Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah para malaikat menutup buku catatan amalan ketika hari jumaat? Adakah sebelum azan, atau selepas azan ketika khutbah bermula?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Adalah sangat digalakkan bagi setiap Muslim untuk menyegerakan diri hadir ke masjid pada hari Jumaat. Ini kerana terdapat banyak kelebihan dan ganjaran yang besar bagi orang yang datang awal, sebagaimana yang disebut dalam pelbagai hadith sahih.
Hadith yang menjelaskan tentang waktu para malaikat menutup catatan kehadiran pada hari Jumaat ialah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، كَانَ عَلَى كُلِّ بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ مَلَائِكَةٌ، يَكْتُبُونَ الْأَوَّلَ فَالْأَوَّلَ، فَإِذَا جَلَسَ الْإِمَامُ طَوَوْا الصُّحُفَ، وَجَاؤُوا يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ.
Maksudnya: “Apabila tiba hari Jumaat, para malaikat berdiri di setiap pintu masjid mencatat orang yang datang terlebih dahulu, kemudian yang selepasnya. Apabila imam telah duduk, mereka menutup buku catatan itu dan datang untuk mendengar peringatan.”
Riwayat al-Bukhari (3039), Muslim (850)
Para ulama menjelaskan bahawa penutupan catatan oleh para malaikat berlaku apabila imam duduk di atas mimbar, iaitu duduk sebagai persediaan untuk menyampaikan khutbah. Inilah waktu di mana azan kedua dikumandangkan. Maka, apabila azan kedua selesai, khutbah pun dimulakan.
Perlu difahami bahawa duduk yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah duduk sebelum memulakan khutbah rasmi. Oleh itu, catatan para malaikat ditutup sejurus selepas imam duduk di atas mimbar untuk memulakan khutbah Jumaat yang sebenar, bukan sebelum itu.
Ibn al-Mulaqqin berkata: “Dan sabda Nabi: (Apabila imam duduk di atas mimbar), ini adalah satu sunnah, dan inilah pendapat umum para ulama.” (Lihat al-Taudih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 7/517)
Ibn al-Mulaqqin berkata lagi: “Dalam hadith ini, disebutkan bahawa kehadiran para malaikat adalah berkait rapat dengan kemunculan imam untuk berkhutbah, yang mengandungi zikir kepada Allah, nasihat dan peringatan, serta mendengarnya sebagaimana yang telah disebut. Bukan untuk mendengar perkara-perkara baru yang diada-adakan dan seumpamanya. Perkara-perkara seperti ini akan dicatat oleh malaikat pencatat amal terhadap orang yang melakukannya dan yang redha dengan perbuatannya secara terang-terangan. Adapun orang yang hanya redha dalam hati, maka Allah yang Maha Mengetahui lebih mengetahui isi hatinya, dan tidak dicatat oleh malaikat.” (Lihat al-I‘lam bi Fawaid ‘Umdah al-Ahkam, 4/175)
Ayat al-Quran juga menjelaskan maksud keadaan tersebut. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah.”
(Surah al-Jumu‘ah: 9)
Para mufassir menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “seruan solat” (النداء) dalam ayat ini ialah azan kedua, dan yang dimaksudkan dengan “zikrullah” (ذِكْرِ اللَّهِ) ialah khutbah Jumaat.
Imam al-Tabari berkata: “Apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat [al-Jumu‘ah: 9] – iaitu seruan yang disampaikan (azan) untuk memanggil orang ramai menunaikan solat Jumaat ketika imam telah duduk di atas mimbar untuk menyampaikan khutbah… Adapun ‘zikrullah’ yang Allah SWT perintahkan hamba-Nya yang beriman untuk bersegera kepadanya ialah nasihat dan peringatan yang disampaikan oleh imam dalam khutbahnya.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 22/637,642)
Diriwayatkan daripada al-Sa’ib bin Yazid, katanya:
كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الإِْمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ، عَلَى عَهْدِ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
Maksudnya: “Pada zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar, azan pada hari Jumaat dilakukan hanya apabila imam duduk di atas mimbar.”
Riwayat al-Bukhari (870)
Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Azan yang dilakukan pada zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar adalah azan yang dilakukan di hadapan imam ketika imam duduk di atas mimbar, dan perkara ini tiada khilaf di kalangan para ulama.” (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 8/215)
Berdasarkan huraian para ulama dan hadith-hadith yang sahih, dapat difahami bahawa waktu para malaikat menutup catatan kehadiran pada hari Jumaat ialah apabila imam duduk di atas mimbar sebelum azan kedua dilaungkan, dan bukan semasa penyampaian ucapan awal atau nasihat dalam bahasa tempatan sebelum khutbah bermula. Maka sesiapa yang hadir sebelum imam duduk di atas mimbar, dia masih dikira hadir awal dan dicatat dalam senarai kehadiran malaikat.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa para malaikat mencatat kehadiran orang-orang yang datang untuk solat Jumaat bermula dari yang pertama hingga yang terakhir. Mereka akan menutup catatan tersebut apabila imam duduk di atas mimbar sebagai tanda bermulanya khutbah, iaitu selepas azan kedua dikumandangkan. Oleh itu, sesiapa yang hadir selepas imam duduk untuk khutbah, tidak lagi dicatat sebagai orang yang awal datang.
Akhirnya, semoga dengan penjelasan ini dapat memberikan kefahaman kepada kita tentang adab dan ganjaran solat Jumaat serta mendorong kita untuk hadir lebih awal ke masjid demi meraih pahala yang lebih besar. Wallahua‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”