Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah di sana larangan keras dari bercakap dan membuat perkara yang sia-sia ketika khatib sedang berkhutbah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, terdapat dua perkara umum yang menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat jumaatnya. Kami nyatakan perinciannya seperti berikut:

Pertama: Perkataan

Terdapat hadith Nabi SAW yang menyebut larangan seseorang itu berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).”

Riwayat al-Bukhari (934)

Saidina Ali RA berkata, “Barangsiapa yang sia-sia bererti tidak beroleh apa-apa pada solat Jumaatnya.” Ertinya tidak diperolehi kelebihan Jumaat yang dituntut dan pahala yang diharapkan. (Lihat al-Mu`tamad, 1/533)

Para ulama’ telah berijma’ bahawa afdhal (sebaik-baiknya) bagi sesiapa yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar. Perbuatan itu lebih afdhal daripada dia menyibukkan diri dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa. (Lihat Fath al-Bari, 274/8).

Kedua: Perbuatan Anggota Badan

Sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Hal ini berdalilkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.”

Riwayat Muslim (857)

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang, serta menjadikan pelakunya lagha. Hal ini diluaskan lagi kepada perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan hilangnya fokus dan tumpuan dalam mendengar khutbah. Ia seperti bermain telefon bimbit, tidur, makan dan minum tanpa sebab dan seumpamanya.

Berkenaan persoalan di atas, Islam amat menekankan kepentingan mendengar khutbah Jumaat dengan penuh perhatian dan adab, dan terdapat galakan besar untuk berbuat demikian, di samping peringatan tegas terhadap sesiapa yang bersikap sambil lewa.

Jika kita renungi realiti hari ini, kita akan mendapati sebahagian umat Islam mengambil ringan perkara ini.  Ada yang datang lewat dan berdiri di pintu masjid, lalu berbual-bual kosong antara satu sama lain — dan ini adalah tidak dibenarkan sama sekali. Ketika khatib sedang menyampaikan khutbah, haram bagi sesiapa sahaja yang hadir untuk berbicara, sama ada di dalam atau di luar masjid.

Sebahagian yang lain pula sibuk dengan telefon bimbit, cermin mata, tasbih atau benda lain, sehingga lalai dari mendengar khutbah.  Sesiapa yang sibuk dengan perkara-perkara tersebut, maka dia sebenarnya telah merosakkan Jumaatnya. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ: أَنْصِتْ‏،‏ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Jika engkau berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: ‘Diamlah!’ sedangkan imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau telah melakukan perbuatan yang sia-sia (lagha).

Riwayat al-Bukhari (934) dan Muslim (851)

Manakala dalam riwayat lain, disebut:

وَمَنْ لَغَا فَلَا جُمُعَةَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan lagha (perbuatan sia-sia) maka tiadalah Jumaat untuknya.”

Riwayat Abu Dawud (1051), Ahmad (719) dan al-Baihaqi (5900)

Maksudnya, dia akan terlepas pahala dan ganjaran Jumaat, walaupun dia masih menunaikan solat Jumaat secara fizikal.

Maka renunglah, betapa ruginya orang yang mengambil ringan perintah ini.

Adab ketika khutbah bukan sekadar diam, tetapi diam yang disertai dengan tumpuan hati dan telinga. Ia mencerminkan takwa dan penghormatan kepada syiar agama. (Lihat La Tansa fi Yaum al-Jumu’ah, hlm. 10-11)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”