Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah seseorang itu memperoleh pahala solat berjemaah apabila dia solat di rumah bersama isterinya secara berjemaah? Seorang lelaki yang telah biasa menunaikan solat fardu di masjid secara berjemaah, namun pada waktu-waktu tertentu dia merasa letih lalu menunaikan solat di rumah bersama isterinya secara berjemaah — adakah hal itu dianggap telah menunaikan solat berjemaah dan memperoleh kelebihannya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Rasulullah SAW sepanjang hayatnya sentiasa solat berjemaah kecuali sakit yang membawa kepada kematiannya. Firman Allah SWT:
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ
Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
(Surah Al-Nisa’:102)
Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan : “Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.” (Lihat Mughni Al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj, 1/350)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya : “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”
Riwayat Muslim (1509)
Di dalam riwayat lain menyatakan :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
Maksudnya : “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”
Riwayat Muslim (1504)
Imam Al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/183)
Sebagai menjawab persoalan di atas, seseorang yang menunaikan solat secara berjemaah bersama isterinya atau ahli keluarganya di rumah tetap beroleh pahala solat berjemaah sebagaimana yang telah dinyatakan. Ini kerana kelebihan solat berjemaah tidak terbatas hanya di masjid, bahkan ia boleh diperoleh di mana-mana sahaja selagi mana solat itu didirikan secara berjemaah dengan memenuhi syarat-syaratnya.
Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa beliau berkata: Jika seseorang lelaki solat di rumah bersama rakannya, isterinya, atau anaknya, maka dia tetap memperoleh kelebihan solat berjemaah. (Lihat Raudah al-Talibin, 1/341)
Selain itu, Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi berkata dalam Radd al-Muḥtar (1/396): Jika seseorang solat berjemaah bersama ahli keluarganya, maka hukumnya tidak makruh, dan dia tetap memperoleh kelebihan solat berjemaah.
Dalam isu ini juga menurut Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya menyatakan: Solat berjemaah merupakan antara syiar Islam yang paling agung. Ia diperintahkan dan sangat digalakkan pelaksanaannya dengan jaminan pahala yang berlipat ganda serta ganjaran yang lebih besar berbanding solat bersendirian. Solat berjemaah (selain solat Jumaat dan dua solat hari raya) boleh dilaksanakan dengan kehadiran seorang makmum sahaja bersama imam, sama ada lelaki atau wanita, sama ada di masjid atau di tempat lain. Oleh itu, apabila seorang lelaki menunaikan sebahagian solat fardhunya di rumah bersama isterinya, maka solat itu dikira sebagai solat berjemaah, dan mereka berdua memperoleh pahala serta ganjaran besar yang dijanjikan untuknya.
Sebagai kesimpulannya, solat berjemaah merupakan antara syiar agung dalam Islam yang sangat dituntut serta menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda berbanding solat bersendirian. Berdasarkan nas dan pandangan ulama, solat berjemaah tidak terhad kepada pelaksanaannya di masjid sahaja, bahkan ia juga sah dan diganjarkan pahala jika dilakukan di rumah bersama ahli keluarga, termasuk isteri. Oleh itu, lelaki yang menunaikan solat bersama isterinya secara berjemaah di rumah — khususnya ketika uzur atau keletihan — tetap dianggap telah menunaikan solat berjemaah dan beroleh kelebihannya, selagi mana syarat berjemaah dipenuhi. Ini menunjukkan keluasan rahmat dan kemudahan dalam syariat Islam yang memberi ruang kepada umatnya untuk terus memperoleh ganjaran dalam pelbagai keadaan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Wallahua‘lam