Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz ceritakan dan kongsikan kepada kami secara ringkas berkenaan keistimewaan kitab al-Muwatta’ yang merupakan salah satu sumber fiqh utama dalam mazhab Maliki? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam fiqh Islam, mazhab Maliki dianggap sebagai salah satu sumber fiqh utama yang diasaskan berteraskan dua buah karya agung, iaitu al-Muwatta’ dan al-Mudawwanah al-Kubra. Para ulama terkemuka, sama ada dahulu mahupun sekarang, telah sepakat dalam mengiktiraf kedudukan tinggi Imam Malik bin Anas serta ketokohannya dalam bidang hadith, sunnah, dan fiqh. Pengiktirafan ini turut disaksikan oleh tokoh-tokoh besar seperti Imam Abu Hanifah, al-Syafi‘i, Ahmad bin Hanbal dan lain-lain lagi daripada kalangan imam agung. Beliau memiliki banyak keutamaan, kemuliaan yang luhur, peninggalan yang diberkati, dan kedudukan ilmu yang tinggi serta tiada bandingannya.

Manaqib Imam Malik

Al-Hafiz al-Zahabi menyebutkan, “Terhimpun pada diri Imam Malik keutamaan-keutamaan yang aku tidak mengetahui ia terhimpun pada orang lain selainnya,” iaitu:

  • Umur yang panjang dan keluasan dalam ilmu riwayat.
  • Kecerdasan akal, kefahaman yang tajam, serta keluasan ilmu.
  • Kesepakatan para imam bahawa beliau adalah hujah dan perawi yang sahih.
  • Kesepakatan mereka tentang keperibadian agamanya, keadilannya, serta keterikatannya dengan sunnah.
  • Keutamaannya dalam bidang fiqh, fatwa, dan ketepatan asas-asasnya (qawa’id). (Lihat Tazkirah al-Huffaz, 1/157).

Sesiapa yang meneliti dan mengkaji secara mendalam akan mendapati bahawa ciri-ciri keilmuan yang unik ini mempunyai pengaruh yang ketara dalam membentuk kerangka usul mazhab Maliki, menyusun kaedah-kaedahnya serta mengukuhkan pendekatan istidlal (pengambilan dalil) yang sahih dan relevan sepanjang zaman dan di setiap tempat. Antara sumber utama dalam mazhab ini yang paling masyhur ialah: al-Quran, al-Sunnah, ijma‘, amalan penduduk Madinah, qiyas, pandangan sahabat, maslahah mursalah, sadd al-zari‘ah, ‘urf (adat), meraikan perbezaan pendapat, meraikan maqasid al-mukallaf (tujuan syarak terhadap individu mukallaf), istishab, istihsan, syariat umat sebelum kita, dan lain-lain. Justeru, jika diperhatikan keindahan dalam prinsip-prinsip ini ialah sifatnya yang luas, memudahkan, serta berasaskan realiti.

Penilaian Ulama terhadap Mazhab Maliki

Abu al-‘Abbas Ibn Taimiyyah al-Hanbali menyebutkan, sesiapa yang meneliti asas-asas Islam dan kaedah-kaedah syariat, akan mendapati bahawa usul Imam Malik dan penduduk Madinah merupakan asas dan kaedah yang paling sahih. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 20/328).

Manakala Imam al-Zahabi pula memberikan nasihat kepada sesiapa yang ingin bertaqlid atau memilih mazhab dengan berkata: “Apa pun keadaannya, maka kepada fiqh Imam Malik itulah tempat rujuk terakhir; kerana kebanyakan pandangannya adalah tepat dan kukuh. Cukuplah jika beliau hanya dikenali dengan sikapnya yang menolak helah (tipu daya dalam hukum) dan meraikan maqasid (tujuan-tujuan syarak). Mazhabnya telah tersebar luas di Maghribi, Andalus, kebanyakan wilayah Mesir, sebahagian Syam, Yaman, Sudan, serta di Basrah, Baghdad, Kufah dan sebahagian Khurasan.” (Lihat al-Siyar, 8/92).

