Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Orang kita selalu kata, diri sendiri pun tak betul, macam mana kita mahu islah dan betulkan orang lain. Adakah betul pemikiran begini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”

(Surah Hud: 88)

Ayat ini merakamkan seruan Nabi Syu‘aib A.S dalam usaha untuk memperbaiki kaumnya – Madyan – yang telah rosak dari sudut ekonomi, sosial dan akidah. Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, lafaz “إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ” (Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku), maksudnya adalah dalam apa yang aku perintahkan kepadamu dan aku melarangmu, aku hanyalah ingin memperbaikimu dengan kemampuanku dan kekuatanku. Seterusnya lafaz “وَمَا تَوْفِيقِي” (dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya) pula adalah bermaksud dalam meraih kebenaran dalam apa yang aku inginkan. Kemudian, lafaz “إِلَّا بِاللَّـهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ” (melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri) iaitu dalam segala urusanku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/344)

Ada dalam kalangan orang-orang yang baik apabila ditanya: “Kenapa kamu tidak menyampaikan dakwah?” Lantas dijawabnya: “Saya perlu mengislahkan diri saya dahulu.” Bahkan sebahagian mereka berhujah dengan beberapa nas yang memberi ancaman pada mereka yang pandai menyuruh orang berbuat baik, sedangkan dia tidak melakukan kebaikan.

Kami katakan bahawa mentaliti seperti ini adalah salah faham yang amat nyata, kerana untuk mencapai kesempurnaan, sudah tentu neraca dan ukurannya amat sukar. Apa yang sepatutnya dilakukan adalah dengan kita memperbaiki diri kita, dan pada saat yang sama, kita menyampaikan dakwah. Seorang ulama apabila ditanya tentang isu ini, lantas beliau memberi jawapan:

أَصْلِحْ نَفْسَكَ وَادْعُ غَيْرَكَ

Maksudnya: “Perbaikilah diri kamu serta serulah orang lain.” (Lihat Asalib al-Da‘wah wa al-Irsyad, hlm. 180)

Allah SWT menuntut kita untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar, yang merupakan intipati dalam islah itu sendiri. Firman-Nya:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

(Surah Ali ‘Imran: 104)

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan bahawa ayat di atas mengandungi perintah untuk sebahagian daripada anggota ummah, untuk melakukan perintah yang terkandung di dalam ayat. Tanggungjawab ini diletakkan sebagai suatu fardhu kifayah, iaitu kewajipan yang wajib disempurnakan sebahagian daripada sesuatu kelompok, sekiranya tiada yang melakukan, maka berdosalah seluruh ahli dari kelompok itu. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 4/165)

Rasulullah SAW juga menggesa kita untuk sekurang-kurangnya menyampaikan meskipun satu pesanan dari hadith Baginda. Abdullah bin ‘Amr R.A berkata bahawa Baginda SAW bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.”

Riwayat al-Bukhari (3461)

Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa hadith ini menuntut kita untuk menyampaikan satu ayat daripada al-Quran walaupun ayat tersebut pendek. Hadith ini juga boleh difahami bahawa Nabi SAW juga menuntut kita untuk menyampaikan hadith-hadith Baginda SAW. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/360)

Pada saat yang sama, kehendak dan nawaitu serta azam yang bulat dan tekad untuk mengislahkan diri adalah sikap yang terpuji dan tidak mengendurkan sedikit pun semangat juang untuk menyampaikan dakwah. Bahkan dakwah itu sendiri adalah proses pengislahan. Boleh jadi ketika mana beliau menyampaikan dakwah, akan turun dan singgah dalam hidupnya, sakinah, hidayah dan pertolongan Allah. Justeru, dengan itu, dia menjadi bertambah baik.

Mereka yang berhujah dengan ‘untuk membaiki diri dulu’ hanya akan menyebabkan terbantutnya usaha dakwah. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A Rasulullah SAW telah bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ

،

وَخَيْرُ الخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Setiap anak Adam banyak melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang banyak melakukan kesalahan adalah orang yang banyak bertaubat.”

Riwayat al-Tirmizi (2499), Ibn Majah (4251) Ahmad (13049), Ibn Abi Syaibah (34216), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5/420), al-Hakim (4/244), al-Darimi (2727) dan Abu Ya‘la (2922). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai hasan dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (5/92)

Berdasarkan hadith di atas, difahami bahawa manusia tidak akan terlepas daripada kesilapan. Al-Mubarakfuri berkata:  ‘كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ’ yakni banyak kesalahan.  Ungkapan  ‘وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ’ (Sebaik-baik orang yang banyak melakukan kesalahan adalah orang yang banyak bertaubat) bermaksud mereka kembali kepada Allah dengan bertaubat daripada segala maksiat, dan sebaliknya giat dalam melakukan ketaatan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/202)

Justeru, dengan kita mengislahkan diri kita, sentiasa menambah ilmu, menguatkan amalan ibadat, membetulkan niat, dan berdakwah kepada Allah SWT, maka itulah solusi yang terbaik berdasarkan kepada himpunan pandangan serta perlakuan salafus soleh terdahulu.

Semoga kita sentiasa diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT, seterusnya dapat mengislahkan diri dari semasa ke semasa agar hubungan menjadi bertambah dekat dan akrab dengan Tuhan. Kami akhiri dengan doa:

اللهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a‘lam