Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah nasihat Dato’ terhadap budaya umpat-mengumpat yang dilakukan oleh pempengaruh di media sosial dan menyebarkan aib sesetengah pihak? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu muslim atau bukan muslim. Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini. Allah SWT berfirman:
وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ
Maksudnya: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”
(Surah al-Hujurat: 12)
Al-Syaukani berkata: Allah SWT memisalkan ghibah (mengumpat) dengan memakan bangkai seseorang. Ini kerana, bangkai sama sekali tidak tahu siapa yang memakan dagingnya. Ini sama halnya dengan orang yang hidup juga tidak mengetahui siapa yang mengumpat dirinya. Demikianlah keterangan daripada al-Zajjaj. (Lihat Fath al-Qadir, 8/132).
Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 26/139)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ
Maknanya: “Adakah kamu tahu apakah itu ghibah (mengumpat)?” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.”
Riwayat Muslim (2589)
Imam al-Nawawi berkata: “Ghibah adalah perbuatan menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh seseorang ketika orang yang dibicarakan sedang tidak ada di hadapannya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/142)
Menurut Imam al-Nawawi lagi, ungkapan (بِمَا يَكْرَهُ) mengandungi makna umum, iaitu semua yang dibenci dan tidak disukai oleh orang yang dighibahkan, sama ada ia berkait dengan masalah agama, atau masalah dunia, seperti masalah hartanya, fizikalnya, keluarganya, anaknya, pakaiannya dan sebagainya. (Lihat al-Minhaj, 16/142)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, dalam era digital yang serba pantas ini, penyebaran maklumat berlaku dalam sekelip mata, sama ada benar atau sebaliknya. Namun, di sebalik kemudahan ini, bahaya fitnah dan ghibah semakin berleluasa, menghancurkan maruah individu serta menggugat keharmonian masyarakat.
Signifikan disebutkan perihal pempengaruh dalam isu ghibah ini, kerana peranan pempengaruh yang banyak menggunakan platform video dalam menyebarkan suatu maklumat. Lidah; anggota yang paling banyak digerakkan dan paling pantas pergerakannya.
Oleh yang demikian, Rasulullah SAW pernah memberikan isyarat kepada para sahabat betapa besarnya peranan lidah, sebagaimana dalam hadith Sahl bin Sa‘d al-Sa‘idi R.A:
مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الجَنَّةَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang memberikan jaminan kepadaku terhadap apa yang ada di antara dua rahangnya (yakni lidah) dan apa yang ada di antara kedua kakinya (yakni kemaluan), maka aku akan menjaminkan syurga baginya.”
Riwayat al-Bukhari (6474), al-Tirmizi (2408) dan Ahmad (22823)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: Lafaz ‘لَحْيَيْهِ’ ialah tulang di kedua-dua sisi bibir. Yang dimaksudkan dengan ‘apa yang ada di antara keduanya’ adalah lisan serta perkataan yang lahir daripada lisan, manakala yang dimaksudkan dengan ‘apa yang ada di antara kedua kaki’ adalah kemaluan. (Lihat Fath al-Bari, 1/182)
Ibn Battal pula menyebut, “Bencana paling besar bagi manusia selama dia hidup di dunia adalah berpunca daripada lisan dan kemaluannya. Justeru, sesiapa yang menjaga keburukan daripada keduanya, maka dia akan terselamat daripada seburuk-buruk bencana.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 8/428)
Bahkan, soal lidah yang berbicara ini turut dikaitkan sebagai simbolik kesempurnaan iman bagi individu, ketika Rasulullah SAW bersabda dalam hadith yang lain:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap perkara yang baik atau diam.”
Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (47)
Hadith ini memberi peringatan terhadap bahaya lidah, dan bahawa seseorang itu hendaklah berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata. Jika ternyata baginya bahawa tiada mudarat dalam apa yang ingin diperkatakannya, maka bolehlah dia bercakap mengenainya. Namun, jika dia mendapati terdapat mudarat atau ragu-ragu terhadapnya, maka hendaklah dia menahan diri. Syariat telah menganjurkan untuk menahan diri daripada banyak perkara yang harus, agar ia tidak membawa pelakunya kepada perkara yang haram atau makruh. (Lihat Al-Tuhfah al-Rabbaniyyah fi Syarh al-Arba‘in Hadith al-Nawawiyyah, hlm.35)
Hikmah yang dapat difahami, ucapan dan perkataan itu perlu sentiasa diperhatikan dan tidak sewenang-wenangnya dilepaskan tanpa berfikir sejenak terlebih dahulu. Kadangkala, ia boleh menjadi sebab terhapusnya amal kebaikan serta terhalangnya dari memasuki Syurga Allah SWT.