Ini tidak bermaksud untuk mensucikan peribadi Imam Malik atau memberi gambaran seolah-olah mazhab Maliki mempunyai kelebihan mutlak berbanding mazhab-mazhab lain. Setiap mazhab fiqh mempunyai keistimewaan dan ciri tersendiri yang tidak dapat dinafikan. Namun, apabila dilihat kepada hakikat bahawa penduduk Madinah pada zaman para sahabat dan murid-murid mereka adalah yang paling unggul dalam ilmu dan ketakwaan berbanding negeri-negeri lain, dan Imam Malik telah mewarisi khazanah ilmu tersebut secara riwayat dan kefahaman, sehingga beliau menjadi antara tokoh yang paling mengetahui secara mendalam selok-beloknya dan mengambil manfaat dari warisan itu — maka jarang sekali beliau mengeluarkan pandangan secara individu tanpa sandaran. Maka, berdasarkan kepada asal-usul, latar belakang dan asas pembentukan mazhab itulah timbulnya pandangan yang mengutamakan mazhab ini.

Sumber Utama Mazhab Maliki

Dua buah karya yang paling sahih dan paling tepat sebagai sumber serta rujukan kepada pendapat-pendapat Imam Malik ialah al-Muwatta’ dan al-Mudawwanah al-Kubra. Kedua-duanya mengandungi ilmu Imam Malik serta menjadi kamus bagi pandangan fiqh beliau. Kedudukan kedua-dua kitab ini dalam mazhab Maliki adalah seperti ibu bapa yang dihormati dan dimuliakan. Daripadanya dibina asas-asas mazhab, daripadanya juga lahir cabang-cabang hukum, dan kepadanya tempat rujuk ketika berlaku perbezaan pendapat.

Al-Muwatta’ dianggap sebagai sumber asas dan intipati utama, terutamanya dari sudut kelebihan ia menjadi karya terawal yang menyaring hadith-hadith sahih yang bersambung sanadnya. Namun begitu, Sahih al-Bukhari tetap didahulukan dari sudut keutamaan selepas itu.

Kitab al-Muwatta’: Sumber Utama Fiqh Maliki

Ciri umum yang paling ketara dalam Kitab al-Muwatta’ ialah sifatnya yang berasaskan hadith dan athar. Imam Malik mengambil masa selama empat puluh tahun untuk menyusun kitab ini, mengumpulkan hadith-hadith sahih yang bersanad secara teliti dan berhati-hati. Hal ini menyebabkan Imam al-Syafi‘i beberapa kali memuji dan mengangkat martabat al-Muwatta’ dengan pelbagai ungkapan pujian, antaranya kata beliau: “Tiada kitab di atas muka bumi ini selepas Kitab Allah Ta‘ala yang lebih sahih daripada Kitab Malik.” (Lihat Ma‘rifah Anwa‘ ‘Ilm al-Hadith, hlm. 92).

Cukuplah dengan pujian Imam al-Syafi‘i itu sebagai satu pengiktirafan yang amat bernilai pada zaman tersebut, iaitu zaman ulama besar dan pengkritik hadith yang sangat tajam ilmunya. Tidak mustahil pujian ini tersebar luas dan menjadi sebutan ramai memandangkan kedudukan tinggi Imam al-Syafi‘i sebagai seorang imam dan tokoh ilmuan. Menariknya, tiada siapa pun – sama ada ulama dahulu atau kini – yang membantah atau mengkritik pujian Imam al-Syafi‘i tersebut. Ini menunjukkan bahawa pujian itu memang tepat pada tempatnya, lebih-lebih lagi apabila isi kandungan kitab itu sendiri menjadi bukti kukuh, kerana hampir keseluruhan hadith yang bersanad dalam al-Muwatta’ adalah sahih kecuali hanya sebilangan kecil sahaja.

Al-Qadi Abu Bakar bin al-‘Arabi berkata: “Al-Muwatta’ adalah asas dan intipati utama, manakala kitab al-Bukhari merupakan sumber kedua dalam bidang ini, dan semua ulama selepas itu seperti Muslim dan al-Tirmizi membina karya mereka berasaskan kedua-duanya.” (Lihat al-Mu‘aridhah, 1/5).

