Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Menjelang Hari Raya ni, kita sangat sinonim dengan budaya bermaaf-maafan. Tetapi, ia seolah-olah menjadi adat tanpa benar-benar dihayati oleh generasi kini. Boleh kongsikan bagaimanakah cara untuk memupuk diri agar dapat betul-betul memaafkan orang lain seikhlasnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Menjadi fitrah anak-anak Adam, saling bertemu, lalu mereka bersetuju pada suatu perkara dan berselisih pada perkara lainnya disebabkan oleh latar belakang yang berbeza, cara mereka berfikir, dan tahap keupayaan mereka memahami sesuatu. Maka, menjadi kebiasaan apabila berlakunya salah faham atau seteru, untuk kita saling memohon maaf dan menerima permohonan maaf daripada pihak yang telah dizalimi atau dianiaya. Permohonan maaf ini bukanlah sekadar lafaz kata-kata yang keluar dari lidah dan disambut mesra oleh telinga dan hati, bahkan ia merupakan antara sebab utama dalam memelihara serta memulihkan hubungan silaturahim – sama ada antara sahabat, rakan kongsi, suami isteri, mahupun dengan sesiapa jua yang kita kenal atau tidak.

Syara‘ menuntut perbuatan memohon maaf dengan ketulusan hati, sebagaimana yang dibawakan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ، فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ، إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ، وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Barangsiapa melakukan kezaliman kepada saudaranya, baik terhadap kehormatannya ataupun yang lainnya, maka hendaklah dia minta dihalalkan (maaf) saat ini sebelum tiba masa di mana dinar mahupun dirham tidak laku lagi. Apabila dia memiliki amal baik, maka sebahagian amal baiknya itu akan diambil sesuai dengan kadar kezaliman yang telah dilakukannya. Sedangkan jika tidak memiliki amal baik, maka dosa temannya akan diambil dan dibebankan (ditambahkan) ke atas dosanya.”

Riwayat al-Bukhari (2449)

Bermaafan ini merupakan akhlak orang-orang soleh, dan ia merupakan ciri mereka yang bertaqwa, yang mempunyai hati nurani yang telus. Ini banyak disebutkan dalam nas-nas al-Quran, antaranya firman Allah SWT:

وَأَن تَعْفُوٓا۟ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۚ

Maksudnya: “Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa.”

(Surah al-Baqarah: 237)

Begitu juga firman-Nya:

وَلْيَعْفُوا۟ وَلْيَصْفَحُوٓا۟ ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ ٱللَّهُ لَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nur: 22)

Kita mungkin tertanya-tanya, mengapa sangat besar ganjaran bagi mereka yang membudayakan bermaaf-maafan? Hal ini kerana memaafkan orang lain dan melupakan kesalahan mereka bukanlah perkara yang mudah; kerana ia adalah sesuatu yang berat bagi jiwa, dan tidak dapat diatasi melainkan:

  • Dengan melawan keinginan untuk merasa diri pada pihak yang benar.
  • Melawan dorongan nafsu untuk membalas dendam demi diri sendiri.

Perkara ini hanya mampu dilakukan oleh mereka yang kuat – iaitu golongan yang berjaya mengatasi dorongan nafsu dan keinginan diri mereka. Oleh sebab itulah, ganjaran bagi mereka yang membudayakan bermaaf-maafan ini besar. Mu‘az bin Anas R.A mengkhabarkan dari Nabi SAW, sabdanya:

مَنْ كَظَمَ غَيْظًا، وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يُنْفِذَهُ، دَعَاهُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ مِنْ أَيِّ الْحُورِ شَاءَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menahan marah, sedangkan dia berkuasa untuk meluahkan kemarahannya, nescaya Allah Tabaraka wa Ta‘ala akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk pada hari kiamat kelak, lalu Allah memberinya pilihan untuk memilih mana-mana bidadari yang dia kehendaki.”

Riwayat Ahmad (15637), Abu Dawud (4777), al-Tirmizi (2021) dan Ibn Majah (4186)

Kesimpulan

Budaya bermaaf-maafan yang sering diamalkan ketika menjelang Hari Raya sebenarnya bukan sekadar adat atau tradisi, tetapi ia merupakan suatu ajaran Islam yang sangat mulia dan dituntut. Memaafkan kesalahan orang lain bukan sesuatu yang mudah, kerana ia menuntut kekuatan jiwa, keikhlasan hati dan kemampuan menundukkan hawa nafsu. Namun, ganjaran di sisi Allah SWT bagi mereka yang mampu berbuat demikian amat besar dan mulia, antaranya dijanjikan pilihan bidadari di akhirat bagi orang yang menahan marah sedangkan dia mampu membalas.

Oleh itu, marilah kita hayati makna sebenar kemaafan dengan menjadikan amalan memaafkan sebagai satu bentuk keikhlasan yang lahir dari hati yang tunduk kepada Allah SWT, demi memelihara silaturahim, meraih ketenangan jiwa, dan mendapat keampunan Ilahi. Sesungguhnya, memaafkan itu adalah tanda kekuatan iman dan sifat orang yang bertakwa.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.” 

Wallahu a‘lam