#857: Menjawab Selawat Ketika Khutbah Dibacakan

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah boleh kita menjawab selawat Nabi SAW semasa khutbah sedang dibacakan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Takrif Selawat dan Salam kepada Rasulullah SAW

Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”[1]

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu.[2]

Al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa[3] menyebut: Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi.

Al-Mubarrid berkata: Makna asal selawat adalah limpahan rasa kasih sayang. Namun jika selawat itu berasal daripada Allah SWT, maka maknanya adalah rahmat. Manakala jika berasal dari para malaikat, ia bermaksud kasih sayang dan doa permohonan rahmat kepada Allah SWT.

Disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW, bentuk bacaan selawat para malaikat untuk orang-orang yang duduk menantikan solat adalah “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ” (Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, berikanlah rahmat kepadanya). Tentu sahaja bentuk selawat seperti ini pada hakikatnya adalah bacaan doa.

Abu Bakar al-Qusyairi berkata: Selawat daripada Allah yang diberikan kepada selain Nabi adalah bermaksud rahmat. Manakala selawat Allah kepada Nabi adalah satu bentuk pemuliaan dan tambahan pangkat kepada Baginda.

Abu al-‘Aliyah berkata: Selawat Allah kepada Nabi adalah dalam bentuk pujian kepada Baginda di hadapan para malaikat. Manakala selawat para malaikat kepada Baginda merupakan dalam bentuk doa.

Al-Qadhi Abu al-Fadhl berkata: Dalam hadis yang menyebut berkenaan berkenaan cara membaca selawat, Rasulullah SAW telah membezakan antara lafaz selawat dan lafaz barakah. Kedua-duanya mempunyai makna masing-masing.

Adapun mengenai bacaan Salam yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, maka menurut al-Qadhi Abu Bakar bin Bukair, ia telah dijelaskan dalam ayat yang telah disebutkan di atas. Dalam ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan para Sahabat untuk membaca salam kepada Rasulullah SAW. Hal ini juga berlaku bagi orang-orang yang hidup setelah mereka. Dengan kata lain, orang-orang yang hidup setelah generasi Sahabat juga diperintahkan untuk membaca salam ketika mereka menziarahi maqam Rasulullah SAW atau ketika mengingati Baginda.

Mengenai makna lafaz salam kepada Rasulullah SAW, terdapat tiga bentuk:

Pertama: “السَّلَامَةُ لَكَ ، وَمَعَكَ” yang bermaksud, semoga keselamatan menjadi milikmu dan selalu bersamamu. Perkataan al-salam dalam susunan kalimat seperti ini, dalam tatabahasa Arab berbentuk masdar.

Kedua: “السَّلَامُ عَلَى حِفْظِكَ ، وَرِعَايَتِكَ” yang bermaksud, semoga Zat Yang Maha Pemberi Keselamatan memberikan penjagaan dan jaminan untukmu. Dengan kata lain, kata al-salam dalam kalimat itu bererti salah satu daripada nama Allah.

Ketiga: Al-Salam yang maknanya pasrah dan tunduk. Hal ini sebagaimana yang terungkap dalam firman Allah SWT:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”[4]

Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa[5].

Tuntutan Supaya Berselawat dan Ganjarannya

Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan dzat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”[6]

Selain itu, para ulama’ juga ada membahaskan tentang berapa kali kah kita diwajibkan untuk mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW.

Al-Khatib al-Syarbini menjelaskan: Para ulama’ berbeza pandangan berkaitan kewajipan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW kepada beberapa pandangan, iaitu:

  • Pada setiap kali solat didirikan dan Imam al-Syafie memilihnya dengan menyatakan ia di dalam tasyahhud akhir.
  • Sekali seumur hidup.
  • Setiap kali apabila nama Baginda SAW disebut disisinya dan pandangan ini dipilih oleh al-Halimi daripada ulama’ al-Syafieiyyah, Imam al-Tahawi daripada ulama al-Hanafiah, al-Lakhmi daripada ulama’ al-Malikiyyah, Ibn Battoh daripada ulama’ al-Hanabilah.
  • Di dalam setiap majlis.
  • Pada setiap permulaan, pertengahan dan akhir doa.[7]

Dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.”[8]

Di dalam hadith yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”[9]

Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam Ibn Kathir ada menyatakan selepas menyebut berkaitan hadith daripada Ali dan juga hadith daripada Abu Hurairah menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi.[10]

Tambahan pula, disifatkan dengan bakhil adalah disebabkan apabila seseorang itu malas menjalankan ketaatan kepada Allah SWT (seperti berselawat).[11]

Justeru, dapat difahami bahawa selawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu tuntutan di dalam agama ini. Ini kerana, di sana terdapat banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda SAW, antaranya berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [12]

Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, kerana sudah tentu mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Perintah Supaya Diam Ketika Khutbah

Secara umumnya, terdapat beberapa hadis yang menunjukkan larangan terhadap perkataan dan perbuatan yang menyebabkan hilangnya fokus dalam mendengar khutbah Jumaat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: Apabila kamu mengucapkan; ‘’Diamlah kamu’’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat dalam keadaan Imam sedang berkhutbah, maka kamu telah lagha.[13]

Dalam isu ini juga, terdapat dua perkara umum yang menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat jumaatnya. Kami nyatakan perinciannya seperti berikut:

Pertama: Perkataan

Terdapat hadith Nabi SAW yang menyebut larangan seseorang itu berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah. Sepertimana hadis yang kami nukilkan di atas, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya“Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).”[14]

Saidina Ali RA berkata, “Barangsiapa yang sia-sia bererti tidak beroleh apa-apa pada solat Jumaatnya.” Ertinya tidak diperolehi kelebihan Jumaat yang dituntut dan pahala yang diharapkan.[15]

Para ulama’ telah berijma’ bahawa afdhal (sebaik-baiknya) bagi sesiapa yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar. Perbuatan itu lebih afdhal daripada dia menyibukkan diri dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa.[16]

Kedua: Perbuatan Anggota Badan

Sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Hal ini berdalilkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.”[17]

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang, serta menjadikan pelakunya lagha. Hal ini diluaskan lagi kepada perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan hilangnya fokus dan tumpuan dalam mendengar khutbah. Ia seperti bermain telefon bimbit, tidur, makan dan minum tanpa sebab dan seumpamanya.

