Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah kita disunatkan mandi pada hari Jumaat dan juga beberapa amalan yang lain?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Para ulama menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan bahawa sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang banyak beristighfar kepada-Nya dan menjauhi perbuatan keji dan kotor. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 142).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً
Maksudnya: “Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumahnya kemudian dia berjalan kaki menuju ke satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk dia menunaikan satu kefardhuan dari kefardhuan-kefardhuan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya.”
Riwayat Muslim (666)
Al-Dawudi berkata: Jika seseorang itu mempunyai dosa, maka dosa-dosanya akan diampunkan, dan jika tidak, maka darjatnya akan diangkat. Sebahagian ulama berkata: Ini menunjukkan bahawa dengan satu langkah (menuju masjid), seseorang memperoleh satu darjat. Adapun banyaknya langkah, ia menaikkan darjatnya. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib ‘ala Targhib wa Tarhib, 3/79)
Berkenaan persoalan di atas, terdapat beberapa hadis yang menyebut tentang anjuran mandi, bersuci, bersiwak, memakai wangian, dan mengenakan pakaian terbaik pada hari Jumaat. Antaranya ialah hadis daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمُ الْجُمُعَةَ فَلْيَغْتَسِلْ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu datang untuk menunaikan solat Jumaat, maka hendaklah dia mandi.”
Riwayat al-Bukhari (877) dan Muslim (844)
Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum mandi pada hari Jumaat. Sebahagian mereka berpendapat bahawa ia wajib, manakala yang lain mengatakan ia sunat muakkad (sunat yang sangat digalakkan). Sementara Syaikh al-Islam Ibn Taymiyyah mengambil pendirian pertengahan, dengan menyatakan bahawa mandi itu wajib bagi sesiapa yang badannya berbau.
Syeikh Ibn Baz berkata: “Mandi pada hari Jumaat adalah sunat muakkad. Namun ada dalam kalangan ulama yang menganggapnya wajib. Oleh itu, disarankan agar menjaga amalan mandi pada hari Jumaat. Yang terbaik ialah mandi dilakukan ketika hendak menuju ke solat Jumaat, kerana itu lebih sempurna dari sudut kebersihan dan lebih efektif dalam menghilangkan bau yang tidak menyenangkan, di samping memberikan perhatian terhadap pemakaian minyak wangi dan pakaian yang elok.”
Selain itu, bersiwak (membersihkan gigi) sebelum solat Jumaat juga adalah sunat yang disepakati oleh keempat-empat mazhab fiqh. Ia berdasarkan hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
غُسْلُ يَوْمِ الْجُمُعَةِ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ وَسِوَاكٌ وَيَمَسُّ مِنَ الطِّيبِ مَا قَدَرَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Mandi pada hari Jumaat adalah wajib atas setiap orang yang telah baligh, bersiwak (membersihkan gigi), dan memakai sedikit wangian sekadar yang termampu.”
Riwayat al-Bukhari (880) dan Muslim (846)
Maka, persiapan menghadiri solat Jumaat dengan kebersihan diri, penyempurnaan penampilan, dan pergi dalam keadaan terbaik adalah tanda mengagungkan syiar-syiar Allah, dan ia adalah salah satu bentuk takwa dalam hati seorang hamba yang beriman.
Oleh itu, wahai orang beriman, laksanakanlah amalan-amalan ini dengan penuh kesedaran dan niat yang ikhlas, nescaya engkau akan memperoleh ganjaran dan pahala yang amat banyak.
Ingatlah bahawa tidak sama antara seorang hamba yang mengagungkan syiar Tuhannya dengan penuh kecintaan dan kesungguhan, dengan seorang lagi yang merasa berat dan terbeban dengan hari yang mulia ini – seolah-olah hari Jumaat merupakan satu beban yang menekan di atas bahunya. (Lihat La Tansa fi Yaum al-Jumu’ah, hlm. 3-4)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنْ التَّوَّابِينَ ، وَاجْعَلْنَا مِنْ الْمُتَطَهِّرِينَ.
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah kami termasuk dari kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah kami termasuk dari kalangan orang-orang yang menyucikan diri.”