Maksud beliau ialah al-Muwatta’ merupakan sumber utama dan teras dari sudut kelebihan mendahului dalam usaha menyaring hadith-hadith sahih yang bersambung sanadnya. Namun begitu, Sahih al-Bukhari tetap didahulukan selepas itu kerana Imam al-Bukhari dengan jelas menyatakan tujuan penulisan kitabnya adalah untuk menghimpunkan hanya hadith-hadith sahih secara mutlak. Sedangkan al-Muwatta’ pula, selain memuatkan hadith sahih, turut mengandungi perbincangan-perbincangan fiqh yang lain. Sejak kitab Sahih al-Bukhari ditulis, ia telah dianggap sebagai kitab yang paling sahih selepas al-Quran dan diterima oleh umat Islam secara mutlak dan tiada tandingan. Namun demikian, kebanyakan hadith dalam al-Muwatta’ juga telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka melalui sanad anak-anak murid Imam Malik sendiri. Maka kelebihan dalam mendahului tetap kembali kepada Imam Malik yang terlebih dahulu menghimpunkan hadith-hadith tersebut.

Tarajim dan Bab-Bab dalam al-Muwatta’

Sudah menjadi maklum bahawa fiqh para imam ahli hadith dapat dilihat melalui pemilihan tajuk (tarajim) dan pembahagian bab dalam kitab-kitab mereka. Setiap tajuk yang dinyatakan oleh seorang muhaddith dalam kitabnya mencerminkan kedalaman ilmunya, ketajaman kefahamannya serta keupayaannya dalam menggali makna, hukum dan manfaat daripada sesuatu hadith. Ada kalanya satu hadith sahaja diberi pelbagai tajuk yang berbeza. Oleh itu, ulama yang mensyarahkan hadith memberi perhatian besar terhadap struktur bab dan tajuk dalam kitab-kitab hadith kerana di dalamnya tersimpan pelbagai jenis petunjuk yang nyata dan tersembunyi. Malah, sebahagian tajuk ini dijadikan bahan kajian tersendiri, khususnya tajuk-tajuk (tarajim) dalam kitab Imam al-Bukhari.

Guru kepada Imam al-Bukhari, iaitu Ali bin al-Madini pernah berkata: “Ilmu yang paling mulia ialah fiqh yang terkandung dalam teks-teks hadith serta pengetahuan mengenai keadaan perawi-perawi hadith.”

Dalam penyusunan al-Muwatta’, Imam Malik mengambil pendekatan mengklasifikasikan hadith-hadith mengikut bahagian hukum-hakam syarak dan bab-bab fiqh. Beliau membahagikan setiap bahagian secara tersusun, membezakan antara topik ibadat dan muamalat. Dalam setiap kitab (bahagian), beliau menyatakan tajuk bab terlebih dahulu, kemudian meriwayatkan dalil-dalil hukum yang berkaitan dengan tajuk tersebut, sama ada untuk menetapkan hukum atau menafikannya. Beliau mendahulukan hadith marfu‘, kemudian diikuti dengan athar, amalan penduduk Madinah, pendapat-pendapatnya, serta hasil istinbat beliau sendiri berdasarkan kefahaman mendalamnya. Inilah yang menjadi ciri utama dalam susunan tajuk (dan bab) kitab ini.

Contoh dalam bahagian ibadat: Kitab Zakat, bab berkaitan perkara yang wajib dizakatkan. Di dalamnya, beliau meriwayatkan hadith dengan sanadnya: “Tidak ada zakat ke atas unta yang kurang daripada lima ekor…” Kemudian beliau menyebut bahawa beliau mendapat maklumat bahawa Umar bin ‘Abd al-‘Aziz pernah menulis kepada pegawainya di Damsyik tentang zakat: “Sesungguhnya zakat itu hanya pada tanaman, harta perniagaan, dan ternakan.” Lalu Imam Malik menyatakan: “Zakat hanya diwajibkan pada tiga perkara: tanaman, harta, dan ternakan.”

Contoh ini menunjukkan betapa tajamnya ketajaman fiqh Imam Malik ketika menetapkan tajuk dalam kitabnya. Dalam al-Muwatta’, kita sering menjumpai ungkapan seperti: “Aku mendengar Malik berkata,” atau “Malik ditanya,” dan seumpamanya, selain daripada pendapat dan ijtihad yang beliau pilih sendiri.

Penetapan Hukum Syarak Melalui Tarajim (Tajuk-Tajuk Bab)

Tajuk-tajuk bab yang diletakkan oleh Imam Malik dalam kitabnya sebenarnya merupakan penetapan hukum-hukum syarak yang beliau capai melalui ijtihadnya, berdasarkan penelitian terhadap dalil-dalil secara menyeluruh, sama ada dari sudut riwayat mahupun kefahaman (dirayah). Sekiranya sesuatu perkara itu diharuskan menurut pandangannya, beliau akan menamakannya dengan ungkapan seperti: “Hadith-hadith mengenai keharusan sekian-sekian.” Dan jika perkara tersebut dilarang, beliau akan menyebutnya sebagai: “Larangan terhadap sekian-sekian.” Manakala jika sesuatu isu mempunyai dua kemungkinan dan beliau hanya ingin mengemukakan apa yang diriwayatkan mengenainya, beliau akan menyatakan tajuk secara umum, seperti katanya: “Bab meminta hujan dengan bintang-bintang.” (Lihat Kasyf al-Mughatta, hlm. 40).

Keprihatinan al-Muwatta’ terhadap Fiqh Realiti (Fiqh al-Waqi‘)

Keprihatinan Imam Malik terhadap isu-isu semasa dan permasalahan semasa (nawazil) sangat jelas dan nyata dalam kitab al-Muwatta’. Tajuk-tajuk bab (tarajim) yang disusunnya mempunyai kaitan yang erat dengan realiti kehidupan masyarakat ketika itu, dan dapat dilihat bahawa tajuk-tajuk tersebut sangat dekat dengan aspek praktikal dan aplikasi kehidupan. Begitu juga dengan jawapan-jawapan Imam Malik terhadap soalan yang diajukan oleh masyarakat dalam kitab ini – semuanya selaras dengan realiti semasa. Bahkan beliau sering menghubungkan riwayat-riwayat dengan uruf dan adat kebiasaan masyarakat. Diketahui juga bahawa beliau tidak menyukai untuk membincangkan persoalan-persoalan yang bersifat jangkaan atau angan-angan semata-mata (hipotetikal), sepertimana yang diamalkan oleh tokoh-tokoh terdahulu dari kalangan penduduk Madinah seperti Abdullah bin Umar RA.

Imam al-Dahlawi menyebutkan, kitab al-Muwatta’ merupakan kitab fiqh yang paling sahih, paling masyhur, paling awal disusun, dan paling lengkap kandungannya. Majoriti besar umat Islam telah sepakat untuk beramal dengannya, bersungguh-sungguh meriwayatkan serta mempelajarinya, memberi perhatian terhadap penjelasan perkara-perkara yang rumit di dalamnya, serta berusaha menggali makna-makna dan memperkukuh struktur binaannya. Sesiapa yang mengikuti mazhab-mazhab mereka dan dikurniakan sifat adil dalam menilai, pasti akan mengetahui dengan pasti bahawa al-Muwatta’ adalah bekalan utama dan asas kepada mazhab Malik, tunjang dan rujukan utama kepada mazhab al-Syafi‘i dan Ahmad, serta pelita dan panduan kepada mazhab Abu Hanifah dan dua murid kanannya. Hubungan antara mazhab-mazhab ini dengan al-Muwatta’ adalah ibarat syarah kepada matan, manakala al-Muwatta’ pula seperti pokok yang menjadi asal kepada cabang-cabangnya. (Lihat al-Maswa, hlm. 50-51).

Perbandingan antara al-Muwatta’ dan al-Mudawwanah

Kedua-dua kitab ini ibarat jasad yang satu; kedua-duanya merupakan warisan Imam Malik, dan seluruh isi kandungan kedua-duanya, apabila diteliti pada akhirnya, kembali kepada beliau dan dinisbahkan kepadanya. Dari sudut pengelasan, Kitab al-Muwatta’ lebih hampir kepada kitab-kitab hadith berbanding kitab fiqh secara mutlak. Ia sering disebut sebagai antara karya terawal dalam hadith Nabi SAW. Manakala Kitab al-Mudawwanah pula secara asalnya dikategorikan sebagai kitab fiqh.