Selawat Sebagai Salah Satu Rukun Khutbah Jumaat

Selawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW merupakan salah satu daripada rukun khutbah di sisi mazhab Syafi’i. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”[18]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: Rukun khutbah Jumaat adalah:

  • Memuji Allah SWT dengan menggunakan sebarang lafaz.
  • Berselawat ke atas Nabi SAW dengan sebarang lafaz selawat. Sebutan nama Nabi SAW hendaklah disebut dengan jelas seperti lafaz Nabi, Rasul atau Muhammad dan tidak memadai dengan sebutan ganti nama sebagai ganti kepada lafaz-lafaz tersebut.
  • Memberi nasihat supaya bertaqwa kepada Allah SWT dengan menggunakan sebarang lafaz dan gaya bahasa.

Ketiga-tiga rukun itu menjadi rukun bagi kedua-dua khutbah. Oleh itu tidak sah kedua-dua khutbah Jumaat melainkan dengan menyempurnakan rukun-rukun tersebut.[19]

Adakah Boleh Kita Menjawab Selawat Nabi SAW Semasa Khutbah Sedang Dibacakan?

Berkenaan persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Para ulama berkhilaf (berbeza pendapat) kepada tiga pandangan:[20]

  • Makruh:Bahkan sebaiknya tidak perlu berselawat, Ini adalah pandangan ikhtiyar Imam Ibn al-Mundzir. Begitu juga pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Sufyan al-Thauri.
  • Harus sekiranya dibaca perlahan:Mazhab Maliki dan Hanbali: “Sunat dia berselawat secara perlahan dan tidak mengangkatkan suaranya.” Qadhi Abu Tayyib daripada Syafeiyyah juga menyatakan hukum makruh menguatkan suara kerana memutuskan istima` (mendengar khutbah).
  • Harus walaupun dibaca kuat:Bahkan disunatkan. Inilah padangan rajih dalam Mazhab Syafie. Mereka mengatakan diharuskan untuk menguatkan suara bagi berselawat semasa khatib membaca firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”[21]

Imam Abu Hussin al-Imrani berkata: “Sekiranya hukum mustahab (sunat) ke atas seseorang untuk berdoa mendapatkan rahmat semasa dibaca ayat tentang rahmat, dan memohon perlindungan ketika dibaca ayat azab, maka begitu juga hal ini (yakni selawat).” [22]

Namun diharamkan untuk menguatkan suara secara melampau. Berkata Imam al-Azraie: “Bukanlah maksud boleh menguatkan suara ketika selawat itu sehingga melampau, seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang awam. Malah, perbuatan menguatkan suara secara melampau itu adalah bid`ah perlu diingkari!” [23]

Syeikh al-Jamal dalam Hasyiah-nya[24] menyebut: “Inilah pendapat yang rajih, yakni apabila dilakukan hanya orang yang berdekatan sahaja yang mendengarnya. Imam al-Ramli berkata: Meninggikan suara secara melampau itu seperti yang dibuat oleh orang awam itu adalah bidaah yang perlu diingkari.”

Adapun di sisi Imam al-Nawawi, hukumnya cukup diharuskan sahaja. Ini berdasarkan zahir kenyataan beliau dalam Raudhah al-Talibin (2/48), bahkan lebih aula (utama) ialah mendengar khutbah.[25]

Penutup

Berdasarkan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa berselawat, dan mengangkat suara untuk berselawat, semasa khatib sedang berkhutbah dan menyebut Nabi SAW, adalah diharuskan, seperti mana yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita. Namun begitu, hendaklah dielakkan membaca dengan terlalu kuat, apatah lagi sehingga mengganggu orang lain, kerana hal berkenaan sepakat para ulama mengharamkannya.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

[1] (Surah al-Ahzab: 56)

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5511

[3] hlm. 138-139

[4] (Surah al-Nisa’: 65)

[5] hlm. 138-139

[6] (Surah al-Ahzab: 56)

[7] Lihat al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, hlm. 9

[8] Riwayat Ahmad (7451) dan al-Tirmizi (3545)

[9] Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (2885)

[10] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/373

[11] Lihat al-Qaul al-Badi’, hlm. 321

[12] Riwayat Muslim (384)

[13] Riwayat al-Bukhari (934)

[14] Riwayat al-Bukhari (934)

[15] Lihat al-Mu`tamad, 1/533

[16] Lihat Fath al-Bari, 8/274

[17] Riwayat Muslim (857)

[18] (Surah al-Ahzab: 56)

[19] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/507

[20] Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/592

[21] (Surah al-Ahzab: 56)

[22] Lihat al-Bayan, 2/600

[23] Lihat Asna al-Matalib, 1/270

[24] 2/32

[25] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/573

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *