Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah dimakruhkan aktiviti muzakarah atau tazkirah sebelum khutbah jumaat?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Berlaku perbezaan pandangan dalam kalangan ulama tentang amalan menyampaikan ucapan atau tazkirah sebelum khutbah ini. Sebahagian ulama menegaskan bahawa amalan berkumpul atau membuat halaqah ilmu sebelum solat Jumaat adalah perkara yang makruh atau tidak digalakkan, berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ فِي الْمَسْجِدِ، وَأَنْ تُنْشَدَ فِيهِ ضَالَّةٌ، وَأَنْ يُنْشَدَ فِيهِ شِعْرٌ، وَنَهَى عَنِ التَّحَلُّقِ قَبْلَ الصَّلَاةِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli di dalam masjid, mencari barang hilang di dalamnya, bersyair di dalamnya, dan melarang juga daripada membuat halaqah (lingkaran pembelajaran) sebelum solat pada hari Jumaat.

Riwayat Abu Dawud (1079), Ahmad (6676). Dinilai hasan oleh para pentahqiq Musnad Ahmad.

Abu Sulaiman al-Khattabi berkata: “Baginda SAW tidak menyukai orang ramai berkumpul sebelum solat untuk belajar dan bermuzakarah, bahkan disuruh agar menyibukkan diri dengan solat dan mendengar khutbah serta zikir. Setelah selesai solat, barulah boleh berkumpul dan membuat halaqah.” (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 1/247)

Al-Baghawi menambah: “Hadith ini menunjukkan makruh berkumpul dan membuat halaqah pada hari Jumaat sebelum solat untuk berbincang ilmu, bahkan disunatkan sibuk dengan zikir, solat dan mendengar khutbah. Selepas solat barulah boleh berkumpul di masjid atau selainnya.” (Lihat Syarh al-Sunnah, 2/374)

Ibn Ruslan juga berkata: “Dapat difahami daripada lafaz ‘sebelum solat’ bahawa berkumpul untuk berzikir dan muzakarah ilmu selepas solat adalah dibolehkan.” (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 5/544)

Oleh itu, meskipun amalan menyampaikan nasihat atau tazkirah sebelum khutbah bukanlah termasuk dalam khutbah itu sendiri, namun lebih baik mengikut sunnah dengan tidak mengadakan tazkirah tambahan sebelum khutbah Jumaat. Sebaliknya, berusaha hadir sebelum imam naik mimbar dan menumpukan pada zikir, solat sunat dan menunggu khutbah secara khusyuk adalah lebih afdal dan bertepatan dengan amalan para salaf.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan dan pendapat para ulama, dapat dirumuskan bahawa amalan berkumpul untuk mendengar nasihat dan peringatan sebelum khutbah Jumaat bukanlah termasuk dalam amalan yang disyariatkan. Bahkan, hal ini dianggap sebagai perkara yang makruh, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan urusan dunia, perbualan sia-sia dan perhimpunan yang menyerupai majlis tidak berfaedah.

Namun begitu, tidaklah dikira kesalahan jika diadakan tazkirah ringkas sekali-sekala, selagi tidak menjadikannya sebagai amalan tetap yang dilakukan setiap minggu, kerana perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat dalam ibadah seharusnya dielakkan daripada dijadikan sebagai adat kebiasaan.

Kami juga berpendapat, ia memberi ruang dan peluang kepada segelintir masyarakat yang tidak dapat mempelajari ilmu pada waktu-waktu lain kerana kesibukan tugasan dan kerja. Sekurang-kurangnya, ia dapat meraih sejuzuk daripada ilmu dan termasuk dalam nas hadith:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meniti jalan untuk mencari ilmu, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke Syurga.

Riwayat Abu Daud (3641), al-Tirmizi (2682), Ibn Majah (223) dan Ahmad (21715)

Yang lebih utama dan menepati sunnah ialah: datang awal ke masjid, melakukan solat sunat tahiyyatul masjid, memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran dan menunggu imam naik ke atas mimbar dalam keadaan tenang dan khusyuk. Justeru, menumpukan kepada solat sunat, zikir dan membaca al-Quran sebelum khutbah adalah lebih utama dan selari dengan sunnah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”