Tarjih antara al-Muwatta’ dan al-Mudawwanah apabila berlaku percanggahan

Perbahasan mengenai isu ini telah lama berlaku sejak dahulu hingga kini, namun tanpa mencapai kesimpulan yang jelas dan berkesan. Antara sebab sebahagian ulama mengutamakan al-Muwatta’ ialah:

  • Al-Muwatta’ ditulis sendiri oleh Imam Malik dengan tangannya, berbeza dengan al-Mudawwanah yang disusun selepas kewafatannya.
  • Imam Malik menghabiskan sebahagian besar usianya — lebih 40 tahun — membaca dan mengajarkan al-Muwatta’ kepada murid-muridnya sama ada di masjid mahupun di rumah, serta sentiasa menyemak, menyusun dan memperkemaskannya. Hal ini sahaja sudah cukup untuk meletakkan al-Muwatta’ sebagai lebih utama berbanding semua karya beliau yang lain, apatah lagi terhadap kitab yang disusun selepas beliau.
  • Mengutamakan al-Muwatta’ berbanding al-Mudawwanah dalam hal percanggahan adalah seperti mendahulukan hadith mutawatir berbanding hadith ahad ketika berlaku pertentangan. Ini kerana al-Muwatta’ lebih masyhur dan lebih teliti penyampaiannya berbanding al-Mudawwanah, memandangkan ia diriwayatkan oleh sekumpulan perawi yang thiqah daripada Imam Malik, sedangkan al-Mudawwanah hanya diriwayatkan secara tunggal oleh Ibn al-Qasim — walaupun beliau seorang yang dipercayai dan teguh periwayatannya.

Pandangan Ulama terhadap Kekuatan al-Muwatta’ dan al-Mudawwanah

Sesungguhnya, amat sukar untuk meletakkan al-Muwatta’ di belakang al-Mudawwanah apabila berlaku percanggahan yang nyata antara keduanya. Kehebatan al-Muwatta’ yang terpahat dalam jiwa para ulama dan umat Islam menghalang hal tersebut daripada berlaku. Kedudukannya dalam kalangan masyarakat umum dan para ilmuwan jauh lebih tinggi berbanding al-Mudawwanah. Tidakkah engkau melihat bagaimana Ibn ‘Abd al-Barr – tokoh paling utama dalam menyusun semula mazhab Maliki tanpa sebarang pertikaian – telah memberikan perhatian luar biasa terhadap al-Muwatta’ dalam dua buah kitabnya, al-Tamhid dan al-Istizkar, suatu perhatian yang jarang sekali diberikan kepada mana-mana kitab agama yang lain? Hal ini tidak lain kerana kemuliaan kedudukan al-Muwatta’. Demikian juga para ulama besar Malikiyyah dan selain mereka, telah memberi perhatian yang lebih terhadap al-Muwatta’ berbanding al-Mudawwanah, meskipun al-Mudawwanah tidak dinafikan sebagai salah satu kitab fiqh yang paling bermanfaat.

Imam al-Dahlawi berkata: “Pada masa kini, tidak ada satu pun kitab dalam bidang fiqh yang lebih kukuh daripada al-Muwatta’ karya Imam Malik. Ini kerana kelebihan sesebuah kitab berbanding yang lain boleh dilihat dari beberapa sudut, sama ada dari kelebihan pengarangnya, ketegasannya dalam memastikan kesahihan (riwayat), kemasyhuran hadith-hadithnya, penerimaan umat Islam secara umum terhadapnya, susunannya yang baik, keluasan dalam merangkumi tujuan-tujuan penting, dan seumpamanya. Kesemua perkara ini wujud dalam al-Muwatta’ dengan sempurna, jika dibandingkan dengan semua kitab lain yang wujud di atas muka bumi ketika ini.” (Lihat al-Maswa Syarh al-Muwatta’, hlm. 19).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaskan bahawa al-Muwatta’ merupakan sebuah karya agung yang bukan sahaja menjadi sumber utama dalam mazhab Maliki, malah turut menjadi rujukan penting bagi mazhab-mazhab besar lain seperti al-Syafi‘i, Hanbali dan Hanafi. Keistimewaannya terserlah melalui ketelitian Imam Malik dalam menghimpunkan hadith-hadith sahih, keupayaan beliau dalam menyusun bab dan tajuk (tarajim) yang mencerminkan kefahaman fiqhnya yang mendalam, serta keprihatinannya terhadap realiti semasa masyarakat melalui pendekatan fiqh al-waqi‘. Kitab ini bukan hanya mendahului dalam usaha penyusunan hadis dan fiqh, tetapi turut menjadi teras kepada pengembangan metodologi istinbat hukum yang bersifat luas. Maka tidak hairanlah jika al-Muwatta’ terus diangkat sebagai permata warisan keilmuan Islam yang dihormati dan dirujuk sepanjang zaman.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”