#871 Keluar Mani Akibat Bermimpi Siang Ramadhan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah sah puasa seseorang yang bermimpi basah sehingga keluar air maninya di siang Ramadhan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, sekiranya seseorang itu keluar air maninya disebabkan oleh mimpi basah yang dialaminya pada siang Ramadhan, maka perkara itu tidak membatalkan puasanya kerana air mani itu keluar di luar daripada kawalannya dan dia tidak mampu untuk mencegahnya. Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”[1]

Ibn Qudamah menyatakan, kalaulah seseorang itu bermimpi basah — sehingga keluar air maninya — maka puasanya tidak terbatal kerana perkara tersebut adalah diluar daripada pilihannya. Ia menyerupai sebagaimana jika termasuk ke dalam halkum seseorang itu sesuatu, sedangkan dia tengah tidur.[2]

Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa adalah apabila keluarnya air mani dengan sengaja tanpa bersetubuh seperti berciuman, beronani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau melalui sentuhan kerana ia dikira sebagai inzal (keluarnya air mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik). Adapun jika air mani itu keluar dengan cara tidak sengaja (bukan disebabkan perkara-perkara di atas atau dengan bermesraan) maka hal tersebut tidak membatalkan puasa. Begitu juga, jika dia melihat dengan matanya walaupun diulang-ulang penglihatan tersebut tanpa bersentuhan atau berfikir di dalam hatinya tanpa bersentuhan lalu keluar air mani, maka hal ini tidak membatalkan puasanya kerana tidak berlakunya mubasyarah. Demikianlah juga hukumnya bagi sesiapa yang bermimpi pada siang hari Ramadhan (lalu keluar air maninya), maka puasanya tidak terbatal secara ijmak ulama kerana perkara itu berada di luar kawalannya.[3]

Tambahan lagi, Lajnah Da’imah pernah dinyata berkenaan seseorang yang bermimpi basah pada siang Ramadhan, maka apakah hukum puasanya? Mereka menjawab, sesiapa yang bermimpi basah sedangkan dia berpuasa atau dalam keadaan berihram, maka tidak ada dosa baginya mahupun kafarah. Puasanya juga tidak terjejas disebabkan oleh perkara tersebut — yakni masih lagi tetap sah. Namun, diwajibkan ke atasnya untuk mandi junub sekiranya keluar air mani — disebabkan oleh mimpi basah itu.[4]

Selain daripada itu, terdapat riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يُفْطِرُ مَنْ قَاءَ، وَلَا مَنْ احْتَلَمَ، وَلَا مَنْ احْتَجَمَ

Maksudnya:Tidak terbatal puasa sesiapa yang muntah (dengan tidak sengaja), tidak juga sesiapa yang bermimpi dan tidak juga sesiapa yang berbekam.[5]

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami berpendapat bahawa puasa seseorang yang mengalami mimpi basah pada siang Ramadhan sehingga keluar air maninya adalah tetap sah kerana perkara tersebut adalah di luar daripada pilihan dan kawalannya. Justeru, ia termasuk dalam situasi keluar air mani secara tidak sengaja. Walau bagaimanapun, dia diwajibkan untuk mandi junub disebabkan oleh keluarnya air mani itu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 286

[2] Lihat al-Mughni, 2/128.

[3] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184.

[4] Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 10/274.

[5] Riwayat Abu Daud (2376)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *