Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah perbahasan pergi ke masjid berjalan kaki lebih afdhal daripada berkenderaan pada hari Jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ubai Bin Ka’ab bahawa beliau berkata:

كانَ رَجُلٌ لا أَعْلَمُ رَجُلًا أَبْعَدَ مِنَ المَسْجِدِ منه، وَكانَ لا تُخْطِئُهُ صَلاةٌ، قالَ: فقِيلَ له: أَوْ قُلتُ له: لَوِ اشْتَرَيْتَ حِمارًا تَرْكَبُهُ في الظَّلْماءِ، وفي الرَّمْضاءِ، قالَ: ما يَسُرُّنِي أنَّ مَنْزِلِي إلى جَنْبِ المَسْجِدِ، إنِّي أُرِيدُ أَنْ يُكْتَبَ لي مَمْشايَ إلى المَسْجِدِ، وَرُجُوعِي إذا رَجَعْتُ إلى أَهْلِي، فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: قدْ جَمع اللَّهُ لكَ ذلكَ كُلَّهُ.

Maksudnya: Ada seorang lelaki yang aku tidak mengetahui ada lelaki lain yang tinggal lebih jauh dari masjid berbanding dia, namun dia tidak pernah terlepas solat (di masjid). Ubay berkata: Maka ada yang berkata kepadanya, atau aku berkata kepadanya: “Mengapa tidak kamu membeli seekor keldai untuk kamu tunggangi dalam kegelapan malam dan ketika panas terik?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak suka rumahku berada bersebelahan dengan masjid. Aku ingin perjalanan aku ke masjid dan kepulanganku ke rumah dicatat (sebagai ganjaran) untukku.” Maka Rasulullah bersabda: “Allah telah mengumpulkan untukmu semua ganjaran itu.”

Riwayat Muslim(663)

Berkenaan persoalan di atas, berjalan kaki ke masjid untuk solat Jumaat mempunyai keutamaan yang besar. Diriwayatkan daripada ‘Abayah bin Rifa‘ah bahawa:

Abu ‘Abs bin Jabr R.A sempat menemuiku ketika aku sedang berjalan menuju solat Jumaat. Lalu dia berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

‏ مَنِ اغْبَرَّتْ قَدَمَاهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang kedua-dua kakinya berdebu di jalan Allah, maka Allah haramkan tubuhnya daripada disentuh api neraka.”

Riwayat al-Bukhari (907)

Hadis ini menunjukkan bahawa berjalan kaki ke solat Jumaat adalah lebih utama daripada menaiki kenderaan. (Lihat La Tansa fi Yaum al-Jumu’ah, hlm. 5)

Namun tidak dinafikan sesiapa yang menggunakan kereta untuk digunakan di jalan Allah seperti menggunakannya untuk ke masjid atau ke majlis ilmu mendapat pahala ganjaran daripada Allah SWT. Setiap apa  yang dibelanjakan untuk minyaknya dan lain-lain yang diperlukan untuk perjalanan akan diberi ganjaran kepada pemiliknya. Firman Allah SWT:

وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

(Surah al-Anfal:273)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa: adapun tentang menafkahkan harta, dari segi manapun, ia adalah kebaikan, kemurahan, dan ketaatan yang pahalanya akan diberikan kepada pemiliknya dan ia akan diberi ganjaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.116)

Justeru, pergi ke masjid itu mendapat pahala yang banyak di sisi Allah SWT, sama ada dengan berjalan kaki atau menggunakan kenderaan. Namun, berjalan kaki lebih baik daripada menaiki kenderaan dan lebih banyak pahalanya, seperti yang ditunjukkan oleh tindakan Rasulullah SAW dan para sahabat yang lebih suka berjalan kaki ke masjid.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.