Di sinilah pentingnya peranan pempengaruh, dengan memastikan penyampaian yang dikongsikan tersebut sarat dengan ilmu dan bukanlah suatu sembang kosong semata-mata. Inilah yang diungkapkan dalam rangkap syair yang dinukilkan oleh pengarang Maurid al-Zam’an (1/340):
إِذَا مَا أَرَدْتَ النُّطْقَ فَانْطُقْ بِحِكْمَةٍ وَزِنْ قَبْلَ نُطْقٍ مَا تَقُولُ وَقَوِّمِ
فَمَنْ لَمْ يَزِنْ مَا قَالَ لَا عَقْلَ عِنْدَهْ وَنُطْقٌ بِوَزْنٍ كَالْبِنَاءِ الْمُحَكَّمِ
فَإِنْ لَمْ تَجِدْ طُرْقَ الْمَقَالِ حَمِيدَةً تَجَمَّلْ بِحُسْنِ الصَّمْتِ تُحْمَدْ وَتَسْلَمِ
فَكَمْ صَامِتًا يَلْقَى الْمَحَامِدَ دَائِمًا وَكَمْ نَاطِقٍ يَجْنِي ثِمَارَ التَّنَدُّمِ
Jika engkau ingin berkata, maka bertuturlah dengan hikmah,
Timbanglah terlebih dahulu sebelum berbicara dan perbetulkan.
Sesiapa yang tidak menimbang kata-katanya, tiada umpama tidak berakal.
Bicara yang teratur itu ibarat bangunan yang kukuh tersusun.
Jika tiada jalan untuk berkata dengan baik,
Maka hiasilah dengan diam, nescaya engkau akan dipuji dan selamat.
Betapa ramai yang diam tetapi sentiasa menerima pujian,
dan betapa ramai pula yang berkata-kata tetapi akhirnya menyesal.
Tanpa kita sedari, budaya menyebarkan aib dan menokok tambah cerita telah menjadi kebiasaan di media sosial, bahkan dipandang sebagai salah cara untuk meraih jumlah tontonan yang tinggi, sehingga akhirnya perkongsian tanpa tapisan ini boleh mencetuskan permusuhan, kebencian, dan perpecahan.
Islam secara tegas melarang perbuatan ini, sebagaimana yang disebut dalam al-Quran dan hadith, kerana ia bukan sahaja mengundang dosa besar tetapi juga menimbulkan kesan buruk yang sukar diperbaiki. Justeru, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu berita dan memastikan ia selari dengan prinsip kebenaran serta etika Islam.
Rasulullah SAW melarang keras umatnya daripada melakukan ghibah melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Baginda SAW bersabda:
لاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَنَاجَشُوا وَلاَ تَبَاغَضُوا وَلاَ تَدَابَرُوا وَلاَ يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا. الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَخْذُلُهُ وَلاَ يَحْقِرُهُ . التَّقْوَى هَا هُنَا - وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ – ثَلاَثَ مَرَّاتٍ. بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ
Maksudnya: “Janganlah kamu saling mendengki, janganlah saling tanajusy (menyakiti dalam jual beli), janganlah saling membenci, janganlah saling membelakangi (mendiamkan), dan janganlah menjual di atas jualan saudaranya. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara untuk muslim lainnya. Kerana itu, dia tidak boleh berbuat zalim, memulaukan, berdusta, dan menghina yang lain. Takwa itu di sini, baginda SAW memberi isyarat ke dadanya tiga kali. Cukuplah seseorang berdosa jika ia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim atas muslim lainnya itu haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya.”
Riwayat al-Bukhari (6064) dan Muslim (2564)
Yahya bin Muaz berkata: “Orang beriman mempunyai bahagian darimu dalam tiga perkara: Jika engkau tidak dapat memberikan manfaat, maka janganlah engkau melakukan sesuatu yang memudaratkan mereka. Jika engkau tidak dapat membahagiakan mereka, maka janganlah engkau menjadikan mereka dukacita. Jika engkau tidak dapat memuji mereka, maka janganlah mencela mereka.” (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 165)
Nas-nas di atas menunjukkan kepada kita peri pentingnya menjarakkan diri kita daripada terbabit dalam ghibah serta menyebarkannya kepada khalayak masyarakat kerana akibat dan kesannya adalah cukup buruk.
Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa Islam sangat menekankan penjagaan maruah dan kehormatan sesama manusia, serta melarang keras perbuatan mengumpat yang disifatkan sebagai perbuatan jijik dan berdosa besar. Dalam era digital hari ini, penyebaran ghibah oleh pempengaruh melalui media sosial adalah menghakis nilai akhlak Islam, bahkan boleh mencetuskan fitnah, perpecahan dan kebencian dalam kalangan masyarakat. Lidah yang ringan berbicara atau jari yang mudah menaip mampu membawa akibat besar jika tidak dikawal dengan iman dan ilmu. Justeru, pempengaruh perlu menyedari bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar sebagai tokoh awam yang ditonton dan diikuti oleh jutaan manusia. Mereka seharusnya menjadi contoh teladan yang baik, menyebarkan nilai kebaikan, adab dan ilmu yang bermanfaat kepada generasi baru.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ يا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّت قَلْبي على دِينكَ
Maksudnya: “Wahai Allah! Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati (menguasainya), teguhkan hatiku di atas agama-Mu (Islam).”
Wallahu a‘lam.