Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum membenarkan wanita yang sedang haid hadir atau terlibat dalam proses memandikan jenazah menurut pandangan Islam? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Syariat, apabila melarang wanita yang sedang haid daripada melaksanakan sebahagian ibadah semasa haid, masih membenarkan mereka untuk berzikir dan membaca al-Quran dalam keadaan tertentu — yang mana perkara ini terdapat perincian dalam kalangan para fuqaha. Syariat juga membenarkan wanita haid untuk melalui dalam masjid dan tidak melarang mereka daripada menghadiri majlis zikir dan doa. Bahkan, Nabi SAW telah memerintahkan agar para wanita yang sedang haid dibawa hadir ke solat dua hari raya, supaya mereka dapat menyaksikan kebaikan dan menyertai kaum Muslimin.
Wanita itu tidak menjadi najis disebabkan oleh keadaan haid yang bersifat sementara itu; sebaliknya, yang najis hanyalah sesuatu yang keluar daripadanya, iaitu darah semata-mata. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
إنَّ المُؤْمِنَ لا يَنْجُسُ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman itu tidak menjadi najis. ”
Riwayat al-Bukhari (275) dan Muslim (371)
Al-‘Allamah Ibn Battal berkata dalam Syarh al-Bukhari (10/547): “Penyifatan seseorang mukmin dengan najis itu hanyalah merujuk kepada keadaannya ketika melaksanakan solat serta berkaitan dengan batalnya mandi dan wuduknya. Tidakkah kamu melihat bahawa Aisyah RA pernah mendengar bacaan Rasulullah SAW sedangkan beliau sedang haid? Sedangkan mendengar (bacaan al-Quran) itu merupakan satu amalan orang-orang beriman yang dengannya mereka memperoleh pahala dan diangkat darjat mereka.
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, Antara perkara yang telah dinyatakan secara jelas oleh para fuqaha sebagai harus bagi wanita yang sedang haid ialah: kehadirannya semasa memandikan dan mengafankan jenazah. Maka menurut mazhab jumhur fuqaha (majoriti ulama), dibolehkan bagi wanita haid untuk hadir ketika seseorang nazak, serta terlibat dalam memandikan, mengafankan, dan menguruskan jenazah. Bahkan, sebahagian daripada mereka menyatakan keharusan wanita haid melakukan tugas itu secara langsung.
Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Alqamah bahawa seorang wanita datang kepadanya lalu berkata:
إِنِّي أُعَالِجُ مَرِيضًا، فَأَقُومُ عَلَيْهِ وَأَنَا حَائِضٌ؟ فَقَالَ: نَعَمْ، فَإِذَا حُضِرَ، فَاجْتَنِبِي رَأْسَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku merawat seorang pesakit. Bolehkah aku menjaganya ketika aku sedang haid?” Maka beliau menjawab: “Ya, boleh. Tetapi apabila dia sedang nazak (sakratul maut), maka jauhilah kepalanya.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (10755)
Abu Muhammad al-Ramahurmuzi meriwayatkan dengan sanadnya bahawa: Seorang wanita pernah berdiri di hadapan sebuah majlis yang dihadiri oleh Yahya bin Ma‘in, Abu Khaythamah, Khalaf bin Salim dan sekumpulan ahli hadith yang sedang membincangkan hadis. Wanita itu bertanya kepada mereka tentang hukum wanita haid memandikan jenazah, kerana dia sendiri adalah seorang yang biasa menguruskan jenazah. Namun tiada seorang pun daripada mereka yang menjawab, dan masing-masing hanya saling berpandangan antara satu sama lain.
Kemudian Abu Thaur datang, lalu mereka berkata kepada wanita itu: “Tanyalah kepada orang yang baru datang ini.” Maka wanita itu berpaling kepadanya dan mengajukan soalan. Abu Thawr menjawab: “Ya, wanita haid boleh memandikan jenazah, berdasarkan hadis Aisyah RA. Jika wanita boleh melakukannya terhadap kepala orang hidup, maka sudah tentu kepala orang mati lebih utama (untuk dibenarkan).” Maka mereka pun berkata: “Benar, hadith ini diriwayatkan oleh si fulan, dan kami juga telah mendengarnya daripada si fulan.” Wanita itu pun berkata: “Kalau begitu, di manakah kamu semua tadi?” Kisah ini disebut oleh Ibn al-Jawzi dalam Kashf al-Mushkil (4/288).
Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali berkata: Sebahagian fuqaha’ berhujah dengan perbuatan wanita haid menyikat dan membasuh kepala orang hidup sebagai dalil keharusan wanita haid memandikan jenazah. Antara mereka ialah Abu Thaur, yang terkenal dengan kisahnya berhubung isu ini, apabila sekumpulan ahli hadith ditanya tentang masalah ini dan tidak mampu memberikan jawapan, lalu Abu Thaur menjawab dengan keharusan, dan berhujah dengan hadith ini serta hadith: “Sesungguhnya haidmu bukan berada di tanganmu.”
Diriwayatkan juga pendapat serupa daripada Imam Ahmad dengan sanad yang padanya terdapat perawi yang tidak dikenali. Antara yang membenarkan wanita haid dan orang junub memandikan jenazah ialah ‘Ata’ dan al-Thauri.
Al-Hasan pula membenarkan orang junub untuk memandikan jenazah. Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad berkata berkenaan wanita haid: “Dia tidak boleh memandikan jenazah.” Manakala daripada ‘Alqamah pula diriwayatkan bahawa beliau berkata: “Wanita haid boleh memandikan jenazah.”
Di dalam Kitab ‘Abd al-Razzaq, diriwayatkan daripada ‘Alqamah bahawa wanita haid tidak boleh memandikan jenazah. Riwayat daripada Imam Ahmad berbeza-beza dalam isu ini: ada yang menyebut bahawa beliau berkata: “Tidak mengapa (dibolehkan).” Ada juga yang meriwayatkan bahawa beliau membenarkannya kecuali wanita haid, kecuali dalam keadaan darurat. Terdapat juga riwayat lain daripada beliau yang menyatakan keharusan secara mutlak bagi wanita haid, namun sanadnya dipertikaikan.
‘Alqamah, al-Nakha‘i, al-Thauri dan Imam Ahmad berpendapat bahawa makruh bagi orang junub dan wanita haid untuk berada di sisi jenazah ketika roh dicabut, berdasarkan riwayat bahawa para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat orang junub.
Secara keseluruhan, tubuh badan wanita haid adalah suci, begitu juga peluh dan lebihan air minumnya, sebagaimana halnya dengan orang junub. Perkara ini telah dinukilkan sebagai ijmak oleh ramai ulama. (Lihat Fath al-Bari, 2/16)
Dalam isu ini juga Imam al-Nawawi menyebutkan: Diharuskan bagi orang yang junub dan wanita haid untuk memandikan jenazah tanpa makruh. Al-Hasan dan Ibn Sirin memakruhkannya (yakni tidak menyukai perbuatan tersebut), manakala Imam Malik memakruhkan orang junub (untuk memandikan jenazah). Dalil kami ialah: kedua-duanya (orang junub dan wanita haid) adalah suci seperti orang lain. (Lihat al-Majmu’, 5/187)
Begitu juga Ibn Qudamah menyatakan: kami tidak mengetahui adanya perbezaan pendapat dalam kalangan mereka (ulama) mengenai sahnya orang junub dan wanita haid memandikan dan memejamkan mata jenazah. Namun, yang lebih utama ialah orang yang menguruskan perkara tersebut — sama ada dalam memejamkan mata atau memandikan jenazah — hendaklah dalam keadaan suci, kerana ia lebih sempurna dan lebih baik. (Lihat al-Mughni, 2/236)
Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan: Maka dibolehkan bagi wanita haid yang sedang dalam ihram untuk hadir semasa memandikan dan mengafankan jenazah, dan keharusan ini menjadi lebih ditekankan jika si mati pernah berwasiat demikian.
Justeru, dapat disimpulkan bahawa wanita yang berada dalam keadaan haid tidak dihalang untuk terlibat dalam pengurusan jenazah, termasuk hadir ketika nazak, memandikan, mengafankan, dan menyempurnakan urusan jenazah, selagimana perkara tersebut tidak bercanggah dengan prinsip asas kesucian dan penghormatan terhadap si mati. Oleh itu, kehadiran wanita haid dalam urusan kematian adalah dibenarkan, lebih-lebih lagi jika tiada unsur yang mencemarkan atau menjatuhkan maruah si mati, serta dilakukan dengan penuh adab terhadap amanah dan tanggungjawab yang ditunaikan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘lam