Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, benarkah terdapat kelebihan solat Subuh berjemaah pada hari Jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Subuh pada hari Jumaat mempunyai keistimewaan dan kelebihan berbanding dengan solat-solat fardhu lain sepanjang minggu. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أفْضَلُ الصَّلَواتِ عِنْدَ الله صلاةُ الصُّبْحِ يَوْمَ الجُمُعَةِ فِي جَماعَةٍ

Maksudnya: “Solat yang paling utama di sisi Allah ialah solat Subuh secara berjemaah pada hari Jumaat.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2783) dan dalam Fadha’il al-Auqat (288), al-Daraqutni (3127) dan Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Auliya’ (7/207). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ oleh al-Albani (1119)

Keutamaan ini menunjukkan besarnya ganjaran dan banyaknya pahala yang dijanjikan. Barangkali antara hikmah di sebalik penyebutan keistimewaan ini adalah untuk mendorong orang beriman agar memanfaatkan hari Jumaat sejak awal waktunya — dengan bersungguh-sungguh menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Ia menjadi sebab utama untuk mendapat taufik (petunjuk dan pertolongan) dalam memanfaatkan seluruh kelebihan hari tersebut.

Sesungguhnya ketaatan kepada Allah memberi kesan besar dalam menggerakkan hati untuk terus melakukan amalan-amalan baik yang lain selepasnya. (Lihat La Tansa fi Yaum al-Jumu‘ah, hlm. 3)

Sebaik-baik solat adalah solat Subuh berjemaah, dan sebaik-baik hari adalah Jumaat. Kelebihan inilah yang menjadikan ia sebagai sebaik-baik ibadah solat di sisi Allah SWT. Sekiranya solat ini didirikan pada awal waktu pula, maka bertambah lagi kelebihan padanya. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 2/567)

Hal ini kerana, solat Subuh berjemaah adalah berat untuk didirikan kerana perlunya untuk bangun pada awal pagi dan meninggalkan tidur. Disebutkan dalam hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَثْقَلَ صَلَاةٍ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلَاةُ الْعِشَاءِ، وَصَلَاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah solat Isyak dan solat al-Fajar (Subuh). Sekiranya mereka mengetahui (pahala) apa yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.”

Riwayat Muslim (651)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”