Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hak suami saya terhadap gaji saya sendiri? Dan adakah saya mempunyai hak milik kewangan yang khusus untuk diri saya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌۭ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ
Maksudnya:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.”
(Surah al-Nisa’: 34)
Al-Jassas menyebutkan di dalam tafsirnya, Allah SWT memberitahu bahawa setiap pasangan suami isteri mempunyai hak ke atas pasangannya, dan suami memiliki hak yang khusus ke atas isterinya yang tidak dimiliki oleh isteri ke atas suaminya. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/68)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, telah ditetapkan dalam syariat bahawa suami mempunyai tanggungan harta yang berasingan daripada isterinya, dan begitu juga isteri mempunyai hak milik kewangan yang berasingan daripada suaminya. Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada Habban al-Jamhi bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ أَحَدٍ أَحَقُّ بِمَالِهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya: “Setiap individu lebih berhak ke atas hartanya sendiri berbanding bapanya, anaknya dan seluruh manusia.”
Riwayat al-Baihaqi (15849), al-Daraqutni (4568). Al-Albani menilia hadith ini sebagai Dhaif
Dinyatakan dalam al-Siraj al-Munir Syarh al-Jami‘ al-Saghir fi Hadith al-Bashir al-Nazir (4/12): Seseorang itu wajib mendahulukan dirinya sendiri dalam soal nafkah berbanding sesiapa pun, hatta berbanding isterinya sendiri.
Oleh itu, perkahwinan dalam syariah Islam tidak membawa kepada penggabungan harta antara suami dan isteri; sama ada dalam bentuk wang tunai, harta tak alih, saham, atau apa-apa bentuk harta yang lain.
Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya dalam isu ini menyatakan: Maka hak milik kewangan isteri adalah sepenuhnya terpisah daripada hak milik kewangan suami. Akad nikah itu sendiri tidak memberi kesan terhadap penggabungan harta suami isteri secara keseluruhan mahupun sebahagian, kecuali terhadap hak atau syarat yang lahir daripada akad tersebut.
Sekiranya isteri bekerja dalam pekerjaan yang dibenarkan secara syarak, dengan keizinan suaminya sama ada secara jelas atau tersirat, dan suami tidak menetapkan syarat supaya sebahagian daripada gajinya diberikan sebagai balasan kepada keizinan tersebut, atau tidak meletakkan syarat bahawa kerja itu mesti dihentikan selepas perkahwinan (sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini), dan selagi pekerjaan itu tidak menjejaskan kepentingan keluarga atau dilakukan secara salah guna terhadap hak tersebut, maka suami tidak berhak mengambil apa-apa bahagian daripada gaji isterinya tanpa keredaan isteri itu sendiri.
Suami juga tidak boleh berhujah bahawa dia berhak ke atas sebahagian gaji isterinya hanya kerana isterinya bekerja dan mendapat pendapatan daripada pekerjaan itu. Ini kerana, perkahwinan adalah satu akad untuk menikmati (hak pergaulan) — bukan akad pemilikan. Isteri bukanlah hamba sehingga hartanya menjadi milik suaminya, sama ada harta itu diperoleh sebelum atau selepas perkahwinan.
Sebagai kesimpulan, perkahwinan dalam Islam tidak menjadikan harta suami dan isteri bercampur atau saling dimiliki secara automatik. Setiap pasangan mempunyai hak milik kewangan yang tersendiri, dan syariah dengan jelas menetapkan bahawa isteri berhak penuh terhadap hartanya sama ada sebelum atau selepas berkahwin. Suami tidak berhak mengambil atau menuntut sebahagian daripada pendapatan isterinya melainkan dengan keredhaan si isteri dan tanpa melanggar hak-haknya yang sah.
Meskipun syariah memberi hak pemilikan kewangan yang berasingan kepada kedua-dua pasangan, namun keharmonian rumah tangga kadangkala memerlukan pengorbanan dan tolak ansur dalam urusan harta. Justeru, pendekatan yang mementingkan semangat saling membantu dan berkongsi, selagi tidak menyalahi prinsip syarak, mampu memperkukuhkan institusi keluarga dalam menghadapi tekanan ekonomi dan sosial masa kini.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam