Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah di sana terdapat nas hadith yang menunjukkan galakan untuk melakukan ibadat solat sunat pada hari Jumaat di masjid sebelum imam atau khatib menaiki minbar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu ‘Abdillah Salman al-Farisi R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَغْتَسِلُ رَجُلٌ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَيَتَطَهَّرُ مَا اسْتَطَاعَ مِنْ طُهْرٍ، وَيَدَّهِنُ مِنْ دُهْنِهِ، أَوْ يَمَسُّ مِنْ طِيبِ بَيْتِهِ ثُمَّ يَخْرُجُ، فَلاَ يُفَرِّقُ بَيْنَ اثْنَيْنِ، ثُمَّ يُصَلِّي مَا كُتِبَ لَهُ، ثُمَّ يُنْصِتُ إِذَا تَكَلَّمَ الإِمَامُ، إِلاَّ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الأُخْرَى

Maksudnya: “Tidaklah seorang lelaki mandi pada hari Jumaat, lalu bersuci semampunya, memakai minyak rambut miliknya, atau menyentuh wangian dari rumahnya, kemudian keluar (menuju masjid), tidak memisahkan antara dua orang (dalam saf), lalu menunaikan solat sebanyak mana yang ditetapkan untuknya, kemudian diam mendengar ketika imam berkhutbah – melainkan akan diampunkan baginya dosa-dosa antara hari Jumaat itu dengan Jumaat sebelumnya.”

Riwayat al-Bukhari (883)

Hadis ini menunjukkan bahawa pengampunan dosa selama tujuh hari boleh dicapai melalui tujuh syarat yang perlu diperhatikan dengan teliti dan diamalkan.

Perkataan “مَا كُتِبَ لَهُ” (sebanyak yang ditetapkan untuknya) dalam hadis ini menunjukkan bahawa bilangan rakaat solat sunat yang dilakukan sebelum khutbah tidak ditentukan secara khusus – ia bergantung kepada kemampuan dan keadaan seseorang.

Diriwayatkan juga oleh Abu Daud dengan sanad hasan, daripada Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَاسْتَاكَ، وَمَسَّ مِنْ طِيبٍ إِنْ كَانَ عِنْدَهُ، وَلَبِسَ مِنْ أَحْسَنِ ثِيَابِهِ، ثُمَّ خَرَجَ حَتَّى يَأْتِيَ الْمَسْجِدَ، فَلَمْ يَتَخَطَّ رِقَابَ النَّاسِ، ثُمَّ رَكَعَ مَا شَاءَ أَنْ يَرْكَعَ، ثُمَّ أَنْصَتَ إِذَا خَرَجَ الْإِمَامُ، فَلَمْ يَتَكَلَّمْ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْ صَلَاتِهِ، كَانَتْ كَفَّارَةً لِمَا بَيْنَهَا وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الَّتِي قَبْلَهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersiwak, memakai wangian jika ada, mengenakan pakaian terbaiknya, kemudian keluar menuju masjid tanpa melangkahi tengkuk orang lain, lalu menunaikan solat sebanyak mana yang dia kehendaki, dan diam ketika imam keluar (untuk khutbah), tidak bercakap sehingga selesai solat Jumaat – maka hal itu menjadi penghapus dosa antara dua Jumaat.”

Riwayat Abu Dawud (343) dan Ahmad (11768). Isnadnya hasan seperti dinyatakan dalam takhrij al-Musnad oleh Syu’aib al-Arna’ut

Peringatan ini menekankan betapa besarnya ganjaran solat sunat sebelum khutbah, bukan sahaja dari segi amalan ibadah tetapi juga sebagai peluang keemasan untuk pengampunan mingguan daripada Allah SWT.

Demikianlah keadaan salafus soleh terdahulu. Diriwayatkan daripada Nafi‘ bahawa:

كَانَ ابْنُ عُمَرَ يُطِيلُ الصَّلاَةَ قَبْلَ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Ibn ‘Umar R.Anhuma biasa memanjangkan solat sebelum (solat Jumaat).”

Riwayat Abu Dawud (1128). Isnadnya sahih sepertimana dinyatakan dalam takhrij Sunan Abi Dawud oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut.

Ibn Taimiyyah Rahimahullah berkata dalam al-Fatawa al-Kubra:

وَالْمَأْثُورُ عَنْ الصَّحَابَةِ، كَانُوا إذَا أَتَوْا الْمَسْجِدَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ يُصَلُّونَ مِنْ حِينِ يَدْخُلُونَ مَا تَيَسَّرَ، فَمِنْهُمْ مَنْ يُصَلِّي عَشْرَ رَكَعَاتٍ وَمِنْهُمْ مَنْ يُصَلِّي اثْنَتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً، وَمِنْهُمْ مَنْ يُصَلِّي ثَمَانِ رَكَعَاتٍ، وَمِنْهُمْ مَنْ يُصَلِّي أَقَلَّ مِنْ ذَلِكَ.

“Telah diriwayatkan daripada para sahabat bahawa apabila mereka masuk ke masjid pada hari Jumaat, mereka akan menunaikan solat sejak saat mereka tiba, sebanyak mana yang mereka mampu. Maka sebahagian mereka solat sepuluh rakaat, ada yang dua belas rakaat, ada yang lapan rakaat, dan ada juga yang kurang daripada itu.

جَمَاهِيرُ الْأَئِمَّةِ مُتَّفِقِينَ عَلَى أَنَّهُ لَيْسَ قَبْلَ الْجُمُعَةِ سُنَّةٌ مُؤَقَّتَةٌ بِوَقْتٍ، مُقَدَّرَةٌ بِعَدَدٍ، لِأَنَّ ذَلِكَ إنَّمَا يَثْبُتُ بِقَوْلِ النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -، أَوْ فِعْلِهِ. وَهُوَ لَمْ يَسُنَّ فِي ذَلِكَ شَيْئًا، لَا بِقَوْلِهِ وَلَا فِعْلِهِ،

Majoriti para imam sepakat bahawa tiada solat sunat mu’akkadah yang ditetapkan secara khusus sebelum solat Jumaat, sama ada dari segi waktu mahupun bilangan rakaat, kerana perkara itu hanya boleh ditetapkan melalui perkataan atau perbuatan Nabi SAW – sedangkan Baginda tidak mensyariatkan apa-apa secara jelas mengenainya, sama ada melalui sabda atau amalan.” (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 2/351)

‘Uqbah bin ‘Alqamah pula berkata: “Imam al-Auza’i masuk ke masjid pada hari Jumaat, lalu aku menghitung solatnya sebelum imam keluar – dia telah menunaikan tiga puluh empat rakaat. Keseluruhan solatnya dilakukan dengan baik, dari segi berdiri, rukuk, dan sujud.” (Lihat al-Jarh wa al-Ta‘dil oleh Ibn Abi Hatim, 1/218)

Renungkanlah, beliau menunaikan 34 rakaat, semuanya dilakukan dengan baik dan sempurna. Maka demi Allah, bilakah beliau hadir ke masjid? Sudah tentu sejak awal pagi lagi, jauh sebelum khatib memulakan khutbah.

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz juga berkata:“Para sahabat dahulu banyak menunaikan solat pada hari Jumaat sebelum khutbah dimulakan.”

Ini adalah penegasan bahawa amalan solat sunat sebelum khutbah pada hari Jumaat telah menjadi kebiasaan para salaf, walaupun bilangan rakaatnya tidak ditentukan secara khusus. Ia mencerminkan semangat cinta kepada ibadah dan kesungguhan dalam merebut peluang pahala.

Solat sebelum khatib naik ke mimbar adalah satu sunnah yang telah lama ditinggalkan. Kini, jarang sekali kita melihat ada yang melakukannya, melainkan segelintir yang telah diberi taufik oleh Allah untuk menghidupkan petunjuk Nabi ini.

Orang ramai masuk ke masjid lalu menunaikan dua rakaat dan terus duduk, mengharungi rasa mengantuk dan kebosanan. Wahai saudara mukmin, ketahuilah betapa besarnya ganjaran amalan ini. Solat menggabungkan ibadah berdiri, bacaan al-Quran, dan doa – maka solatlah sebanyak yang kamu mampu. Pelbagaikan antara solat, bacaan al-Quran, zikir, dan selawat ke atas Nabi SAW, sebagai satu bentuk pengisian waktu yang diberkati ini.

Antara cadangan praktikal yang boleh dilakukan: Anda boleh membahagikan bacaan Surah al-Kahfi kepada rakaat-rakaat solat sunat yang dilakukan, walaupun dengan membaca dari mushaf. (Lihat La Tansa fi Yaum al-Jumu’ah, hlm. 7-9)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.