Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat para salafus soleh dan juga orang-orang yang baik datang ke masjid untuk solat Jumaat sebelum Subuh lagi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198)

Berkenaan persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith daripada Aus bin Aus al-Thaqafi R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ غَسَّلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَاغْتَسَلَ ثُمَّ بَكَّرَ وَابْتَكَرَ وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ وَدَنَا مِنَ الإِمَامِ فَاسْتَمَعَ وَلَمْ يَلْغُ كَانَ لَهُ بِكُلِّ خُطْوَةٍ عَمَلُ سَنَةٍ أَجْرُ صِيَامِهَا وَقِيَامِهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dan memandikan (isteri atau keluarganya), kemudian dia pergi awal dan benar-benar awal, berjalan kaki tanpa menaiki kenderaan, dan duduk dekat dengan imam, serta mendengar (khutbah) dan tidak bercakap sia-sia, maka bagi setiap langkahnya, dia akan memperoleh pahala amalan satu tahun — ganjaran puasanya dan qiyamnya (solat malamnya).”

Riwayat Abu Dawud (345). Isnadnya sahih, seperti yang dinyatakan dalam takhrij Sunan Abi Dawud oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut.

Peringatan ini benar-benar menggalakkan kita untuk menghargai setiap langkah ke masjid pada pagi Jumaat, bukan sekadar hadir, tetapi hadir dengan semangat dan adab yang tinggi.

Al-Sakhawi berkata: “Aku tidak mengetahui adanya hadis yang menjanjikan pahala yang begitu besar dengan amalan yang begitu sedikit, yang lebih sahih daripada hadis ‘sesiapa yang mandi dan memandikan (pada hari Jumaat), berangkat awal dan berjalan…’ – hadis tersebut. Guru kami Ibn Hajar mendengarnya daripada gurunya al-Musannif (al-‘Iraqi), dan beliau juga menceritakannya kepada kami berulang kali.” (Lihat Fath al-Mugith bi Syarh Alfiyyah al-Hadith, 4/183)

Namun keadaan umat Islam hari ini – kecuali mereka yang dirahmati Allah – amat menghairankan. Ramai yang meremehkan ganjaran besar ini, walaupun pahalanya melimpah-ruah. Bahkan, ada masjid-masjid yang khatib sudah pun memulakan khutbah, namun saf pertama masih belum penuh.

Wahai Muslimin! Kamu berpeluang bersedekah dengan seekor unta yang gemuk lagi besar, tanpa mengeluarkan satu sen pun! Atau kamu boleh bersedekah dengan apa yang disebut dalam hadis – sama ada lembu, kambing, ayam mahupun telur – hanya dengan berangkat awal ke masjid!

Dan lebih besar lagi ganjarannya ialah apa yang disebut dalam hadis Aus bin Aus yang telah disebutkan sebelum ini. Maka, ayuhlah – semangat dan azamlah wahai hamba Allah!

Demi Allah, engkau pasti akan mensyukuri amal ini pada hari pertemuan dengan Allah, dan akan berbahagia dengannya pada Hari Pembalasan dan Perhitungan. Maka mintalah pertolongan daripada Allah dan janganlah lemah atau malas.

Perhatikanlah apa yang disebut oleh al-Naisaburi dalam tafsirnya:

وَكَانَتِ الطُّرُقَاتُ فِي أَيَّامِ السَّلَفِ وَقْتَ السَّحَرِ وَبَعْدَ الْفَجْرِ غَاصَّةً بِالْمُبَكِّرِينَ إِلَى الْجُمُعَةِ يَمْشُونَ بِالسُّرُجِ

Maksudnya: “Pada zaman salaf, jalan-jalan pada waktu sahur dan selepas Subuh penuh sesak dengan orang-orang yang bersegera ke masjid untuk solat Jumaat — mereka berjalan membawa pelita.” (Lihat Ghara’ib al-Quran wa Ragha’ib al-Furqan, 6/301)

Allahu Akbar! Adapun keadaan sebahagian orang pada zaman kini, maka lihatlah contoh berikut:

Syeikh ‘Abdullah bin Jibrin pernah menceritakan: “Kami pada zaman Syaikh kami, al-‘Allamah Muhammad bin Ibrahim, Mufti Kerajaan dan Syaikhul Masyayikh pada zamannya – sesiapa antara kami yang tidak datang sebelum azan pertama tidak akan mendapat tempat di saf pertama di Masjid Jamek Besar.”

Yang dimaksudkan dengan azan pertama di sini ialah azan Subuh pertama, bukan azan pertama solat Jumaat. Mereka datang sejak waktu sahur, kerana sangat kuatnya semangat mereka dan kesungguhan dalam merebut keutamaan.

Begitu juga kata Dr. Muhammad bin ‘Abdullah al-Ghadyan: “Ayahku, Syaikh ‘Abdullah bin Ghadyan pernah berkata kepadaku: Kami menunaikan solat Subuh bersama Syaikh Muhammad bin Ibrahim di masjidnya, dan kami akan berlumba mengambil tempat di saf pertama. Setelah solat, kami membuka mushaf dan mula membaca al-Quran. Maka apabila syaikh masuk untuk menyampaikan khutbah, kebanyakan daripada kami telah pun selesai mengkhatamkan al-Quran secara hafalan.”

Merekalah lelaki sejati. Adalah satu kekurangan besar jika seseorang yang tidak menyifatkan dirinya dengan sifat-sifat mereka masih mahu digelar lelaki, sedangkan semangat mereka jauh meninggalkan kita. (Lihat La Tansa fi Yaum al-Jumu‘ah, hlm. 6-7)

Kami katakan, semoga zaman seperti itu kembali kepada kita dengan semangat yang kental dan bersegera menuju ke masjid, dengan begitu awal. Inilah tekad dan azam yang kukuh dan merekalah rijal yang sebenar dalam menegakkan agama Tuhan serta berbakti dan mentaati perintah Allah SWT. Merekalah yang cintakan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah yang amat tinggi.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.