyid Qutb turut mengulas:  Kegiatan perniagaan dan jual beli ialah untuk menghasilkan pendapatan dan kekayaan. Walaupun mereka sibuk dengan kegiatan itu, namun mereka tidak lalai dari menunaikan hak Allah dalam ibadat solat dan hak manusia dalam ibadat zakat. Hati-hati itu terus bergoyang dan berbalik-balik tidak pernah tetap dan tenang kerana malapetaka hari itu terlalu hebat, sengsara dan huru-hara. Oleh sebab mereka amat takut kepada hari Kiamat, maka hati mereka tidak pernah dilalaikan oleh kesibukan perniagaan dan jual beli dari menyebut Allah. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/284)

Sebagaimana Islam menyeru agar tidak lalai terhadap ibadah ketika sibuk bekerja, Islam juga menekankan agar seseorang tidak hanyut dalam ibadah hingga mengabaikan usaha mencari rezeki yang halal. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ

Maksudnya: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah.”

(Surah al-Jumu’ah: 10)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat ini merupakan perintah yang menunjukkan keharusan untuk keluar bekerja dan berusaha setelah selesai menunaikan solat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/108)

Ayat ini menggambarkan betapa Islam menekankan keseimbangan yang harmoni antara ibadah dan usaha duniawi. Dalam kesibukan manusia bekerja dan berusaha, mereka tetap dituntut untuk tidak memisahkan diri daripada mengingati Allah. Bahkan, usaha yang disertai dengan zikrullah akan menjadi ibadah yang diberkati. Sayyid Qutb menyebut bahawa inilah ciri sistem hidup Islam – menjaga keseimbangan antara usaha zahir mencari rezeki dengan pengisian jiwa melalui ibadah dan ingatan kepada Allah. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/284)

Sebagai kesimpulan, Islam menegaskan kepentingan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan, khususnya antara keperluan material dan keperluan kerohanian. Umat Islam dipilih sebagai umat pertengahan yang seharusnya mengamalkan gaya hidup seimbang tanpa cenderung kepada sikap melampau dalam mengejar dunia atau terlalu memencilkan diri daripada realiti kehidupan. Al-Quran jelas menekankan bahawa seorang Muslim perlu menunaikan hak-hak terhadap Allah melalui ibadah seperti solat dan zakat, dalam masa yang sama tidak mengabaikan usaha mencari rezeki dan memenuhi tanggungjawab sosial.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘lam